Skip to main content

Perpisahan

Terpaksa berpisah dengan dua orang kawan yang periang dan menyenangkan dalam tahun yang sama. Mula-mula Husna. Semalam Mona. Namun siapa kita untuk menolak takdir yang datang.


Semoga mereka berdua, Wan Nurul Husna dan Moganam berjaya dalam apa yang dihajati dan diceburi. Juga buat Mohd Norhafizi. Juga tidak dilupakan pada Azanil, Suria, Zuli, Mohd Faizal, Hafiz, Abang Azmir, Nor Shazlin, Azam, Norsyamira, Norasyada, Norhanani dan semua. Semua yang pernah berada di sini. Memang adakalanya perpisahan bukan menyeronokkan tetapi ada ketikanya ia didambakan. Apatah lagi untuk sesuatu yang lebih baik.

Masih tentang perpisahan yang menyakitkan, pernah disiarkan menerusi cerekarama sedikit masa dulu, "Cinta Dari Syurga". Penghujung tahun 2012. Drama Melayu dengan tema tipikal, poligami dan suami yang tidak adil. Tertarik menonton adalah kerana watak Nur Damia yang tidak membenarkan nasib dirinya di perjudikan dalam tangan suami. Itu bukan sesuatu yang tipikal. Lebih terpanggil mengulang tonton apabila ada suatu kisah hangat yang sedang mengambil tempat bual dikalangan masyarakat.

Lakonan Fauziah Gaus sebagai Nur Damia isteri pertama yang dirasakan tidak dicintainya tetapi setelah perpisahan dilafazkan, setelah semua kebaikkan terkenangkan, baru dirasai, ini wanita selayaknya sebagai isteri yang untuk dicintai atau sebenarnya, memang dicintainya tanpa sedar.  Ternyata pilihan ibunya adalah tepat. Wanita solehah yang tidak hanya meyintai suaminya malah sanggup melamar, berkongsi kasih dan berpisah demi kebahagiaan suaminya.

Bukan mudah menjadi wanita seperti itu. Menahan perasaan apabila mengetahui suami tidak menyintai malah masih memendam perasaan terhadap kekasihnya. Meneruskan tanggung jawab sebagai isteri walaupun tahu diri tidak dihargai malah tidak diperlukan suami. Mengambil setiap keputusan untuk menjadikan keadaan dan hidup lebih baik. Sulit. Apalagi apabila telah sebati menjalani rutin hidup. Menjadi berani, bukan senang. 

Anzalna Nasir sebagai Nurul Hannan iaitu kekasih dan isteri kedua, yang dirasakan sebagai wanita pilihan hati yang tepat sebagai isteri. Namun setelah sebumbung rupa-rupanya tidak cukup bagus sebagai seorang isteri. Lebih menyedihkan bukan wanita yang dicintai sebenarnya. Argh!

Tertarik dengan dialog yang dilafazkan Azlee Khairi sebagai Zairul Aiman iaitu suami. Katanya, "Mia cakap dengan Abang, apa yang Abang tak pedulikan Mia? Apa yang Abang abaikan Mia? Dari segala makan, pakai Mia, Abang sediakan. Mia nak pergi mana, Abang hantarkan. Mia nak pergi holiday, Abang bawa. Mia sakit, demam, Abang ambil cuti untuk jaga Mia. Apa lagi yang tak cukup?"

Penilaiannya sebagai suami dan lelaki, tanggung jawabnya sudah terpenuhi dengan memberi nafkah zahir batin, menyediakan keperluan dan memenuhi kehendak, menjaga kebajikkan tetapi dilakukan tanpa rasa. Tidak dengan kasih mesra serta jauh sekali perhatian dan belaian. Setelah semuanya itu, apakah ianya punya apa-apa makna buat seorang perempuan, lebih tepat seorang isteri?

Baharuddin Kahar antara penulis kegemaran saya, mengungkapkan, hidup ini satu perjalanan yang kompleks. Ada kala ia kompleks kerana diri kita sendiri menjadikannya begitu.


Memang selalu terjadi begitu, rumput hijau di tanah seberang nampak jauh lebih cantik daripada rumput yang sedang dipijak di sini. Segar. Nampak lebih hijau dan subur. Tenang. Langitnya nampak lebih biru. Air lautannya nampak lebih jernih. Nyaman dan menyenangkan. Mempersonakan.

Ada masanya apabila apa yang telah dihajati berjaya dimiliki, kita kemudiannya tersedar bahawa sebenarnya kita tidak memerlukannya. Lumrah manusia yang sentiasa tidak puas dengan apa yang dimiliki. Ada pengajaran, tersurat dan tersirat. Moga mampu jadi pelajaran untuk diri. Hati manusia, ada yang mengibaratkannya sebagai pantai yang sering berbolak balik, hanya Allah yang kekal abadi.

Niat. Islam sangat mementingkan niat. Niat yang baik. Sebelum dilakukan amalan itu sudah diberi ganjaran. Ganjaran kerana berniat melakukan kebaikkan. Bagaimanapun sebaik manapun niat, ianya tidak boleh menghalalkan cara. Sekiranya cara itu bertentangan dengan agama. Perbetulkan niat. Perbaiki cara melaksanakannya. Semoga Allah meredai kehidupan kita. 

* credit gambar: Google

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

The Missing Piece & Dr Fatimah Busu

Musim demam kan. Alahai kesian kat diri sendiri, demam. Memang betul-betul demam ni, demam membaca novel hahaha. Jangan marah. The Missing Piece 1 sudah khatam dan sekarang hampir khatam The Missing Piece 2. Karya Dr Fatimah Busu yang sangat-sangat tebal. Percaya tidak, novel ini setebal 1,482 halaman? Bukan novel bahasa Inggeris. Tajuknya sahaja dalam bahasa Inggeris. Kalau novel Inggeris, mustahil saya khatam selaju ini hahaha. Memang dari sekolah lagi saya suka membaca novel Melayu. Bagi yang tidak meneganali, inilah gambar Dr Fatimah Busu. Bukan gambar yang terbaru. Sekiranya The Missing Piece itu mewakili dirinya dan perjalanan hidupnya, sememangnya beliau wanita besi. Tegas. Kuat semangat. Tabah. Keras pedal (meminjam ungkapannya dari novel The Missing Piece itu sendiri). Saya tidak pandai mengulas atau memberi kritikan. Bukan saya orang yang layak. Ilmu sastera saya tidak tinggi. Saya masih belajar. Kalau bertanyakan sinopsis novel ini, dapatlah saya kongsikan. Sama sepe...

Ombak Bukan Biru Fatimah Busu

Akhirnya novel Ombak Bukan Biru karya penulis terkenal Dr Fatimah Busu jadi milik saya 21 Jun 2014 lalu. Alhamdulillah. Merata saya cari novel ini. Keterujaan untuk memilikinya sehingga sanggup memesan dari kedai buku terpakai. Saya diingatkan harganya akan menjadi lebih mahal dari harga pasaran. Saya menyatakan kesanggupan. Selepas berjaya memiliki The Missing Piece 1 dan 2, rasa tak lengkap selagi belum dapat membaca Ombak Bukan Biru. Terdetik di hati bagaimana Imrah bertemu, bercinta dan akhirnya berjaya mendirikan rumahtangga dengan lelaki sejati dalam hidupnya, Lawrence. Kemudiannya mereka terpisah, apabila Imrah lari. Siapa yang pernah menatap The Missing Piece, barangkali ada yang jatuh hati dengan watak Lawrence. Sememangnya dalam The Missing Piece serba sedikit, pengarang memasukkan latar belakang cerita tetapi hati kuat hendak mendakap Ombak Bukan Biru. Benarkah? Sungguh benarkah ombak itu bukan biru? Setelah mendakapnya, saya dapati The Missing Piece 1 dan 2 t...