Skip to main content

Apabila Kau Duduk Dalam Minoriti

Pada awal tahun ini (Januari) pembantu berkongsi kisah.

"Adik saya dapat 48 (kenaikkan pangkat)"

Saya sambut dengan bersahaja. Mengucapkan syukur dan tahniah. Bagi saya tidak ada yang mengejutkan dengan berita kenaikkan pangkat adik beliau itu.  

"Tapi dia baru lagi (dalam perkhidmatan)"

"Betul tapi kena ingat gred jawatan dia banyak. Cukup haul (time based) naiklah pangkat"

Saya memahami. Ada dalam kasut yang sama. Bukan beliau tidak gembira tetapi setelah bertahun-tahun bekerja, beliau masih di takuk yang sama. Sedangkan adiknya masih dikira baharu lagi mendapat kenaikkan pangkat dianugerahi rezeki kenaikkan pangkat lagi. 

Mengingatkan kembali ketika saya menerima berita gembira kenaikkan pangkat hakiki seorang sahabat baik. Sudah tentu saya gembira. Namun entah mengapa saya terus terkenangkan saat saya mengesahkan salinan sijil-sijil beliau apabila beliau menyertai perkhidmatan. Nama saya sudah tentu tidak akan berubah tetapi nama jawatan saya di cap jabatan itu, masih tetap sama. Berubah cuma nama unit dan bahagian dalam jabatan itu sahaja. 

Dalam bahasa mudahnya, saya masih di takuk yang sama. Itu adalah gred jawatan ketika mula saya berkhidmat dan hari ini masih sama. Bahkan pada masa-masa akan datang, jika tiada keajaiban tetap akan sama.

Saya juga orangnya yang mengesahkan sijil-sijil kepunyaan adik pembantu saya itu. Malah salinan sijil-sijil kawan-kawan dan kenalan-kenalan yang lain. Entah, tak tahu sudah berapa banyak.

Hari ini saya ditinggalkan jauh oleh mereka. Bertiang-tiang. Mereka yang memulakan khidmat dalam perkhidmatan jauh lebih lewat daripada saya. Bertahun-tahun. Mereka telah menjawat jawatan yang jauh lebih tinggi daripada kedudukan saya sekarang.

Adakah saya bersedih? Tidak. 

Saya menerima suratan hidup seadanya. Saya bersyukur dengan kurniaan Ilahi. Dalam lingkungan umur menghampiri usia senja, Alhamdulillah saya masih sihat untuk terus bekerja. Saya berdoa terus sihat dan memudahkan urusan ibadah. Keluarga kecil saya dalam keadaan sihat. Keluarga besar saya juga sihat. Kesihatan yang baik merupakan rezeki yang tak ternilai. Oleh kerana kesihatan mereka baik, saya masih dapat keluar bekerja.

Walaupun kekal dalam kedudukan sekarang selama lebih 20 tahun, gaji yang saya perolehi cukup untuk penghidupan. Masih boleh berkongsi, malahan. Saya masih boleh mendapatkan apa yang saya inginkan (mungkin kerana tidak menginginkan bulan dan bintang hahaha). Kena ukur baju di badan sendiri. Cuma tergantung sama ada saya ingin merealisasikan keinginan itu atau tidak. Masih boleh mengelak untuk menimbunkan hutang kecuali satu dua perkara besar yang tak mampu dijangkau. Memang saya tak suka berhutang pun. Leceh dan memeningkan kepala. Rasa dihambat.

Dalam mana-mana perkhidmatan yang mempunyai gred jawatan minoriti, seseorang yang menjawat sesuatu kedudukan tanpa peluang kenaikkan pangkat atau harus menunggu lama untuk dinaikkan pangkat secara hakiki adalah lumrah. Tidak kira secemerlang mana sekalipun pegawai itu. Beliau bukan tidak dapat kenaikan pangkat hakiki kerana tidak menunjukkan prestasi yang bagus tetapi tidak ada posisi untuk beliau mengembangkan lagi kerjayanya di peringkat tertinggi. 

Setelah lama berkhidmat, ramai sekali yang ada disekeliling saya sama ada yang diterima bekerja semasa saya mula berkhidmat atau lebih lambat daripada itu, berpeluang menerima kenaikkan pangkat secara hakiki. Sesuai dengan pencapaian, tempoh berkhidmat dan kekosongan perjawatan bagi skim perkhidmatan mereka. Saya pula kena sesuaikan diri. Menukar panggilan daripada sekadar memanggil nama kepada panggilan hormat, encik atau puan sesuai mengikut kedudukan jawatan yang disandang. Ada yang masih tetap mesra. Ada yang berubah. Barangkali juga mengikut jawatan yang disandang. Biasa, banyak udang, banyak garam.

Pada peringkat awal, saya rasa canggung. Ada kala rasa seperti terpinggir. Walaupun sedar, saya dalam kelompok minoriti. Lumrah sebab saya manusia biasa. Cuma saya tidak larut dalam rasa kecewa.

Sekarang saya sudah tidak terkesan. Saya tak peduli sangat dengan cakap-cakap orang-orang yang cuba untuk tidak memahami. Padahal kami di bawah bumbung yang sama. Terpulang. Bahkan pada yang pandang rendah juga tak akan jadi kudis untuk bernanah pun. Hidup di dunia ini bukan atas pujian orang. Mati pun bukan kerana kejian orang juga. Jadi pujuk hati untuk bertahan.

Andai kata ada orang menilai kejayaan hidup melalui kejayaan menjawat jawatan tinggi, itu hak mereka. Ya, memang ada. Malah dalam kalangan kawan-kawan sendiri. Saya memilih mendiamkan diri. Sukar sebenarnya menerangkan keadaan ini. Apa yang paling penting saya percaya diri pada potensi diri tetapi saya tidak berpeluang. Kegagalan mendapat kenaikan pangkat secara hakiki juga bersandarkan banyak sebab yang memang tak mungkin mampu saya tangkis. Berbalik semula pada ketentuan rezeki. Saya tak pernah merancang untuk gagal. Tak perlu bersungguh memikirkan sesuatu yang bukan dalam kawalan saya pun. Tak ada rezeki saya. Titik.

Tidak juga saya mengalah dalam mengubah nasib diri. Muda dan bercita-cita. Saya menyambung pengajian dengan harapan dapat mengubah kehidupan dengan lebih baik. Saya berusaha menjawat kedudukan jawatan yang lebih tinggi dengan kelayakan dan pengalaman. Pernah beberapa kali saya layangkan permohonan bagi menjawat jawatan yang lebih tinggi di tempat-tempat lain. Namun semuanya gagal. Gagal selepas seisi temuduga atau layangan permohonan kerja yang bisu tanpa jawapan balas. Nampaknya jodoh dengan jabatan sedia ada sangat kuat. Saya terima hakikat dengan usia sekarang semakin tipis peluang ataupun barangkali sudah tidak ada peluang.

Jangan pula kata saya selesa duduk dalam kepompong. Saya juga pernah cuba keluar dari perkhidmatan dan cuba beralih ke swasta tetapi tetap tidak berhasil. Malah saya bermula dari swasta. Pertimbangan saya ketika usia yang muda, saya tidak boleh lepaskan jawatan kerana banyaknya komitmen. Melepaskan jawatan yang sedia ada bermaksud saya sudah menjawat jawatan yang lain. Kedudukan kewangan saya mesti stabil. Walaupun ada yang mengatakan wang bukan segala-galanya, pada ketika itu wang sangat penting. Sekarang pun wang masih faktor penting juga hahaha. 

Berpijak sahaja di bumi nyata. 

Hilang semangat untuk meneruskan kerja. Tidak. 

Saya sentiasa berazam dan berusaha pastikan sasaran kerja saya tercapai. Jika diberikan sesuatu projek tambahan, juga saya berusaha memampu dapat untuk memberikan yang terbaik. Saya gembira apabila berjaya melakukan sesuatu tugasan dan menerima hasil yang baik. Hal-hal yang menimbulkan rasa bahagia ini subjektif sifatnya, bukan?

Jadi usahlah bertanam tebu di pinggir bibir. 

Wah! Apa kaitannya?     

Berada dalam kelompok majoriti bermaksud saya mesti melaksanakan kerja-kerja di luar bidang tugas. Dalam kepakaran berbeza supaya lebih kompetitif. Bulan dan bintang dijanjikan ketika memerlukan saya melakukan sesuatu tugas itu. Konon sebagai motivasi. Kononnya suapaya potensi saya dikesan pengurusan tertinggi. Setelah bertahun di jabatan, saya sangat sedar diri. Saya juga tahu yang menabur gula ini juga arif tentangnya. Saya tidak akan ke mana-mana. Saya tetap di posisi yang sama. Sebenarnya itu lebih menghiris.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak ke

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang