Skip to main content

Meraikan Minat Anak-anak Remaja

Pada suatu hujung minggu, kami anak beranak menghabiskan masa menonton filem bersiri Jepun, High and Low. Ini bukan filem bertemakan kekeluargaan tetapi kami memilih untuk meraikan minat anak-anak yang sedang meniti usia dan meningkat remaja. Antara cara kami meraikan minat anak-anak adalah dengan menonton bersama-sama dengan mereka. 

Anak lelaki kami lebih menyukai karya seni dari Negara Matahari Terbit; Jepun berbanding dengan anak gadis yang sukakan karya seni dari Korea Selatan.  

Sebetulnya dalam tempoh yang agak lama, saya sudah sangat kurang menonton drama atau filem dari Jepun. Salah satunya kerana ada adegan romantis berlebihan yang kurang sesuai ditonton bersama keluarga. Sebenarnya sama sahaja, drama dan filem dari Korea Selatan pun sudah banyak adegan sebegini.  Agak gusar juga kerana hubungan cinta kemudiannya diikuti dengan perhubungan intim pasangan kekasih. Seolah ianya satu kemestian. Seakan itu sebagai bukti cinta. Sedangkan ini sangat bertentangan dengan kepercayaan anutan kami yang melarang hubungan intim sebelum berkahwin meski sekuat manapun sekalipun rasa cinta itu. Sedangkan adegan yang sedemikian rupa, sebelumnya kita dapati apabila menonton filem-filem dari Barat sahaja. Kita sebagai orang Asia atau Timur tidak kira dari negara mana atau anutan agama apa sekalipun, suatu masa dahulu menentang hubungan intim sebelum ikatan perkahwinan. Bukan hendak menidakkan perhubungan intim kerana itu fitrah manusia tetapi bukan untuk dizahirkan sebelum ikatan perkahwinan yang sah. Lebih banyak keburukkan hubungan intim sebelum perkahwinan, terutamanya kepada perempuan. Ini antara ikutan cara hidup yang teruk disalin dari ideologi yang salah, atas nama kebebasan. Termasuk juga banyaknya adegan yang meraikan LGBT dalam karya masing-masing. Besar betul cabaran akhir zaman ini.

Cuma anak-anak lelaki kurang meminati cerita cinta. Berbeza dengan anak gadis kan. Cuma sekalipun cinta tak diangkat dalam genrenya namun masih diselitkan juga sebagai daya penarik. Anak-anak lelaki lebih gemar kepada genre aksi seperti High and Low. Ada 8 siri kesemuanya tetapi kami telah menonton 7 siri. High and Low: the Worst X siri terbaharu sahaja yang kami masih belum tonton. Saya tidak pernah mengangkat filem-filem gangster tempatan kerana saya tidak menggemarinya. Tidak dari segi penggunaan gaya bahasanya. Tidak dari jalan ceritanya. Saya berpendapat filem sebegini untuk hiburan semata. Begitu juga siri filem gangster High and Low ini. Jangan silap, saya tidak menggalakkan anda menontonnya. Tidak sama sekali. Tidak ada yang boleh dibanggakan selain daripada semangat setia kawan. Apa yang hendak dibanggakan dengan pergaduhan. Kalah jadi abu, menang jadi arang. Cuma sekali lagi saya perlu tahu minat anak-anak dan cuba membimbing dari situ. Kami bercakap tentang adegan dalam filem yang kami tonton. Tentang watak dan perwatakan di dalam filem itu. Saya tidak mahu menyekat minat dan anak-anak kemudiannya curi-curi menonton di belakang kami. 

Baru-baru ini tular kejadian seorang bapa membakar koleksi K-Pop kepunyaan anak gadisnya. Anak gadis itu menangis. Kejadian ini dirakam dan ditularkan oleh ibu si gadis. Tersentuh hati melihat reaksi dan air mata anak gadis itu. Berdasarkan kejadian itu, ada beberapa cadangan netizen untuk mendepani minat anak-anak yang sedang meniti usia remaja. Usia yang sangat rapuh dan penting. Hubungan ibu bapa dan anak-anak sering teruji di saat usia remaja anak-anak. Anak-anak tidak mahu dilayan sebagai kanak-kanak. Tidak mahu diatur. Tidak suka disuruh. Namun anak-anak tidak menyedari ada tindak tanduk mereka tak ubah seperti anak kecil yang perlu diawasi dan dibimbing. Saya bercakap tentang kejadian itu dengan anak-anak. Saya mahu mendengar pendapat mereka. Kemudian saya jelaskan pendirian saya tentang kejadian itu tetapi dalam masa yang sama saya juga bercakap tentang kerisauan dan kebimbangan dari sudut ibu bapa terhadap minat dan kesukaan anak-anak. Hasilnya anak gadis menurunkan poster kumpulan penyanyi K-Pop yang tergantung di dalam biliknya. 

Sebagaimana ibu bapa yang lain, kami juga bimbang dengan kelalaian dan pengaruh buruk. Saya sedar adalah sesuatu yang mustahil untuk kami menentang minatnya. Fenomena K-Pop bukan hanya melanda Malaysia tetapi di seluruh dunia. K-Pop adalah perdagangan bagi Korea Selatan. Mereka menjual melalui industri hiburan. Pergaulan sekeliling, kawan-kawan, sepupu-sepupu. Saya pernah bercakap dengan guru-gurunya. Menurut guru-guru, boleh dikatakan hampir semua pelajar perempuan meminati K-Pop. 

Malah kami sendiri menonton drama atau filem K-pop. Saya tidak ambil pusing soal muzik K-Pop tetapi saya masih mendengar lagu-lagu OST yang menarik minat dari beberapa drama dan filem yang kami tonton. Kebetulan sekali anak sangat menyukai kumpulan penyanyi Twice yang kesemuanya perempuan. Saya bersyukur belum pernah sekali anak saya itu memohon izin untuk pergi ke konsert. Walaupun kawan-kawan dan sepupu-sepupu semuanya sudah berpengalaman. Saya berkira-kira untuk turut serta bersamanya ke konsert kalau itu yang disuarakannya nanti sebagai jalan akhir. Saya jelaskan sekalipun poster yang tergantung di dalam biliknya itu, kesemuanya penyanyi perempuan namun pakaian mereka bukan yang dianjurkan fahaman agama kami. Menjauhkan malaikat rahmat mampir ke rumah. Namun saya tekankan bukan kesalahan bagi kumpulan penyanyi itu kerana anutan kepercayaan kami memang berbeza.  Saya juga beritahu saya tidak pernah berpeluang menggantung poster artis kesukaan saya di dalam bilik. Malah untuk mendengar lagu atau menonton persembahan artis itu juga dilarang sama sekali oleh ayah. Saya mendengar dan menonton secara sembunyi. Mengenangkan saya sendiri ketika remaja pernah mempunyai minat dan kesukaan, ianya lumrah juga bagi anak-anak. Saya juga menegaskan saya tidak menyalahkan ayah kerana memahami kegusaran dan kebimbangan ayah setelah saya semakin dewasa. Cuma saya beritahu anak-anak saya gembira berkongsi minat dengan mereka. Saya raikan minat mereka tetapi mereka mesti tahu hadnya. 

Keterujuan anak gadis saya terhadap K-Pop sehingga membolehkannya menulis, membaca dan bertutur Bahasa Korea. Semuanya dipelajari atas inisiatif sendiri. Saya cuma menyokong dengan menyediakan buku-buku  yang diperlukan sahaja. Saya pernah membincangkan untuk anak memasuki kelas Bahasa Korea secara insentif. 

Trend anak-anak muda lelaki, lebih menggemari komik animasi. Jepun terkenal dengan manga dan animasi. Menghasilkan lukisan animasi daripada karekter kesukaannya juga minat yang diraikan. Kami mencabarnya menghasilkan lukisan animasi keluarga. Antara animasi yang disukai anak-anak suatu masa dahulu adalah Beyblade. Bukan hanya belikan beyblade. Anak-anak masuk pertandingan beyblade dan menang. Banyak komik animasi kemudiannya diadaptasi ke layar perak. Ada juga drama dan filem yang dihasilkan dalam komik animasi kemudiannya termasuk High and Low: the Story of S.W.O.R.D. Sudah tentu sebagaimana ibu bapa lain, saya mengharapkan ini cuma bersifat sementara. Sebagaimana pantai yang sentiasa berubah. Semoga perubahan yang lebih baik menanti. Sementara itu kutip yang baik-baik dan tepis yang buruk-buruk. Sama-sama kita berusaha.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...