Skip to main content

Tolong Doakan - Batuk Berterusan

Pada hari terakhir 2012, saya berkejar ke hospital. Semalamnya kami ke klinik kerana rawatan yang diterima sebelum ini tidak memberi kesan yang baik. Batuk Adik Fitri semakin teruk. Doktor di klinik tidak mahu memberikan rawatan lanjutan sebaliknya merujuk Adik Fitri ke hospital.

Awal pagi Adik Fitri muntah dan mula demam. 38.8C. Urusan di hospital tidak lancar. Malah pada mulanya doktor keberatan menerima rujukan daripada doktor di klinik swasta. Atas alasan Adik Fitri cuma batuk. Namun saya berkeras. Batuk ini sudah berlanjutan ke bab lain pula iaitu demam. Saya bukan ada ilmu dalam bidang perubatan tetapi saya sangat pasti ini bukan petanda baik. Barulah doktor setuju untuk merawat. X ray dibuat dan kahak cuba disedut keluar. Adik Fitri muntah tetapi tidak ada kahar yang keluar. Keputusan x ray juga menunjukkan Adik Fitri dalam keadaan yang baik. Doktor memutuskan tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana bayi sememangnya akan lebih lambat pulih, berbanding orang dewasa. Doktor bekalkan ubat titis sekalipun Adik Fitri tidak lagi selesema.

Adik Fitri tetap juga demam pada sebelah malam. Menyusupun kurang kerana selalu terganggu oleh batuk. Keesokkan harinya, hanya saya yang ke hulu ke hilir menguruskan persekolahan pertama anak-anak. Saya memutuskan Adik Fitri diam di rumah bersama Emak dan adik lelaki kerana keadaan kesihatannya itu. Hasrat Emak menghantar cucu sulungnya ke sekolah tak tercapai. Memang saya agak sibuk kerana hari pertama persekolahan ini tidak ada pengangkutan. Suami ada kursus wajib yang tak boleh ponteng. Mujur sekolah Kak Long dan Abang Ngah berdekatan. Abang Ngah tidak menangis jadi sangat memudahkan urusan saya.

Adik Fitri terus-terus demam sebelah malam dan awal pagi. Jadi kami terus ke bahagian kecemasan. Doktor di Unit Kecemasan agak marah kerana katanya, pernafasan Adik Fitri tidak normal. Laju. Doktor tersebut terus membuat keputusan memasukkan Adik Fitri ke wad. Berkampunglah saya dan Adik Fitri di wad 8B selama 6 hari.

Bermulalah episod yang sangat-sangat menggugah hati keibuan apabila terpaksa menahan hati mendengar dan melihat esak tangis dan jeritannya setiap kali jarum ditusuk atau dipakaikan oksigen dan tiap kali mengambil nebuliser. Kuatkan semangat dan jadi malu untuk menangis apabila melihat kekuatan dan ketabahan ibu bapa lain yang punya anak-anak menghidap penyakit jauh lebih kritikal. Semoga Allah SWT sembuhkan penyakit anak-anak itu semua. Luluh hati mendengar rintihan kesakitan dan tangisan anak-anak itu.



Kegemaran Adik Fitri menghisap jari betul-betul memburukkan keadaan. Kalau boleh semua jari hendak masuk mulut. Beberapa kali line terpaksa dibuat semula. Tangan kanan. Tangan kiri. Kaki. Bengkak. Lebam.  



Tangannya kemudian dibalut dengan stokin dan kain. Itupun asyik tercabut. Sakit pun tetap lasak. Bukan hanya berat badannya menyusut, kesukaannya 'berbual' juga hilang. Rindu. Rindu keceriaannya. Rindu 'bual bicara'nya yang belum berbutir itu. Sebelum batuk menjadi teruk Adik Fitri sudah mula boleh meniarap. Namun dek kerana kesihatannya merosot, selalu ada atas dukungan sahaja.



Selepas 6 hari berkampung di hospital, Adik Fitri dibenarkan pulang tetapi mesti dikurantinkan selama seminggu sebelum dirujuk kepada doktor semula. Tempoh itu semua telah berakhir bagaimanapun sehingga entri ini ditulis, Adik Fitri masih lagi batuk. Berat rasa hati untuk kembali bekerja. Apakan daya.

Sekarang sedang berikhtiar untuk berubat ke tempat lain pula. Semalam kami ke Klinik Wangsa Sdn Bhd di Wangsa Maju. Khabarnya Dr Nadir Khan sangat bagus dalam menangani masalah kesihatan sebegini. Sekali lagi Adik Fitri ambil nebuliser. Melihat matanya sahaja sudah cukup menyedihkan. Mata mohon simpati. Kanak-kanak mana yang tidak menangis di bilik rawatan Dr Nadir? Kemudian kahaknya disedut keluar. Sedikit berbeza dengan cara yang dilakukan di hospital. Hasilnya, banyak sungguh kahak yang berjaya dikeluarkan. Bagaimanapun kata Doktor Nadir, masih ada kahak yang ada dan kami perlu menyusul lagi di lain hari. Tentu sekali. Demi kesihatan Adik Fitri.

Tolong doakan sama untuk kesembuhan Adik Fitri. Terima kasih.

Comments

  1. boleh try tengok link ni..info bagus..mungkin blh membantu..http://duniakecilkuini.blogspot.com/2011/12/berjaya-keluarkan-kahak-yusuf.html

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak ke