Kami kembali setelah lapan tahun. Tidak ada sebab tertentu kecuali buku merah kami sekeluarga masih hidup dan itu sahaja cuti semester yang sama dengan cuti sekolah. Eh silap, cuti sekolah bulan September pun sama dengan cuti semester universiti. Cuma pada ketika bulan September itu nanti, memang setiap tahun tidak boleh buat permohonan cuti.
Kami tidak merancang untuk bercuti ke destani yang jauh. Sama ada Indonesia atau Thailand. Tidak pun ke Vietnam. Cuma untuk pergi bercuti kali ini, sudah masuk bulan Zulhijah dan suami tidak mahu meraikan Aidiladha di tempat orang.
Akhirnya suami memutuskan kami bersama-sama dengan beberapa keluarga rakannya ke Jakarta untuk percutian pendek ini. Saya tidak menyusun program. Meniliti program yang disediakan pun, saya tak sempat. Percutian ini juga sedikit terganggu dengan kerja-kerja dari pejabat. Dalam erti kata lain, tak menikmati cuti tanpa gangguan.
Sudahlah percutian pendek. Tergendala pula disebabkan penerbangan Trans Nusa yang tidak mengikut jadual asal, hmmm. Kami tiba di Jakarta sudah agak lewat. Supir pula tunggu di bahagian ketibaan domestik. Agak kelakar. Kenapa tak tunggu di bahagian ketibaan antarabangsa? Berjalanlah kami dari bahagian ketibaan antarabangsa ke bahagian ketibaan domestik. Van kami ada di sana.
Besar betul van kami. Perkara pertama, kita makan dulu. Makan tengah hari kami di Restoran Pagi Sore yang tular di media sosial. Untungnya kerana dua orang kawan sudah pun membuat tempahan dan beratur bagi pihak kami. Apabila kami sampai, boleh terus masuk dan makan. Beratur ya. Memang ramai sangat umat. Tak kira orang tempatan mahupun pelancong. Tapi jangan risau masa menunggu pun sekejap sahaja. Berbaloi tak? Berbaloi. Restorannya cantik. Ayam pop sangat sedap seperti yang digembar gemburkan.
Perjalanan dari Jakarta ke Bandung memakan masa lebih kurang tiga jam. Lapangan Terbang Husein Sastranegara pula telah ditutup sejak 2023 dan diganti dengan Lapangan Terbang Kertajati. Cuma perjalanan dari Lapangan Terbang Kertajati memakan masa satu ke dua jam juga untuk tiba di kota Bandaung. Tidak banyak tarikan di Kertajati untuk pelancong buat masa ini. Kebanyakan pelancong akan ke Jakarta berbanding ke Kertajati.
Saya memang kurang tidur kerana menyiapkan kerja-kerja dari pejabat sehingga kira-kira 1:30 pagi dan telah bangun awal-awal pagi lagi sekitar 3:30 untuk Lapangan Terbang KLIA. Sepanjang perjalanan dari Jakarta ke Bandung, Alhamdulillah dapat tidur dengan bahagianya. Lena dipeluk hujan sepanjang perjalanan ke Bandung. Kalau diikutkan ramalan, cuaca agak panas. Kiranya hujan ini bonus kerana di tanah air pun cuaca panas terik.
Kami menginap di Aston Pasteur. Kami ambil bilik berasingan dengan anak-anak. Masing-masing meningkat remaja, sudah besar panjang. Tak sesuai lagi berhimpun dalam satu bilik ramai-ramai. Kedudukan hotel ini agak strategik jika kami punya masa yang panjang di Bandung. Sayangnya ketika sampai di Bandung, hari sudah mulai gelap. Sememangnya siang di Indonesia lebih awal. Waktu Subuh sekitar jam 4:30 pagi. Walaupun berbeza waktu satu jam sahaja dari Malaysia.
Oleh sebab hari pun sudah gelap, kami cuma dapat pergi ke factory outlet. Malam itu kami ke Heritage dan kawasan sekitarnya sahaja. Elok sahaja sampai di Bandung ini, kasut anak dara pula rosak. Macam berjanji pula ya. Harga kasut pilihannya pun memang jauh lebih murah berbanding jika beli di Malaysia. Masa pun tak banyak. Usai membeli kami mengitari kawasan setempat. Cuba beramah tamah dengan penjaja di kaki lima. Kegemaran suami adalah mencuba street food. Jadi percubaan pertama adalah ais krim durian. Ya kawan-kawan, bukan ais krim durian tapi ais krim tempoyak. Aduh!
Kami makan malam di Jumbo Eatery. Ketika kami sampai, pelanggan tak ramai pun. Kalau jenis tak makan banyak, boleh berkongsi sebab memang besar saiz hidangannya. Kami berkongsi makan nasi dan sup. Anak-anak memilih pasta carbonara. Penataan makanannya perghhh. Menang di mata. Ada gerai menjual air tebu di luar restoran ini. Lihat bagaimana penjual menarik pembeli dengan info tentang khasiat air tebu. Ini mengagumkan.
Cadangan asal kami sepatutnya akan ke Kawah Putih tetapi rancangan berubah. Kami ke The Lodge Woodland Maribaya dan Floating Market Lembang. Bagi sesiapa yang belum pernah ke The Lodge Woodland Maribaya, boleh pertimbangkan untuk ke sana. Oleh sebab, van kami terlalu panjang jadi kami kena naik pengangkutan yang disediakan untuk masuk ke The Lodge Woodland. Van di letakkan di hadapan Fairy Garden. Pada asalnya Fairy Garden termasuk dalam The Lodge Woodland. Kalau Google ada nampak gambar-gambar pakai kostum Fairy Tales, itu semua gamba-gambar lama. Sekarang Fairy Garden ini telah ditutup sepenuhnya. Cuma kemudahan parkir, tandas dan surau di kawasan halaman Fairy Garden ini masih boleh digunakan.
Harga tiket masuk ke The Lodge Woodland adalah berasingan daripada harga untuk bergambar di tempat-tempat tarikan. Sekiranya bayar RP1,600,000.00 ianya akan meliputi semua tempat-tempat tarikan bergambar termasuk harga tiket masuk dan dapat percuma sekeping gambar soft copy, kupon hi-tea dan kupon makanan bernilai RP10,000.00.
Kami pilih bayar tiket masuk dan akan bayar kemudian untuk tempat tarikan bergambar tertentu sahaja. Ada banyak pilihan macam Zip Bike, Sky Tree, Valley Swing dan lain-lain. Janganlah tertipu dengan gambar-gambar di media sosial. Sebenarnya untuk satu-satu tempat tarikan bergambar, contohnya belon panas. Bukanlah naik belon panas seperti di Turki. Ketinggian belon panas di The Lodge Woodland cuma sekitar 30 meter sahaja. Jadi jika merasakan teringin nak menikmati keseluruhan pemandangan dengan menaiki belon panas di The Lodge Woodland, lupakanlah. Memang hanya untuk bergambar sahaja. Jurugambar akan berada di tempat strategik dan ambil sekitar lima keping gambar. Bagi satu-satu tempat tarikan, maksimum tiga atau empat orang sahaja dibenarkan bergambar dalam satu-satu masa. Cuma tak dinafikan, gambar-gambar yang diambil sangat cantik. Kawasan Maribaya ini memang hijau dengan rimbunan pokok pain. Indonesia memang masih banyak kawasan hijau, alam semulajadi yang memukau.
Kami tebus kupon makanan di The Pines Cafe. Suami makan tapai goreng berkeju. Tapai itu dibungkus dengan kulit popia dan digoreng. Tapai itu dihidangkan dengan taburan keju yang diparut. Untuk hi-tea, kami cuma tebus biskut dan air teh sahaja di Cave Cafe. Kami naik ke atas semula ke atas, menerusi The Lodge Funicular untuk tebus gambar pula. Barisan panjang untuk penebusan gambar. Jadi untuk elak bazirkan lebih banyak masa, kami beli semua gambar yang ada. Memang berbaloi sebab semua gambar cantik-cantik.
Sebenarnya ada banyak aktiviti lain berdekatan. Ada kolam air panas. Ada air terjun. Malah untuk menginap di sini pun boleh. Ada kawasan untuk berkhemah juga.
Kawasan Maribaya ini agak sejuk. Dalam kawasan kampung. Penduduk di sini ramai yang bertani. Ada seorang pak cik datang menjual buah strawberi. Kawan kami beli beberapa pek. Besar. Sedap dan segar. Kemudian kami singgah di kedai menjual madu kerana ada yang berhajat untuk membeli madu asli. Ada banyak kedai menjual madu di sepanjang kaki lima jalan. Kawasan Maribaya juga terkenal dengan madu lebah yang dijual bersama dengan sarangnya. Lebih kurang macam di Cameron Highlands.
Sebelum pergi ke Floating Market Lembang, kami singgah makan tengah hari yang telah lewat di Restoran Teuan, Lembang. Memang cantik restoran yang diaspirasikan dari filem, The Crazy Rich Asians. Ada cetusan suasana berada di dalam Carcosa Seri Negara. Hidangan makanan di sini, kebanyakannya berunsurkan sajian Cina. Selain itu, restoran ini ada sediakan kemudahan surau. Satu yang bagusnya melancong ke Indonesia adalah tiada masalah hendak solat. Hotel tempat kami menginap pun berhampiran dengan masjid.
Kami pernah ke Floating Market Lembang sebelum ini tetapi ada kawan-kawan yang belum pernah ke sana. Kawasan pelancongan di Bandung memang banyak. Memandangkan ada anak yang masih kecil dalam rombongan kami, Floating Market Lembang adalah tempat yang sesuai untuk dikunjungi. Jangan hilangkan tiket masuk kerana boleh tebus minuman percuma. Boleh pilih sama ada nak minum teh ais lemon, cofffee late atau milo. Kami pilih tebus sebelum keluar kerana masih kenyang usai makan tengah hari. Anak kecil saya hilangkan baucarnya apabila tiba masa penebusan. Entah di mana dia campak. Dia ambil bahagian emaknya. Beginilah jadi ibu kan.
Floating Market Lembang juga sudah ada banyak tarikan baharu. Bayaran masuk ke tempat-tempat pilihan adalah berbeza. Cuma kami pilih bayar untuk Rainbow Slide bersekali dengan tiket masuk. Tinggi Rainbow Slide ini adalah 125 meter. Memang tinggi. Seriau. Rasa gayat semua cukup. Nak meluncur turun, kena panjat tangga dulu. Sampai di menaranya, sayup-sayup sahaja orang-orang di bawah. Walaupun kami beli tiket untuk semua orang tapi kami minta anak kecil kawan kami untuk main Rainbow Slide yang berukuran 25 meter sahaja. Rupanya si kecil tak puas hati. Dua kali kemudiaannya, dia naik Rainbow Slide yang lebih besar. Rainbow Slide yang kami naik dengan pakej jerit pekik. Tapi dia santai sahaja. Sikit pun tak menjerit. Hmmm.
Dalam perjalanan balik, kami singgah di Rumah Mode. Ramai juga orang Malaysia yang datang bercuti. Hanya suami dan anak-anak bujang yang menikmati makan malam. Saya masih kenyang. Anak dara pun minum sahaja. Ada banyak pilihan makanan di Rumah Mode. Nampak menarik. Mencari bagelen Kartika Sari tetapi perisa asli telah habis. Sedap tau bagelen. Jangan lupa beli.
Sebelum pulang ke hotel, singgah di beberapa kawasan berhampiran. Ada yang hendak membeli kerepek-kerepek untuk ole-ole. Tapai antara makanan yang paling mudah ditemui di mana-mana. Tapai ubi dalam bekas besar kebiasaannya, di letakkan betul-betul di muka pintu kedai. Singgah juga di Amanda membeli brownies. Sayangnya beberapa hari setelah sampai di Malaysia, brownie coklat itu mula berkulat. Terlupa brownie ini dikukus. Jangka hayatnya pendek. Sebelum ini kami beli di Lapangan Terbang Husein Sastranegara sebaik sahaja hendak berangkat pulang ke Malaysia tetapi kali ini beli awal beberapa hari sebelum pulang. Akibatnya, rosak. Tak ada rezeki nak berkongsi dengan kawan-kawan.
Keesokannya kami hendak ke Jakarta pula. Bye bye Bandung. Sampai jumpa lagi.










Comments
Post a Comment