Skip to main content

Taare Zameen Par = Disleksia

Sempena hari Jumaat yang mulia, saya ingin kongsikan sesuatu. Perkongsiaan saya tak sebagus, perkongsian Aamir Khan dalam Taare Zameen Par. Barangkali anda lebih arif, suka saya jika anda juga sanggup berkongsi. Oleh kerana saya juga masih 'hijau', maafkan saya jika ianya tak seperti yang anda harapkan. Jika mana-mana perkataan, ada yang melukakan, saya minta maaf. 

Sila beri senyuman lebar kalau anda peminat aktor, Aamir Khan.

Sebelum negara dihentam oleh badai dari Korea dengan K-Pop & K-Drama, cerita dan irama Bollywood lebih dahulu memukul. Sewaktu filem Taare Zameen Par ditayangkan di negara kita, saya menonton sebagai peminat kepada pelakon kacak, Aamir Khan. Berair mata menonton kisah anak istimewa ini. Saya kembali mengulang tonton. Kali ini bukan kerana Aamir Khan, sebaliknya kerana disleksia, tema cerita ini.



Selama ini, pengetahuan saya terbatas kepada definisi disleksia itu sendiri iaitu Dys (kesukaran) and Lexia (menggunakan huruf). Disleksia = pada definisi saya adalah tulisan terbalik. Ada huruf-huruf yang ditulis terbalik. Sungguh pun pernah menonton filem ini, saya lupa ciri-ciri lain yang Aamir Khan ketengahkan.

  • sukar menggenakan butang baju,
  • kerap lupa cara untuk melakukannya, 
  • tak pandai menggenakan tali leher, 
  • susah hendak mengikat tali kasut dan 
  • banyak lagi ciri-ciri lain yang menunujukkan seseorang itu seorang dyslex.

Pendidikan negara yang menekankan kejayaan dalam peperiksaan sekaligus sangat menekankan kemampuan seseorang anak itu menulis, membaca dan mengira. Tidak percaya? Sekiranya ada punya anak-anak kecil terutama anak-anak yang hendak memasuki alam persekolahan, tentu setuju dengan saya. Ada ujian sebelum anak-anak mula melangkah masuk sebagai murid tahun 1. Sebagai ibu bapa, sudah tentu mahu anak-anak kita ditempatkan dalam kelas cerdik. Kelas A, bahasa mudah.

Malah sebab ini juga pra sekolah mengiklankan tadika mereka, tadika yang terbaik. Anak-anak dikatakan atau lebih mengujakan "dijamin" akan dapat membaca, menulis sebelum memasuki tahun 1. Clap, clap. clap...Sebab ini juga bermula dari pra sekolah, sudah ada peperiksaan. Sudah dibebankan dengan kerja rumah. Zaman main-main mereka berlalu sebaik mereka menjejakkan kaki ke tadika. (Mula-mula saya protes, saya tak mahu "bunuh" keseronokkan anak saya saya membesar hahaha.... Betul. Semasa saya cari pra sekolah untuk anak sulung saya, itu yang saya rasa).

Tidak keterlaluan saya katakan atas sebab ini juga, jadi viral kisah seorang guru yang meminta ibu bapa memastikan anak-anak mereka sudah boleh membaca, menulis dan mengira apabila mereka memasuki tahun 1. Atas tiket, pendidikan sudah maju ke hadapan. Jejak kaki tahun 1, bukan lagi masanya untuk guru-guru hendak mengajar anak-anak untuk mengenal A, B, C atau 1, 2, 3. Atas sebab itu juga, jangan terkejut jika anda diberi surat untuk bersemuka dengan guru kerana anak gagal ujian LINUS. Jangan salah tanggapan, saya tidak menentang perjumpaan guru dan ibu bapa untuk membincangkan masalah pembelajaran anak-anak. Malah saya rasa syukur sebab ada masanya saya sendiri hilang arah apabila belek-belek buku-buku latihan anak-anak, ada kerja mereka yang tergantung. Hendak bertanya kepada guru, tidak ada nombor telefon guru. (Bukan semua guru bersedia, memberikan anda nombor telefon mereka). Jadi dijemput secara rasmi ke perjumpaan dengan guru-guru, antara agenda sekolah yang saya nantikan. Bukan tak boleh nak mengulang selalu ke sekolah tetapi guru-guru ini sibuk. Jadual mengajar dan kerja mereka mungkin akan terganggu dengan kehadiran tak diundang.

Sebenarnya semua ini, proses anak masuk tadika katalah umurnya 5 tahun. Kemudian 6 tahun dan masuk tahun 1 jika ditempuh tanpa rintangan, memang Insyaallah akan pandai membaca, menulis, mengira. Suka saya katakan, ibu bapa itu akan sokong 100% apa yang cikgu itu tulis dalam FB. Malah cikgu-cikgu lain pun tentu setuju. Tak keterlaluan akan ada yang berkata, "Anak saya sudah boleh membaca semasa umurnya 4 tahun".

"Saya ajar anak saya sendiri di rumah. Tak pergi sekolah tadika. Tak hantar tadika mahal-mahal. Anak saya sebelum darjah satu dah pandai membaca surat khabar, buku cerita, buku menu makanan di restoran, anak saya itu dan ini". 

Alhamdulillah. Berikan tepukan. Tahniah puan. Tahniah tuan. Teruskan usaha.

Mohd Shukri Hadafi


Ya, cerita anak-anak boleh membaca seawal usia sebetulnya bukan cerita baharu pun. Ingat lagi pelakon kanak-kanak dalam filem Menanti Hari Esok arahan Jins Shamsuddin, Mohd Shukri Hadafi? Umur 3 tahun sudah boleh membaca. Apa yang mengejutkan sangat? Sedang kita sebagai ibu bapa, memulakan komunikasi dengan anak sejak dari dalam rahim. Kita bacakan ayat-ayat suci. Kita bacakan buku. Kita dengarkan muzik. Itu juga satu poses pembelajaran. Ibu adalah guru pertama anak-anaknya. Ketika anak kita bayi lagi, kita belikan soft book atau hard book. Kita beli blok A, B, C. Kita beli blok nombor 1, 2, 3. Kita beli hamparan pun, yang ada abjad A, B, C. Apa tujuannya?



Namun tidak semua orang perjalanan hidupnya, sama serupa. Ada orang laluan berlikunya di sini. Anaknya walaupun sihat akal fikiran, sempurna anggota tubuh badan tetapi bermasalah dalam menyempurnakan proses di atas. Jangan lupa Allah SWT, jadikan kita berbeza-beza. Walaupun telah dihantar ke tadika sejak usianya 4 tahun. Walaupun anak itu telah didedahkan ibu bapanya abjad dan nombor, seawal usia bayi.

Tak percaya? Tanya ibu bapa anak-anak yang punya masalah pembelajaran, contoh disleksia. Berapa ramai yang boleh kesan anak mereka disleksia ketika anak mereka masih bayi? Disleksia kebiasaannya dikesan apabila anak itu masuk alam persekolahan dalam sesuatu tempoh tertentu. Barangkali dikesan ketika umurnya 6 tahun atau ada yang lebih awal daripada itu. Ada yang lewat dikesan. Ada yang dikesan oleh ibu bapa. Ada yang berjaya dikesan oleh guru. (Tahniah kepada guru tersebut, bukan mudah kerana anak-anak murid anda ramai. Menjangkau 40 orang dalam satu-satu kelas). Ada ibu bapa tidak tahu pun tentang disleksia. Jangan terkejut apabila ada guru yang tidak tahu, disleksia. Tonton sahaja Taare Zameen Par. Lihat reaksi ibu bapa Ishaan apabila diberitahu Cikgu Ram Shankar Nikumbh, anak mereka disleksia. Tengok macam mana Ishaan menerima pendidikan daripada guru-guru yang tak tahu atau tak sedar akan masalahnya. Baik di sekolah lama atau sekolah baharu, masalah Ishaan tetap tidak selesai malah kian memburuk. Emosi Ishaan terganggu. Sehingga Ishaan bukan sahaja hilang minat untuk belajar tetapi merasa rendah diri dan tidak disayangi. Bahkan satu-satunya minat dan kepandaiaannya iaitu melukis juga, diketepikan. Tapi jangan marah. Guru-guru arus aliran perdana bukan guru-guru kelas pendidikan khas. Tambahan pula, jika ciri-ciri disleksia anak itu tidak jelas kelihatan. Kita ibu, kita bapa maka kita patut lebih tahu tentang anak-anak kita. Kita yang patut berusaha lebih lagi untuk anak-anak kita.



Jadi sebelum anda mendabik dada atau menuding jari, tolong jadi ahli masyarakat yang lebih prihatin. Bersyukur kerana anda tidak perlu melalui jalan yang berliku. Memang bilangan anak-anak bermasalah dalam pembelajaran tidak ramai tetapi tetap ada. Ada autisme, ada lembam, dan lain-lain lagi. Masyarakat masih ada yang tidak sedar tetang disleksia. Tolong jangan cepat menjatuhkan hukum, "Anaknya masuk tahun 1 pun tak pandai lagi baca sebab ibu bapanya pemalas. Mak bapa harapkan cikgu di sekolah sahaja. Bukan masalah pun setakat nak ajar anak membaca". Wow! Wow! Wow!

Saya mengaku masa dengan anak-anak sangat terhad. Terutama ketika hari bekerja. Siang hari anak-anak ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Pulangnya paling awal jam 6 petang. Malamnya, mereka mengaji. Buat kerja sekolah. Tidak lama sudah sampai masa untuk tidur. Hari minggu pula, kadang kala ada tugas rasmi yang menunggu. Kadang kala memakan masa seharian. Saya mengaku kewangan yang begitu menghimpit, ramai ibu bapa bertungkus lumus bekerja. Ada yang bekerja siang dan malam. Erk... memang ada saranan untuk buat lebih daripada satu pekerjaan kan... hahaha...

Tolong juga jangan buat kesimpulan mudah, "Kalau dah tahu anak itu disleksia kenapa tak masukkan dalam kelas khas?". Memang ada kelas khas untuk pelajar disleksia. Tapi berapa banyak sekolah yang ada tawarkan pendidikan khas disleksia? Dalam Kuala Lumpur sahaja, ada berapa buah sekolah yang tawarkan kelas khas ini? Lagi pula, bukan semua anak-anak disleksia perlu diasingkan. Ada yang masih boleh bersaing dengan anak-anak arus aliran perdana yang lain kerana kemampuannya menguasai pelajaran tidak begitu teruk. Jangan terkejut kerana ada anak-anak disleksia yang lulus ujian pendidikan khas. Ada yang lulus ujian LINUS. Ini kerana setiap sesuatu itu Allah SWT jadikannya istimewa. Ada tahap yang membezakannya. Kategori yang berbeza. Disleksia bukan penyakit. Tidak ada ubat untuk merawatnya. Alhamdulillah, anak itu masih boleh dibimbing. Alhamdulillah, tubuh badan anak itu, sihat. Kita di sini bukan untuk menuding jari mencari salah sesiapa. Kita di sini untuk sama-sama membantu anak itu. Berapa ramai di luar sana yang berjaya walaupun ada disleksia? Cikgu Ram Shankar Nikumbh juga disleksia. Berjaya 'bangkit' dan berjaya membimbing Ishaan.   

Tuan Haji Isa Kamari, penulis kelahiran Singapura pernah berkata, beliau menulis berdasarkan  pengalamannya. Hari ini, saya menulis daripada pengalaman sendiri. Saya pernah melalui kedua-dua proses. Proses yang berjaya saya lalui tanpa sebarang masalah dan proses laluan berliku.

Atas tiket itu juga, sebagai ibu yang tidak mahu anaknya ketinggalan dalam arus perdana. Saya menuntut ilmu. Apa itu disleksia? Apa ciri-ciri disleksia? Bagaimana boleh anak disleksia dibantu? Masih banyak yang perlu saya pelajari. Atas sebab itu juga, air mata bukan lagi bergenang menonton Taare Zameen Par tetapi sudah mencurah.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...