Skip to main content

Cinta Park Jung Hwan & Shin Ha Gyung : Masih Adakah Cinta? (Bahagian I)

Dalam kebanyakkan sinopsis tentang drama Punch ini, korupsi adalah temanya. Memang betul ini drama yang mengetengahkan isu penyelewenggan, salah guna kuasa dan rasuah yang memualkan. Ini memang bukan drama melankolik atau romantik. Namun setelah menonton episod demi episod, saya simpulkan paksinya adalah cinta. Ini tentang cerita cinta Park Jung Hwan dan Shin Ha Gyung.

Pengenalan episod, Park Jung Hwan bermula garang. Sisi lembut Kim Rae Won sebagai Park Jung Hwan hanya terlihat ketika beliau menyantuni keluarganya iaitu ibu, adik perempuan dan anak perempuannya. Hubungan antara beliau dan bekas isterinya, Ha Gyung tegang kerana perbezaan prinsip hidup. Layanan mesra terhadap Ha Gyung hanya berlaku di hadapan Ye Rin, anak mereka. Ha Gyung terlihat sebagai dinding penghalang cita-citanya. Niat baik Ha Gyung untuk Jung Hwan berpatah arah, kembali ke jalan yang benar bukan terus sesat dalam terang, tidak diendahkan. Oleh itu, Ha Gyung tekad hendak membongkar salah guna kuasa Lee Tae Joon yang sekaligus akan mengheret bekas suaminya ke muka pengadilan. Lee Tae Joon merupakan seorang pendakwaraya senior yang bercita-cita menjadi ketua pendakwaraya. Walaupun dirinya terkenal dengan perlakuan jenayah rasuah dan salah guna kuasa. Kemalangan bas sekolah tadika anak mereka menjadi perdebatan hangat. Ha Gyung berkeras mengatakan syarikat Sejin Auto milik Presiden Kim Sang Min adalah penyebab. Sedang abang Lee Tae Joon, Lee Tae Seop adalah presiden boneka syarikat mengaut banyak keuntungan. Kim Sang Min juga banyak membantu Lee Tae Joon dari segi kewangan dan Park Jung Hwan adalah budak suruhan mereka. Hal ini dibantah Jung Hwan.


Bukan sahaja layanan terhadap Ha Gyung sama seperti kakitangan bawah yang lain. Malah Jung Hwan menggunakan kuasa yang ada sebagai pegawai atasan untuk menidakkan hasrat Ha Gyung. Ha Gyung digantung tugas. Oleh kerana langkahnya dikekang, Ha Gyung berhasrat menjatuhkan Lee Tae Joon ketika perbicaraan penentuan kelayakkan Lee Tae Joon untuk memegang jawatan ketua pendakwaraya. Jung Hwan memberi tentangan. Ugutan merebut hak penjagaan anak, sudah cukup mengejutkan Ha Gyung tetapi yang menghentikan langkahnya adalah berita ayah kepada anaknya itu menghidap malignant brain tumor.  Penyakit keturunan yang diwarisi daripada ayahnya. Ayah Jung Hwan pergi dalam tempoh 6 bulan setelah di diagnosis.  Berita sedih ini disampaikan sendiri Ha Gyung kepada Jung Hwan. Juga dalam keadaan tegang dan seharusnya pada ketika itu, diraikan sebagai detik Jung Hwan mengecap kejayaan dalam kerjayanya.


Namun Jung Hwan tetap optimis. Yakin penyakitnya masih mampu disembuhkan. Yakin pembedahan ke atasnya akan berjaya. Yakin dengan janji-janji Lee Tae Joon. Bagaimanapun Jung Hwan tumbang tiba-tiba di hadapan lawan (Jo Kang Jae) dan Ha Gyung, menyukarkan satu-satunya harapan yang ada. Ha Gyung menawarkan pertolongan supaya kes salah guna kuasa satu-satunya neurosurgeon yang sanggup membedah Jung Hwan dapat diselesaikan dengan syarat Jung Hwan membantu pemandu bas sekolah tadika dalam kes kemalangan bas sekolah anak mereka. Peringkat awal ini, kita penonton merasakan itu adalah simpati sesama manusia.  Simpati Ha Gyung.

Pembedahan Jung Hwan gagal. Jung Hwan koma. Harapan untuk hidup tipis. Ibu Jung Hwan berharap anaknya kembali. Ha Gyung pula beryakinan penuh bahawa bekas suaminya itu akan 'kembali'. Ha Gyung masih terus menyiasat kes kemalangan bas sekolah setelah Jung Hwan ternyata memungkiri janjinya. Sehingga saat akhir, Jung Hwan tetap setia dengan menutup salah laku Lee Tae Joon. Memujuk penyelidik Auto Seijin agar kekal berpihak kepada Lee Tae Seop adalah tugas terakhir yang diselesaikan sebelum ke dewan bedah. Jung Hwan optimis akan kembali sihat untuk mengapai cita-cita menjadi Ketua Pendakwaraya Korea Selatan. Kata Ha Gyung, "Jung Hwan minta diberikan peluang kedua ketika saya mengajukan perceraian, tiga tahun dulu. Jung Hwan akan kembali untuk membetulkan kesilapan dan menerima hukuman. Setelah itu saya akan berikan peluang kedua kerana dia adalah ayah Ye Rin. Tolong saya, Ho Sung".


Jung Hwan sedar setelah 5 hari pembedahan dilakukan dan ketika itu, Ha Gyung telah dipenjarakan oleh Lee Tae Joon setelah menjadi saksi pembunuhan yang dilakukan Lee Tae Seop iaitu abang kepada Lee Tae Joon sendiri. Inilah titik permulaan. Titik permulaan belum bermula apabila Jung Hwan didiagnosis menghidap ketumbuhan dalam otak. Titik permulaan di sini apabila mengetahui Ha Gyung dipenjarakan. Sangat menyakitkan apabila Park Jung Hwan sememangnya tahu siapa dalang di sebalik tuduhan bunuh yang dikenakan ke atas Ha Gyung. Merasa dirinya telah dikhianati. 


Tamparan lebih hebat lagi apabila menerima berita pembedahannya gagal dan tempoh hayatnya cuma tinggal sekitar tiga bulan sahaja. Dalam tegang dan getir, beliau masih boleh berfikir dan bertindak mendahului. Kata Jung Hwan tajam dalam senyuman "Terima kasih tuan kerana cuma membuat tuduhan bunuh tanpa niat. Lepaskan Ha Gyung. Jangan minta maaf, tuan. Saya yang patut minta maaf kerana tiada di sisi tuan ketika tuan terpaksa membuat keputusan yang sukar. Tolong hapuskan bukti-bukti yang ada. Perkara-perkara lain akan saya uruskan. Baharu beberapa hari saya tidak sedarkan diri, tuan telah hantar isteri saya ke penjara. Saya terlalu takut untuk berpaling tadah".



Jung Hwan cuba melepaskan Ha Gyung tanpa melibatkan Lee Tae Joon. Kes dialihkan kepada sumpah bohong isteri pemandu bas tetapi tidak dipersetujui Ha Gyung. Jo Kang Jae telah memperdaya isteri pemandu bas agar menjadi saksi pendakwa, sekaligus mengukuhkan Ha Gyung sebagai pesalah. Ha Gyung bertegas, "Keluarkan saya dari sini, Jung Hwan. Saya benar-benar hendak tinggalkan tempat ini. Saya sungguh rindukan Ye Rin tetapi saya tidak akan 'menggari tangan' isteri pemandu bas itu hanya untuk membolehkan saya terus hidup. Awak tahu kenapa Lee Tae Seop membunuh penyelidik itu. Bawa mereka ke muka pengadilan Jung Hwan. Hanya dengan cara itu saya boleh dilepaskan dari penjara ini".


"Menutup mulut pendakwaraya Choi Yeon Jin adalah hadiah terakhir saya untuk tuan. Saya pun mahukan hadiah juga. Ha Gyung. Berikan saya, Ha Gyung." Apabila pujukan dan permintaan melepaskan Ha Gyung tidak ditunaikan, Jung Hwan meletakkan nokhtah. Bukan lagi sebagai tangan kanan yang akan menutup semua penyelewengan dan dosa yang dilakukan Lee Tae Joon. Kesilapan paling besar Lee Tae Joon sehingga kehilangan panglima perangnya, apabila 'menyentuh' wanita yang masih bertakhta di hati dalam diam. "Saya tidak boleh minum arak kerana baharu keluar dari hospital, mari kita minum teh ucap selamat tinggal".


Tanggungjawab tergalas di bahunya yang jadi keutamaan dalam tempoh 'kembali semula' yang singkat. Keluarganya dan Ha Gyung yang masih dianggap di bawah tanggung jawabnya. Tidak sekali-kali larut dalam emosi. Satu semangat yang patut jadi ikutan. Satu harga yang sangat mahal perlu dibayar untuk menebus segala yang telah berlaku sepanjang 7 tahun. Perkara pertama adalah, Ha Gyung. Biarpun hakikat ikatan antara mereka telah terlerai tetapi masih ada anak pengikat kasih. "Berdoalah, Ye Rin. Ayah dengar permintaanmu".


10 tahun perkenalan mereka. Percintaan mereka adalah detik manis yang masih boleh membuatkan Jung Hwan menguntum senyum. Permulaan hidup mereka sebagai suami isteri yang sukar kerana kedudukan kewangan yang sempit tetapi membahagiakannya. Sehingga Jung Hwan memilih untuk bertukar haluan hidup tanpa diketahui asbab utama oleh Ha Gyung. Usaha demi usaha melepaskan Ha Gyung, berhalangan. Jung Hwan bahkan akan ditukarkan ke Amerika Syarikat kerana tidak putus harap dalam usaha membebaskan Ha Gyung. Namun Jung Hwan bijak memanipulasi keadaan dengan menyebabkan beliau dilantaik sebagai ketua penyiasat di pejabat Pendakwaraya. Sekaligus memberi peluang kepadanya menyiasat dan melepaskan Ha Gyung.


Meski hubungan mereka tegang tetapi tetap tidak mampu mengusir kekeliruan ramai. Malah jika tidak diyakinkan Jo Kang Jae, pembedahan Jung Hwan gagal, Lee Tae Joon teragak untuk mengalihkan beban kesalahan di bahu Ha Gyung.

"Ha Gyung itu isteri Jung Hwan" - Lee Tae Joon
"Tidak lagi, selepas mereka bercerai" - Jo Kang Jae

Mereka di sekeliling Jung Hwan dan Ha Gyung sentiasa berteka teki. 3 tahun usia perceraian mereka. Perceraian tanpa kerelaan Jung Hwan, hanya mengikut kemahuan Shin Ha Gyung. "Keputusan di tangan awak. Saya hanya menanti keputusan awak. Sama seperti perceraian kita dahulu".


"Awak selalu bertegang urat dengannya ketika duduk sebumbung. Berapa lama sudah awak bercerai dengannya? Mengapa masih ambil peduli tentang Shin Ha Gyung?" - Lee Tae Joon

"Bukan kerana Ha Gyung. Saya hendak menunaikan permintaan anak saya, tuan." - Park Jung Hwan

Ha Gyung tidak mengendahkan Lee Ho Sung yang menunjukkan minat. Ketika Jung Hwan koma, Ha Gyung berkeras meneruskan penyiasatan ke atas Presiden Kim Sang Min. Ha Gyung hendak membuktikan penglibatan Lee Tae Joon dan mereka dibantu oleh Jung Hwan. Ho Sung tidak berminat membantu dalam kes itu. Lalu dibawa Ho Sung ke hospital dan dijelaskan di hadapan Jung Hwan, mengapa beliau tidak mahu berganjak. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk memberi peluang kedua untuk bekas suaminya itu. Tutup buku. Tiada harapan.


"Tahniah. Saya dengar pembedahan itu berjaya. Tumor pun berjaya dikeluarkan." - Lee Ho Sung
"Ini tentunya berita buruk untuk awak." - Park Jung Hwan 
"Barangkali." - Lee Ho Sung

Choi Yeon Jin dari mula memang tidak berselindung tetapi Jung Hwan langsung tidak menyedari. Kehadiran Yeon Jin di rumahnya dan kelantangannya menyatakan hasrat, menyentak Jung Hwan. Jung Hwan cepat mematahkan tunas cinta dengan menekankan pendiriannya, "Tidak akan ada lagi perempuan lain sebagai isteri dan tidak akan ada anak lain lagi, saya sudah putuskan begitu, pada hari perceraian kami".

"Adakah awak masih menyimpan perasaan pada Shin Ha Gyung?" - Choi Yeon Jin
"Tidak" - Park Jung Hwan


Mulutnya menidakkan tetapi tindakan dan perbuatan bertentangan. Sayangnya, tanpa pengetahuan Ha Gyung.

"Hentikan Shin Ha Gyung. Jika tidak, saya yang akan hentikan dan dia akan terluka. Awak tak kisahkah bekas isteri awak sedikit terluka?" - Lee Tae Joon.

"Saya tak kisah tapi saya takut tuan yang akan lebih terluka. Ha Gyung pun dengar pengakuan daripada Presiden Kim Sang Min. Saya kenal dia. Jika dia dilukakan, dia akan membalasnya. Jangan sentuh dia. Terima kasih kepada tuan yang telah memenjarakan dia tanpa dia melakukan apa-apa kesalahan". - Park Jung Hwan

Namun usaha melepaskan Ha Gyung dari penjara, tidak memadamkan ketegangan antara mereka berdua. Ha Gyung marah kerana Jung Hwan berhelah dalam usaha melepaskannya. Lebih mengecewakannya kerana merasakan Jung Hwan mempersiakan peluang kedua 'kembali' hidup. Jung Hwan memilih berahsia. "Dunia tetap tidak berubah. Selamatkan diri awak dahulu. Sepuluh tahun, dua puluh tahun, ianya tak seperti yang awak fikirkan, Ha Gyung".


Lebih daripada itu, Jung Hwan tahu Ha Gyung takkan mungkin dapat menghadapinya sendirian. Tanpa kuasa. Tanpa wang. Tanpa dirinya. 

Comments

  1. Hi tuan blog - syidah.. salam sejahtera.. kami sedang mencari blogger bahasa melayu untuk ditampilkan dalam website kami.. sila email solah[@]baiboo.com.my jika syidah berminat... tq

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...