Skip to main content

Cinta Park Jung Hwan & Shin Ha Gyung - Cinta Terzahir (Bahagian III)

Park Jung Hwan tidak mengungkapkan kata-kata cinta. Perlakuan. Tindakan. Renungan mata dan lirik senyum. Semakin bergula senyumannya pada Ha Gyung. Seolah-olah menyatakan secara tidak langsung kepada bekas isteri, cinta yang tersembunyi. Ada ketika di mana begitu sukar untuk beliau mendapatkan kerjasama Ha Gyung ketika bekerja, helah digunakan. Ha Gyung sebagaimana biasa, tewas dengan helah Jung Hwan. Ketika berhelah untuk mendapatkan maklumat, Jung Hwan bahkan menemukan sesuatu yang lebih berharga. Gambar mereka sekeluarga ketika meraikan ulang tahun Ye Rin. Diambil dari pejabat Ha Gyung dan disimpan di dalam dompet. Hanya satu nota pemberitahuan bukan meminta kebenaran.




Adik Jung Hwan, Dr Hyun Seon memujuknya menerima rawatan dan dimasukkan ke wad tetapi Jung Hwan menolak. Sejak mengetahui pembedahan Jung Hwan gagal, Ha Gyung juga tidak putus-putus memujuknya mendapatkan rawatan. Ha Gyung tahu rancangan percutian yang diidamkan mertuanya. Ha Gyung minta Jung Hwan untuk berehat, menghabiskan masa yang ada bersama Ye Rin dan ibunya tetapi tidak diendahkannya. Melalui Hyun Seon, Ha Gyung memperoleh kondisi kesihatan Jung Hwan dari semasa ke semasa. Ha Gyung selalu menyuarakan beliau akan berusaha membersihkan nama Jung Hwan dan mendedahkan kepada umum kejahatan Lee Tae Joon dan Yoon Ji Sook.

Jung Hwan tahu ketidakmampuan Ha Gyung membawa bebanan itu sendirian. Lebih pula rasa tanggungjawab menebus kesalahan setelah merasakan 7 tahun hidupnya dipersia-siakan. Bersama-sama Choi Yeon Jin, usaha mereka bertiga sering menuju jalan buntu. Sementelah kuasa Jung Gook Hyun hanya sebagai Timbalan Ketua Pendakwaraya yang menyokong mereka juga, terbatas. Sedang lawan mereka bercita-cita tinggi meluaskan kekuasaan. Hendak naik ke puncak yang lebih tinggi. Masing-masing melobi dan mencari helah untuk menjadi Menteri Kehakiman dan Perdana Menteri. "Jung Hwan, awak cuma ketua unit penyiasat di pejabat pendakwaraya, saya Ketua Pendakwaraya"


Dalam satu temuramah, Kim Rae Won memberitahu antara adegan yang paling mengesankan buat dirinya dalam drama Punch ini adalah:

1. Sewaktu Ha Gyung menunjukkan gambar ultrasound bayi mereka dan Jung Hwan bersetuju menerima lamaran Ha Gyung.

2. Ketika Jung Hwan menahan air matanya dan menyembunyikan perasaan sedih bersemuka dengan ibunya, tatkala rahsia hayatnya tinggal sebulan, terbongkar dan


3. Ketika Jung Hwan meluahkan perasaan kepada Ha Gyung keinginannya untuk terus hidup setidak-tidaknya untuk melihat Ye Rin memasuki alam persekolahan. Sememangnya banyak sekali adegan-adegan dalam Punch yang berjaya menyentuh sanubari. Terutama menghampiri episod-episod akhir. Berpeluang menonton kebanyakkan lakonan Kim Rae Won baik dalam filem atau drama sebelum ini, ternyata wataknya sebagai Park Jung Hwan, saya kira paling mencabar dan berjaya. Perwatakan Park Jung Hwan tegas, tenang dan bijak dalam menghadapi pelbagai kesukaran mahupun kesakitan. Jiwanya dilukis kental. Hanya kepada Ha Gyung dikongsikan perasaan sebenar dirinya meniti hari menghadap kematian, hajat yang tak tertunai dan kekecewaan serta kekesalan atas kesalahan yang telah dilakukannya. Park Jung Hwan banyak melakukan kesalahan bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya menjaga kepentingan Lee Tae Joon. Kesalahan paling besar yang dilakukan untuk kepentingan peribadi adalah memastikan tempat Ye Rin di sekolah rendah antrabangsa.  


Ha Gyung juga menyatakan kekesalannya 'melepaskan' Jung Hwan. Tidak tahu pengakhiran hidup Jung Hwan akan jadi sebegitu. Ha Gyung mendapat semangat baharu. "Jika saya mengalah dalam kes ini, dia akan bertindak mengikut caranya, tuan. Sebagai pendakwaraya memang saya tidak yakin tetapi sebagai isteri Park Jung Hwan, saya minta sokongan tuan"

Anehnya manusia. Lain di mulut, lain di hati. Apa yang diucapkan tak seiring seperti apa yang dilakukan. Sebetulnya manusia ini lebih pentingkan kepentingan peribadi. Berkali-kali Menteri Yoon Ji Sook menegaskan, undang-undang ada satu, satu untuk saya dan satu untuk mereka. Malangnya terpakai untuk orang lain sahaja, tidak dirinya. Sering juga ditegaskan, untuk mewujudkan dunia yang lebih baik, mesti dibayar dengan harga yang mahal. Sayangnya, dirinya sendiri tidak mahu mengorbankan apa-apa. Bahkan ghairah mencari peluang mendapatkan kerusi yang lebih empuk. Besar cita-citanya hendak menjadi Perdana Menteri dan 'kesepakatan' dengan Lee Tae Joon dirasakan sangat penting. Terdesak oleh penindasan Yoon Ji Sook ke atasnya, Lee Tae Joon mencari jalan melepaskan Jo Kang Jae dari penjara. Kembali menjadikan usaha Jung Hwan ke angka sifar.


Dalam kebuntuan itu, Ha Gyung datang membawa 'hadiah hari lahir' Jung Hwan. Ha Gyung mahu menyiasat semula kes Lee Sang Young mengelakkan diri dari menyertai khidmat tentera. Ha Gyung mendedahkan hasrat Yoon Ji Sook menjadikannya menantu. Kali pertama juga Jung Hwan menyuarakan rasa ragu-ragunya pada keadilan undang-undang, dibalas Ha Gyung "Jika awak pergi dalam keadaan begini, bagaimana saya hendak meneruskan sisa hidup ini? Awak akan pergi buat selama-lamanya. Lee Tae Joon, Yoon Ji Sook, mereka dalam satu kapal yang sama. Jika kes Yoon Ji Sook didedahkan, mereka akan karam bersam-sama. Saya akan tunjukkan kepada awak sebelum awak meninggal dunia. Ini hadiah hari lahir awak, saya harap awak menyukainya."

Setiap kali Jung Hwan mempunyai bukti, beliau akan bersemuka dengan Lee Tae Joon atau Yoon Ji Sook. Beliau memberi ruang untuk kedua mereka, bersama-sama dengannya untuk memikul tanggung jawab atas kesilapan pilihan masing-masing. Bersama-sama membongkar kejahatan lawan. Sementelah menyedari masa hidupnya sangat singkat. 

 "Tuan, saya akan pimpin tangan tuan ke mahkamah. Saya akan mati dalam penjara. Umur tuan akan panjang dan hidup sihat di dalam penjara." 

"Puan tidak akan hadir ke pengkebumian saya kerana puan akan berada di dalam penjara"
 
Namun setiap kali itu juga, lawannya enggan menyerah kalah. Masing-masing sudah selesa di kerusi empuk. Mencari jalan menutup tiap-tiap kesalahan dengan melakukan lebih banyak kesilapan dan menganaiya orang lain. Meskipun Jung Hwan berjaya membuktikan wujud bukti Yoon Ji Sook mengenetepikan kes anaknya sendiri dari menyertai khidmat tentera, Lee Tae Joon 'menidakkannya'. "Saya hidup cuma sekali. Mengapa mereka hendak hidup, dua tiga kali? Menutup kes menggelakkan diri dari khidmat tentera. Menutup kes-kes yang lebih besar dengan wang dan kuasa"

Kes kemasukkan anaknya, Ye Rin ke sekolah rendah antarabangsa tidak mengikut saluran betul jadi hebahan umum. Kasihan anak se kecil Ye Rin yang turut diheret dalam kekotoran politik kuasa dan wang. Tahniah kepada Lee Ho Sung, sekali lagi menjadi gunting dalam lipatan. Kawan yang makan kawan. 


Belum pun dapat Jung Hwan menyelesaikan kekusutan itu, rumah Ha Gyung pula di geledah kerana dakwaan ada masalah dengan cara Jung Hwan membuat pembayaran ke atas apartment yang dihadiahkan kepada Ha Gyung di Gangnam. Ha Gyung dikatakan bersekongkol dengan salah guna kuasa Jung Hwan selama ini. Perceraian mereka diragui. Ho Sung sendiri mengumumkan "Pagar Park Jung Hwan". Jauh lebih awal daripada sasaran. Park Jung Hwan dan Shin Ha Gyung juga tidak bertangguh. Sebagaimana eratnya genggaman tangan mereka berdua bersatu.


Meletakkan diri di peringkat terendah. Dalam budaya Korea, melutut adalah perubuatan hina. Rasanya dalam mana-mana budaya pun, tidak ada  sesiapa mahu melutut kepada orang lain. Betul tak? Kata Lee Tae Joon kesal kerana terpedaya, "Jung Hwan tidak akan melutut pada saya sekalipun lututnya, patah". Itu harga helah yang terpaksa dibayar Jung Hwan bagi menyelamatkan maruah Shin Ha Gyung dan Park Ye Rin. Tidak rela keduanya terutama Ye Rin terus menjadi mangsa, Jung Hwan melutut memohon ehsan, "Tuan, tolong tukar 'lampu hijau', untuk jalan saya 'keluar'. Tolong selamatkanlah Ha Gyung dan Ye Rin" Balasannya, Jung Hwan meletakkan jawatannya sebagai pendakwaraya dan bersedia menyediakan bukti serta menerima tuduhan menerima deposit tunai bernilai 27 juta dollar dalam kes "Pagar Park Jung Hwan"
"Jung Hwan, awak pernah beritahu saya, kalau takutkan harimau tetapi mahukan kulitnya, tangkap anak harimau itu".
"Saya tak patut ajar tuan begitu"
"Saya akan selamatkan Ha Gyung dan anak awak tetapi dengan syarat. Awak ada sebulan lagi untuk hidup. Habiskan sisa-sia hidup awak di hospital. Saya akan arahkan bilik awak dikawal ketat."
"Tuan, saya mahu habiskan sisa-sisa hidup saya bersama keluarga"
"Saya akan benarkan keluarga awak melawat tetapi Shin Ha Gyung sudah bercerai dengan awak jadi dia bukan keluarga. Tak perlulah selalu sangat jumpa bekas. Betul tak? Saya akan lepaskan anak harimau, saya patut kurung harimau itu" 

Sindiran-sindiran tajam mengenai hubungan suami isteri yang terlerai memang menyakitkan. Tidak hanya Jung Hwan, malah Ha Gyung.

Park Jung Hwan perahsia. Luarannya nampak tenang dan berani tetapi hakikatnya, beliau sedih dan kecewa. Sedih kerana kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh ibunya, untuk melunaskan bil rawatan mediang ayahnya. Jadi walaupun keputusan pelajarannya jauh lebih baik, Jung Hwan hanya mampu melanjutkan pelajaran di kampung. Kesukaran hidup membangunkan semangatnya tetapi juga menjurus beliau memilih haluan hidup yang salah. Beliau begitu kecewa kerana wang dan kuasa sentiasa menidakkan kebolehan dan kebenaran dalam hidup. Sewaktu hidup bersama Ha Gyung pun, tidak dikongsikan masalah dan kekecewaan yang melingkarinya. Rahsia besar yang disimpannya mula terbongkar. Bukan sahaja, rahsia beliau sakit kritikal tetapi juga rahsia mengapa beliau memilih bekerja untuk Lee Tae Joon. Sebagai anak sulung dan lelaki pula, Jung Hwan adalah harapan dan kebanggaan ibunya. Jung Hwan sangat menjaga hati ibunya. Tidak pernah merungut. Terpaksa menahan diri daripada menzahirkan apa yang terbuku di hatinya setiap kali berhadapan dengan ibunya, memang sangat menyedihkan. Berpura-pura kuat, supaya ibunya reda melepaskannya. Begitu sekali Jung Hwan menjaga rasa ibunya. Lebih memilukan apabila terpaksa menenangkan anaknya, Ye Rin. Apabila Ye Rin tahu Jung Hwan akan mati dan meminta ayahnya itu untuk terus hidup. Bahkan terpaksa berhadapan dengan Ye Rin untuk mengakui dirinya tersilap langkah dan memohon Ye Rin supaya tidak membencinya. Tidak sedar, air mata ikut sama mengalir.


Jung Hwan mahu semua yang ada di sampingnya bersedia menerima kematiannya dengan reda.  
"Ayah macam mana kalau saya rindukan ayah"- Park Ye Rin
"Ayah akan sentiasa bersama dengan Ye Rin. Memang ayah takkan dapat bercakap atau pegang tangan Ye Rin tetapi percayalah, ayah sentiasa ada bersama-sama dengan Ye Rin"- Park Jung Hwan
Betapa pun beliau ingin sekali umurnya panjang namun Jung Hwan tidak sesekali memberi harapan kepada ahli keluarganya. "Mak, hiduplah 100 tahun. Gantikanlah tempat saya untuk melihat Ye Rin membesar dan berkahwin. Mak mesti ceritakan semuanya kepada saya, apabila kita berjumpa nanti"

Meskipun Jung Hwan banyak menutup kegiatan haram Lee Tae Joon termasuk menolong melaburkan wang rasuah yang diterima daripada Kim Sang Min, Jung Hwan tidak tahu bagaimana dan ke mana kesemua wang itu dibelanjakan. Oleh sebab itu Jung Hwan terpaksa menyeret Jo Kang Jae sekali lagi. Kali ini untuk membantunya menjatuhkan Lee Tae Joon. Tambahan pula Yoon Ji Sook merupakan pendakwaraya khas bagi kes "Pagar Park Jung Hwan". Lee Tae Joon memiliki cip yang mampu menjatuhkan Yoon Ji Sook. Yoon Ji Sook kini memegang senarai penerima rasuah daripada Lee Tae Joon. Mereka saling berpaut antara satu sama lain. Senang cakap, "kau jaga rahsia aku, aku akan tutup mulut rahsia engkau". Jung Hwan berusaha keras memecah 'pengikat' hubungan antara keduanya. Usaha itu juga gagal. Choi Yeon Jin tertangkap dalam penyamarannya. Jung Hwan malah jatuh sakit lebih teruk dan kes "Pagar Park Jung Hwan" tidak dapat dirungkaikan. Park Jung Hwan dikambing hitamkan. Rakyat "dibutakan" daripada kebenaran.


Ha Gyung merasakan cuma tinggal dirinya, untuk membersihkan nama Park Jung Hwan. Sebelum sakitnya bertambah teruk, sekalipun tahu Ha Gyung masih mencintainya, Jung Hwan tetap menguji. 
"Awak semakin pantas menaip. Dulu awak menaip menggunakan dua jari sahaja". 
"Saya belajar menaip menggunakan kesemua jari daripada awak. Saya belajar memandu daripada awak. Saya belajar minum juga daripada awak. Ada banyak kesan yang awak tinggalkan dalam hidup saya"
"Tentu awak malu dengan kesan yang saya tinggalkan ke atas awak"
"Awak memang betul-betul tak tahu, sewaktu kita bercerai dan sehingga sekarang bagaimana sebenarnya perasaan saya."
Ha Gyung tunduk terkilan tetapi ada senyum nipis terukir di wajah Jung Hwan. Betapa pun beliau berusaha menyimpan kegembiraannya, ianya tetap terzahir apabila beliau terus sahaja berkongsi dengan Ha Gyung panggilan yang diterima daripada Lee Tae Joon. Sesuatu yang tidak dilakukan sebelumnya. Tidak hanya gembira, umpan mereka mengena bahkan gembira kerana pengakuan Ha Gyung setidak-tidaknya menjelaskan isi hatinya yang sebenar. Ketika beliau menjatuhkan hukuman penggantungan tugas Ha Gyung, Ha Gyung pernah menyatakan, "Saya malu kerana pernah menjadi isteri awak".

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak ke

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang