Skip to main content

Suratan atau Kebetulan

Jam sudah pukul 3.50 pagi. Saya tetap belum dapat lelapkan mata. Mungkin kerana hidung tersumbat. Mungkin kerana kepala sakit berdenyut-denyut. Esok hari terakhir, dia di rumah kami. Kami akan hantar dia pulang meskipun tempoh bekerja dengan kami belum cukup dua tahun. Dia adalah pembantu rumah ke tiga kami.


Pembantu pertama bertahan seminggu. Alasannya dia datang ke Malaysia untuk bekerja menjaga orang tua, bukan anak kecil. Saya mengandung anak kedua ketika itu. Anak saya yang sulung baru setahun lebih. Katanya awal-awal lagi, dia telah maklumkan kepada ejen namun ejen tetap menghantar dia kepada kami.

Ejen tukarkan dengan pembantu kedua. Masalah kamipun bermula. Betul-betul menguji kesabaran. Dia dipulangkan kepada ejen selepas kira-kira dua bulan bekerja. Perbelanjaan mengambil pembantu rumah ini, kami bayar tunai. Itu tidak akan dipulangkan semula. Kali ini, selepas dua bulan barulah kami dapat pengganti. Ketika itu, saya telah bayarkan wang pendaftaran bayi kami di Taska. Ejen beritahu gajinya adalah RM 500. Lebih RM 50 daripada yang dijanjikan sebelum ini. Kata ejen lagi, ini kadar baru. Kami akur. Mengenangkan bayi kami masih kecil, memerlukan perhatian dan jagaan rapi. Tambahan pula sejarah bayi kami yang keluar masuk hospital, rasanya Taska bukan pilihan terbaik. Semuanya berjalan lancar pada awalnya tetapi pada awal bulan ini, kami diuji lagi. Ejen diberitahu masalah baru yang timbul tetapi tiada tindakan. Hati kembali tidak tenteram sehinggalah kami nekad, tiada pilihan lain: hantar dia pulang. Terus ke negara asalnya. Anak-anak akan dihantar ke Taska.


Jumaat lalu, ejen hubungi saya, membantah tindakan kami. Menurut ejen, kami akan memburukkan keadaan. Pembantu akan mengadu ditipu. Soal ini akan melibatkan reputasi ejen kedua-dua belah pihak. Ejen sarankan kami menyerahkan pembantu itu kembali padanya. Satu surat akujanji mesti ditandatangani. Urusan penghantaran balik akan dilakukan oleh pihaknya. Ejen beritahu masalah yang kami hadapi ini antara lain, kami penyebabnya. Ini senarai kesalahan kami:
  • Kunci rumah ditinggalkan bersama pembantu;
  • Pembantu dibenarkan memakai telefon bimbit;
  • Tiada had sekatan pembantu di dalam rumah;
  • Tiada CCTV dan alarm;
  • Melayannya dengan mesra (macam kawan);
  • Kami sepatutnya, panggil pembantu terangkan kesalahan, beri nasihat atau amaran. Kami boleh juga panggil ejen beri kaunseling.

Ini pandangan saya pula:
  • Sekiranya saya kuncikan pembantu bersama anak-anak di rumah dan terjadi musibah, adakah ejen akan bertanggungjawab? Rumah kami hampir terbakar suatu ketika dulu kerana voltan berlebihan. Wajar neutral jatuh. Ketika itu, pembantu tidak ada telefon untuk hubungi kami. Hanya jiran dapat diberitahu ketika itu.
  • Seseorang yang berniat jahat pernah datang ke rumah kami, mendakwa kami meminta dia datang membaiki penghawa dingin rosak. Mujur pembantu menghubungi suami mendapatkan kepastian terlebih dahulu. Adakah ejen akan bertanggungjawab?
  • Ini saya akui, salah kami. Kami sangka dia amanah dan jujur. Jadi tiada sekatan untuk dia di rumah ini.
  • Saya akui kebaikan CCTV dan alarm. Namun kedudukan kewangan kami tidak mengizinkan untuk mengadakan semua perkara serentak. Kami utamakan apa yang penting dahulu.
  • Sebenarnya masih ada batas kemesraan itu. Saya masih tahu batasnya. Kami bekerja. Kedua-dua orang anak kami masih kecil, kami amanahkan kepada pembantu sepenuhnya. Tanpa pengawasan orang lain. Sekiranya saya melayani dengan kasar, bagaimana nasib anak-anak?
  • Kami memang tidak meminta ejen memberi kaunseling kerana pengalaman dengan pembantu rumah ke dua. Dia diberi kaunseling tetapi tidak sampai sebulan, kembali mencipta masalah. Ejen juga tidak datang serta merta. Bagi kami, cukuplah. Pembantu pun tidak mahu mengakui kesalahan. Dia sudah dewasa. Masakan tidak dapat membezakan baik buruk tindakan sendiri. Sedari awal sudah kami jelaskan peraturan. Pokok pangkal niat dan sikap.

Seperkara saya jadi musykil. Setahu saya, sekiranya kami kembalikan pembantu kepada ejen, kami tetap akan rugi. Wang kami tidak akan dipulangkan. Tiket kapal terbang sudah dibeli. Ejen tidak akan gantikan pembantu yang lain. Sekiranya kami mengkehendakinya, kami perlu mengeluarkan sejumlah bayaran lain. Lagipun suami telah dapatkan penjelasan daripada pihak berwajib. Langkah yang kami ambil adalah mengikut nasihat pihak berwajib. Paling penting permit bekerjanya atas nama kami sebagai majikan sudah dibatalkan.

Pengalaman saya mungkin tidak sebanyak orang lain, dalam hal ini. Sayapun cuma berpengalaman dengan satu ejen sahaja. Namun saya merasakan majikan adalah yang paling rugi dan teranaiya.
  • Jika pembantu lari dari rumah, majikan tidak akan dapat ganti yang baru melainkan mengeluarkan sejumlah wang lain. Tambah malang, pembantu melarikan bersama anak, harta benda dan wang. Sudah selalu kita baca dan dengar berita begini.
  • Jika pembantu bermasalah diserahkan kepada ejen, ejen tidak gantikan yang lain secara percuma. Sejumlah wang perlu dikeluarkan. Tuan-tuan dan puan-puan, tiada yang percuma.
  • Jika majikan tidak dapat keluarkan sejumlah wang lagi dan hendak bertahan sahaja dengan segala masalah (masalah yang dicetuskan pembantu diceritakan, sehari semalampun belum tentu habis) yang diciptakan pembantu, majikan mesti tabahkan hati, kuatkan iman kerana ke mana tempat hendak mengadu. Ejen hanya berfungsi sebagai pembekal. Sekiranya anda tidak puas hati, tanggung sendiri. Anda yang buat pesanan.
Saya tak kata semua pembantu rumah itu, bermasalah. Ada yang baik dan benar-benar ikhlas bekerja. Beruntunglah majikan mereka. Setakat ini saya ingin cuba cara lain pula.
Entri ini saya tulis pada Ahad pagi 31.1.2010 kerana tidak dapat tidur. Subuh itu juga, saya terima panggilan daripada keluarga pembantu kami memaklumkan ayahnya telah meninggal dunia. Saya beritahu kami akan menghantarnya pulang pada hari Isnin. Namun keluarganya minta, dia pulang pada hari Ahad juga. Kami setuju. Tiket lain dibelikan. Ini suratan atau kebetulan? Bagi saya, Allah permudahkan urusan kerana kami tidak mahu dia pulang dengan hati sebal, marah dan kami tidak mahu mengungkitpun soal salah-salah yang dia lakukan. Alhamdulillah.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...