Skip to main content

Cinta Park Jung Hwan & Shin Ha Gyung - Rahsia Demi Rahsia (Bahagian II)

Sesuai sekali tajuk drama ini, Punch. Setiap episod, ada tumbukan yang dilepaskan. Memilih berpisah daripada Lee Tae Joon, satu tumbukan daripada Park Jung Hwan kepada ketuanya itu. Bagaimanapun harus diingat, beliau mesti bersedia menghadapi tumbukan lawan. Bahkan tumbukan daripada Ha Gyung juga.

Membiarkan salah faham Ha Gyung terus membelenggu, membuatkan keduanya jatuh dalam perangkap yang dipasang Lee Tae Joon. Lee Tae Joon bertekad membalas dendam pada Jung Hwan yang disangka penyebab abangnya membunuh diri. Rahsia pembedahan Jung Hwan gagal, satu kelebihan buatnya. Lee Tae Joon mengarahkan Jung Hwan menutup mulut Kim Sang Min yang sedang dalam perjalanan untuk disoal siasat, kes pembunuhan penyelidik Auto Seijin. Dadah demerol yang didapatkan daripada Dr Jang Min Suk,  jadi pertaruhan. Jung Hwan terdesak memerlukan ubat penahan sakit. Berderai harapannya sama seperti demerol yang pecah di tangan Lee Tae Joon.


Tekad Ha Gyung mengheret Jung Hwan, ke muka pengadilan dalam kes Auto Sejin dan Ocean Capital milik Kim Sang Min juga satu kelebihan buat Lee Tae Joon. Memberkas bekas suaminya, Park Jung Hwan baharu disedari bukan satu kejayaan. Ha Gyung tersentak kerana hasrat menyeret mereka yang terlibat dalam penyelewangan tidak tercapai. Kini difahami maksud disebalik pertanyaan dan senyum sinis Jung Hwan kepadanya, "Memang saya patut dihukum, tetapi Ha Gyung, mengapa hanya saya seorang sahaja yang akan menerima hukumannya?" Arahan dirinya digugurkan dari menjadi pendakwaraya kes Jung Hwan juga satu tindakan yang tak diduganya. Titik ini bermula singkapan rahsia demi rahsia, mengapa bekas suaminya bertukar haluan?

Apa perasaan kita melihat atau mendengar orang yang kita sayangi disakiti? Marah bukan?! Itulah tindakan spontan Jung Hwan tatkala melihat Ha Gyung ditengking dan dikasari Jo Kang Jae, satu tanda dalam hatinya masih ada cinta. Satu demi satu singkapan rahsia hati terbuka. Ha Gyung adalah penerima peti simpannya di bank. Kata laluannya adalah tarikh pertama kali di mana beliau 'melihat' zuriat mereka. Umpan Jung Hwan, "Salinan pengakuan Kim Sang Min tentang penglibatan Lee Tae Seop ada di dalam peti simpanan itu". Paling memilukan apabila Ha Gyung mendapati bukan salinan pengakuan yang tersimpanan di dalam peti itu sebaliknya salinan pembayaran tempat persemadian keluarga. Jung Hwan telah menyediakan tempat persemadian untuk keseluruhan ahli keluarga termasuk dirinya. Tekadnya bertukar kini, membuang 'beban' yang mereka kandarkan ke bahu bekas suaminya, Park Jung Hwan. "Saya akan keluarkan awak dari sini. Ajar saya bagaimana menangani masalah yang berlaku di dalam dunia yang awak diami, pada saat-saat seperti ini".


Jung Hwan tahu Ha Gyung sudah tersentak oleh kebenaran permainan kotor pemimpin-pemimpin mereka, Ketua Pendakwaraya, Lee Tae Joon dan Menteri Kehakiman, Yoon Ji Sook. Sedangkan menteri itu merupakan idola isterinya, dalam menegakkan undang-undang. Umpan yang dipasangnya mengena. Menyedari itu, tiba masanya mempersiapkan bekas isteri untuk melawan sepak terajang mereka. "Ha Gyung, saya akan ajar awak bagaimana menangani kes-kes begini dalam dunia yang saya tinggal".   



Berpandukan helah dan tunjuk ajar Jung Hwan, Ha Gyung akhirnya mengetahui taktik kotor Yoon Ji Sook dalam menangani kes Jung Hwan 7 tahun lalu. Malah disaksikannya sendiri perancangan jahat, Yoon Ji Sook memasang perangkap untuk mengorbankan dirinya. Menitis air matanya takkala mengetahui sahabat mereka, Lee Ho Sung ikut sama dalam rancangan kotor itu. "Untuk mewujudkan dunia baharu, kita perlu melakukan pengorbanan." Justeru Ha Gyung berjaya melepaskan Jung Hwan dari tahanan. Perkara pertama yang dilakukan Jung Hwan adalah memujuk anak mereka, sekaligus menunjukkan kepada Ha Gyung betapa pentingnya keluarga buat Jung Hwan. Dalam diam ikut sama menahan kesedihan menyedari Jung Hwan takkan dapat sama-sama melihat Ye Rin, membesar.



Masih ada ketegangan dalam hubungan mereka berdua. Meski keduanya sudah mula berkerjasama untuk membongkar salah guna kuasa  Lee Tae Joon dan Yoon Ji Sook. Ha Gyung tetap cuba menyekat langkah Jung Hwan daripada terus membelakangkan undang-undang dalam mengumpul saksi dan bukti. Jung Hwan pula kerap mengingatkannya tentang betapa singkat hayat hidupnya. "Bukankah jangka hayat hidup seorang wanita itu, 80 tahun? Awak ada 50 tahun lagi. Ha Gyung, setahun pada awak adalah sehari bagi saya."

Namun masih keduanya saling mengambil berat antara satu sama lain. Adegan kasih sayang tanpa melibatkan sentuhan tetapi dimainkan melalui emosi pelakon-pelakonnya. Manis sekali. Ha Gyung berikan teh pudina. "Kopi tak baik untuk awak. Ini teh pudina. Aromanya harum. Saya dengar, ia boleh meredakan kesakitan. Satu kotak untuk 2 bulan. Apa yang saya harapkan, awak akan habiskan teh saya berikan." Jung Hwan terkesima. Ha Gyung menerima reda takdir akan kehilangan dirinya tetapi meminta beliau bertahan selama yang dapat. Ada berkotak-kotak teh pudina diberikan Ha Gyung kepadanya yang dijangka cuma akan hidup selama 3 bulan.


Menghadiahkan cermin mata sebagai ganti cermin mata murah yang pernah dihadiahkan 10 tahun lalu tetapi dipecahkan oleh Ye Rin dan kawannya, Jung Hwan menzahirkan penghargaannya, "Saya akan minum teh yang awak berikan dan akan cuba untuk bertahan. Lihatlah dunia ini dengan cermin mata yang saya berikan." Ke mana-mana kemudiannya, Jung Hwan membawa bekal air teh pudina bersama-sama dengannya. Berhalwa sekali, bagaimana singkapan rahsia demi rahsia, cinta yang masih bersemi antara dua hati.



Pun kembali pahit terasa memori apabila Jung Hwan memberitahu Ha Gyung dalam keadaan tanpa sedar (halusinasinya akibat kerosakan pada otak), "Saya kalah, Ha Gyung. Ini surat kebenaran untuk membuat penyiasatan ke atas Lee Tae Joon. Saya akan letak jawatan sebagai pendakwaraya. Ha Gyung, mari kita buka pejabat guaman kecil di luar bandar bersama Ye Rin." Penyingkapan rahsia hati bekas suami selama 3 tahun sewaktu diminta membuat pilihan sama ada memberi kebenaran melakukan penyiasatan atau menandatangani borang permohonan perceraian mereka. Baharu diketahui rupanya Jung Hwan di persimpangan antara dua jalan. Ha Gyung berusaha menahan rasa hati, menerima rahsia yang terbongkar tanpa sedar oleh empunya diri.


Itulah hakikat. Jung Hwan tidak akan ingat setiap kali beliau berhalusinasi. Penyakitnya. Ketumbuhan di dalam otaknya. Halusinasi antara kesan daripada penyakit itu. Denyut di kepala. Kemudian sakit kepala yang teruk. Pengsan. Hilang kesimbangan badan tiba-tiba. Beransur kepada hilangnya penglihatan secara sementara, hilang daya tutur secara sementara dan hilang keupayaan untuk bergerak, juga bersifat sementara. Pun membawa petanda masanya kian hampir. Dalam drama ini dijelaskan keadaan kesihatan Jung Hwan secara berperingkat. Kondisi itu semakin memburuk kerana Jung Hwan tidak mendapatkan rawatan yang konsisten.    Jadi tidaklah, kita sebagai penonton hanya lihat adegan si pesakit menderita, sakit kepala yang teruk atau pengsan, kemudian terbaring di katil sahaja. Kesannya, lebih daripada itu.

Menyedari betapa singkatnya hidup yang berbaki,  Jung Hwan menyerahkan insuran pendidikan anak mereka kepada Ha Gyung. Ha Gyung pernah menolaknya. Besar harapannya, Ye Rin dapat bersaing sama seperti anak-anak golongan berada dalam pendidikannya. Meringankan beban Ha Gyung dalam memberi pendidikan sempurna kepada Ye Rin. Jung Hwan tidak mahu Ye Rin menerima nasib sebagaimana dirinya. Ya, setiap ibu bapa yang waras mahukan begitu. Betapa besarnya jurang dalam mendapat tempat jika tidak punya wang dan kuasa, hatta dalam pendidikan sekalipun. Juga dalam kiasan, menyampaikan permintaan untuk bersama Ye Rin, si puteri. Hasrat yang cepat difahami dan ditunaikan Ha Gyung, merelakan sang puteri bersama dengan ayahnya lewat hari-hari terakhir hidupnya. "Mak suruh saya pastikan, saya tidur di atas lengan ayah. Mak beritahu ayah sedang lalui hari-hari yang sukar. Cerialah ayah."


Menongkah arus deras bukan mudah. Menentang kuasa atasan, memerlukan kekuatan dan keberanian. Menuntun sabar dengan masa yang tidak memihak. Setiap langkah Park Jung Hwan mula disekat. Kondisi kesihatannya diwarwarkan kepada umum untuk menidakkan keyakinan dan kepercayaan terhadap kebolehannya dalam menjalankan tugas. Lebih daripada itu, ianya usaha untuk menghalang Jung Hwan membuat penyiasatan. Perkhidmatannya cuba ditamatkan lebih awal. Kuasa dan pengaruh. Arghhh manusia oh manusia. Kezaliman manusia seperti ini jugalah yang melingkari hidup kita. Kes broker anak kepada Menteri Yoon Ji Sook tidak berjaya didedahkan oleh Ha Gyung. Meskipun berjaya menidakkan pewarisan Ocean Capital kepada keluarga mendiang Lee Tae Seop tetapi kes rasuah Kim Sang Min dengan penglibatan Lee Tae Joon di dalamnya, juga tidak berjaya dibongkarkan Jung Hwan. Antara Menteri Yoon Ji Sook dan Lee Tae Joon kini mula 'bersepakat' antara satu sama lain demi menjaga kepentingan dan menutup kesalahan masing-masing. Setiap seorang daripada mereka, mempunyai cip yang mengandungi pengakuan daripada broker dan Kim Sang Min. Meski Jung Hwan cuba melibatkan kuasa besar seperti ahli kongress dan Ketua Setiausaha Presiden, namun usahanya menemui jalan buntu.



Keadaan kesihatan Jung Hwan meresahkan Choi Yeon Jin yang banyak bergantung harap padanya. Namun Yeon Jin selain menyimpan rasa cinta, masih percaya dengan semangat juang Jung Hwan. Jung Hwan, sebutir bintang bergemerlapan sinarnya yang tiba-tiba gugur dari langit. Sinarnya kemudian menjadi malap dan tidak ada sesiapa yang suka pada kegelapan. Begitu sebenarnya sikap manusia. Berkerumum takkala terang. Bertempiaran apabila gelap. Jalan terbaik, Jung Hwan berhelah kemudiannya dengan 'melepaskan' Choi Yeon Jin kepada Lee Tae Joon. Yeon Jin kini gunting dalam lipatan buat Lee Tae Joon. Terungkaplah rahsia gelap, persediaan semua pihak untuk menjadikan dirinya sebagai kambing hitam atas semua kesalahan yang telah mereka lakukan. Hanya menunggu saat kematiannya sahaja. Mereka namakan kesnya sebagai "Pagar Park Jung Hwan"


Tak dapat tanduk, tengkuk di pulas. Jung Hwan mengubah haluan taktik dengan 'menyerang' Jo Kang Jae, dalam usaha menjatuhkan Lee Tae Joon dan Yoon Ji Sook. Bersama teguhnya kasih Ha Gyung, tekad diri menegakkan kebenaran sebelum mentup mata, kembali bersemarak.


Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak ke

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang