Skip to main content

Anak atau Ibu Bapa Yang Derhaka?

Apa pendapat anda apabila melihat poster filem arahan Tatsushi Ohmori ini? 

Adakah anda melihat betapa dalamnya kasih seorang ibu terhadap anaknya? Adakah anda merasakan betapa mesranya hubungan seorang ibu dengan anaknya? 

Apakah makna seorang ibu? 

Ada satu petikan mengatakan, anda merupakan seorang ibu apabila anda mengutamakan kebahagiaan dan kepentingan anak, melebihi kebahagiaan dan kepentingan anda sendiri. 

'Mother' mengisahkan seorang anak bernama Shuhei yang bukan sahaja diabaikan oleh ibunya. Malah menerima penderaan emosi, mental dan fizikal secara berterusan. Hasilnya, Shuhei tumbuh sebagai seorang remaja yang 'kosong'. Tidak ada arah tujuan dalam hidupnya. Tidak ada impian mahupun kesukaan. Seluruh hidupnya diabadikan sepenuhnya untuk ibunya. Shuhei seorang anak yang sangat baik. Shuhei juga tidak banyak bercakap (pendiam) demi melindungi ibunya.

Shuhei bersedia melakukan segala yang dipinta oleh ibunya tanpa banyak soal. Tidak perlu ke sekolah. Shuhei patuh. Ibunya arahkan Shuhei menyediakan makanan untuk dia dan teman lelakinya. Shuhei menurut. Shuhei diminta berpura-pura berlakon (menipu) bagi mendapatkan makanan dan wang, Shuhei tidak membantah. Shuhei itu. Shuhei ini. Shuhei menurut seperti robot. 

Akiko, ibunya memperalatkan Shuhei. Mempergunakan Shuhei untuk kepentingan dirinya sendiri. Akiko tidak bekerja. Kalaupun ada dia bekerja, adalah dengan melacurkan dirinya. Apabila wang di tangannya habis, Akiko heret Shuhei ke sana sini bagi mendapatkan wang. Akiko menggunakan Shuhei sebagai alasan. Bagai mendukung biawak hidup, sudah tentu orang tua dan keluarga Akiko marah dengan sikapnya. Berulang kali meminjam wang tetapi tidak pernah membayarnya semula. Tahi judi tentulah wang takkan lekat di tangannya. Setiap kali ditegur atau disaran tentang kehidupan yang teratur dan masa depan Shuhei, Akiko lantang bertempik soal hak mutlaknya sebagai seorang ibu yang melahirkan. Tetapi yang menyakitkan Akiko tidak pernah berperanan sebagai ibu untuk Shuhei.

Shuhei ketika kecil pernah ditinggalkan berseorangan di rumah, berhari-hari. Tanpa wang. Tanpa makan minum apa lagi pendidikan. Shuhei dibiarkan tanpa penjagaan. Sedang Akiko hidup berpeleseran. Tergamaknya Akiko meminta Shuhei memasukkan wang untuknya (berhibur). Anak kecil yang polos ini tanpa berlenggah menyerahkan semua wang yang ada padanya. Wang pemberian daripada ibu saudaranya. Akiko balik semula ke rumah apabila semua wang telah habis. Menangih wang daripada anak kecilnya, Shuhei. Sikit tak dipedulikan, Shuhei yang menjalani hidup sendirian tanpa bekalan elektrik, gas ataupun makanan. 

Kebiasaan Akiko mabuk, berjudi dan silih berganti menjalinkan hubungan dengan lelaki. Lelaki pilihan Akiko seperti lalat memanglah mencari puru. Kebiasaan Akiko yang memburukkan lagi hidup Shuhei. Bayangkan seorang anak yang terpaksa menyaksikan ibunya menjalini hubungan intim selain dipukul di hadapan matanya sendiri. Akiko juga tidak mempertahankan Shuhei yang didera oleh kekasihnya. Akiko hanya peduli keseronokkan diri sehingga melahirkan seorang anak perempuan, Fukuya yang kemudiannya diasuh oleh Shuhei. Shuhei mengambil alih peranan ketua keluarga sepenuhnya. Hidup melarat dan merempat di jalanan sehingga mendapat perhatian Pihak Pertubuhan Kebajikan. Sekali lagi Akiko tidak memanafaatkan kesempatan itu untuk berubah. Tidak belajar dari pengalaman, Akiko memilih melayan cinta buta dengan lari tanpa arah mengikut teman lelaki yang telah berkali-kali membuangnya. Sedangkan Shuhei pada ketika itu teruja kerana dapat peluang belajar dan bergaul di dalam kelas untuk anak-anak gelandangan. Buat pertama kali, Shuhei menyuarakan keinginannya untuk tetap tinggal sendirian dan bersekolah. Malangnya, Akiko membalas dengan cemuhan dan cercaan. 

Minda Shuhei sudah dipasakkan untuk patuh kepada ibunya. Shuhei sudah menerima salah asuh bertahun-tahun lamanya. Shuhei hidup di bawah telunjuk ibunya. Tidak ada sesiapa dapat membantu atau membimbing Shuhei. Shuhei tidak ada kawan selain daripada ibu dan adiknya. Shuhei mencuri demi keperluan ibunya. Shuhei tidak dapat membuat pertimbangan yang wajar dan tidak tahu kesan daripada tindakannya. Shuhei sudah tidak dapat membezakan kasih sayang sebenar. Apabila Akiko mengarahkan Shuhei mendapatkan wang daripada bekas suaminya, Shuhei telah dipelawa oleh ayahnya untuk tinggal bersama-sama. Shuhei menolak. Bertahun-tahun tanpa perhatian dan belaian kasih sayang daripada seorang ayah, sudah tentulah bukan mudah untuk Shuhei menyambut tangan ayahnya. Apabila datuk dan neneknya menunjukkan kegembiraan dan kemesraan berjumpa dengannya, Shuhei malah membalas dengan membunuh kedua orang tua itu. Menurut Akiko yang telah dibuang keluarga, hanya dengan cara itu mereka akan mendapatkan wang. Jika Shuhei gagal mendapatkan wang, Fukuya akan mati. Begitulah ugutan yang Akiko pasakkan dalam fikiran Shuhei. Sesuatu yang buruk akan berlaku kepada dirinya dan Fukuya jika Shuhei ingkar arahan. Apabila Shuhei tertangkap, Akiko menafikan mendesak Shuhei. Akiko bukan sahaja tidak terkesan malah menyalahkan Shuhei sepenuhnya. Bukan dia yang menyuruh Shuhei mencuri. Bukan dia yang mendesak Shuhei untuk membunuh. 

Anda mungkin tidak nampak pancaran kasih sayang Shuhei terhadap ibunya dalam poster filem 'Mother' tetapi filem ini menyelam betapa dalamnya kasih Shuhei terhadap ibunya.

Apa? Kenapa? Mengapa? 

Ini soroton kisah hidup seorang pesalah juvana yang barangkali sukar difahami umum. Jenayah yang dilakukan berkat salah asuhan bertahun-tahun lamanya. Ini kisah daripada prespektif Shuhei. Kisah hitam perjalanan hidupnya dari kecil sehingga membawa kepada penjara. Shuhei pasti sudah sangat lelah dengan hidupnya. Jelas Shuhei, "Setidak-tidaknya di sini (penjara), saya dapat makan dan membaca." 

Sedih, marah, simpati dan kecewa berbaur usai menonton 'Mother'. Menonton cerita ini, sudah lama. Cuma tidak ada kekuatan untuk menulis tentangnya. Air mata berjuraian ketika menulis. Menurut Shuhei ketika menerima lawatan daripada Aya, pekerja sosial Pihak Pertubuhan Kebajikan di penjara, 

"Saya sayangkan ibu saya. Saya telah menjalani kehidupan yang salah sejak dari mula lagi. Apakah menyayangi ibu saya juga suatu kesalahan?" 

Tidak semua ibu bapa layak memiliki anak walaupun mereka merupakan ibu bapa kandung. Dalam keadaan tertentu anak itu sebaiknya diasuh oleh orang lain kerana ibu bapanya, ibu bapa yang derhaka.

Akiko itu ibu yang derhaka. Akiko menafikan semua hak yang sepatutnya dimiliki Shuhei. Hak asas untuk mendapat penjagaan yang baik - makan minum, pakai dan tempat tinggal yang terjaga dan selamat. Hak anak kecil untuk bermain. Hak untuk mendapatkan pendidikan. Hak untuk disayangi dan menyayangi. Hak untuk dilindungi. Ayah Shuhei itu bapa yang derhaka kerana meninggalkan anaknya diasuh dalam jagaan seorang wanita yang telah diketahui tidak bertanggung jawab. Gagal bertanggung jawab ke atas anaknya sejak mereka masih berumahtangga lagi. Apakah akan berubah menjadi ibu yang lebih bertanggung jawab setelah berlaku perceraian? Perceraian tidak memutuskan hubungan ibu bapa dan anak. Tidak memutuskan kasih sayang dan tanggung jawab. Adakah dengan pemberian wang sahaja sudah mencukupi?

Cerita hidup Shuhei berlaku di alam nyata. Bahkan di negara kita sendiri ada begitu banyak Shuhei. Seorang anak yang menerima layanan buruk. Tidak diberi pendidikan, didera, diliwat, dirogol, dicerca, dihina, diperah tenaganya untuk menyara keluarga dan paling menyedihkan semua itu dipasakkan ke dalam minda anak-anak, ini dilakukan demi kasih sayang. Konsep kasih sayang yang salah.

Tahukah anda filem 'Mother' ini digarapkan daripada kisah yang benar-benar berlaku di Kawaguchi, Wilayah Saitama, Jepun? Pada 26 Mac 2014, pasangan suami isteri warga emas telah maut di tangan cucunya sendiri. Seorang remaja berusia 18 tahun telah dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun kerana membunuh datuknya, Masaaki Ozawa dan neneknya, Chieko. Atas permintaan ibunya sendiri, dia mesti mendapatkan wang daripada datuk dan neneknya walaupun dengan cara membunuh. Si ibu pula hanya dijatuhi hukuman penjara selama 4 tahun dan 6 bulan.

https://japantoday.com/category/crime/18-year-old-youth-gets-15-years-for-murdering-grandparents

https://japantoday.com/category/crime/elderly-couple-found-stabbed-to-death-in-saitama-apartment?comment-order=latest

* Saya menulis kisah ini kerana saya kira ada kaitannya dengan sebuah kisah yang sedang tular sekarang. Doa saya kirimkan dari jauh, semoga urusan anak itu dipermudahkan. Semoga anak itu terus kuat dan dapat diselamatkan. Hubungan kekeluargaan ini ada kalanya rumit. Bukan mudah menerima 'tangan luar'. Meskipun sudah terang lagi bersuluh, anak itu perlukan bantuan. Ibunya juga perlukan bantuan. Kedua-duanya perlukan bantuan sebelum terlambat dan menjadi satu lagi kisah Shuhei. Barangkali ayahnya selain jika benar perlu dihukum atas kesalahannya dan juga perlukan pemulihan. Satu lagi kisah masyarakat yang sakit.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...