Skip to main content

#prayforhawari Semoga SAR Berjaya

Setiap orang punya impian. Impian Muhammad Hawari Hashim adalah untuk menawan puncak tertinggi di dunia, Gunung Everest (kira-kira 8,848 meter dari aras laut). Hawari telah berjaya mencapai impiannya. Pada tanggal 18 Mei 2023 kira-kira pukul 3:30 petang dengan dibimbing oleh malim gunung (Sherpa), Chatur Man (Chakra) Rai, Hawari berjaya berada di puncak dunia. Berita kejayaan Hawari dilaporkan dalam The Himalayan Times dan BNN serta media tempatan.





Hawari melakar sejarah sebagai pendaki OKU pertama negara yang berjaya ke puncak Gunung Everest. Dalam satu kenyataan tidak rasmi menyebut, Hawari merupakan pendaki OKU pendengaran kedua di dunia yang berjaya menawan puncak Gunung Everest. Sekaligus menjadikannya pendaki OKU pendengaran pertama di ASEAN. Tahniah Hawari. 

Gambar terakhir Hawari di puncak dunia pada 18 Mei 2023

Impian Hawari dilunaskan setelah gagal melakukannya pada tahun 2022, atas faktor cuaca yang buruk. Ketika itu, Hawari hanya sempat mendaki sehingga Kem 3 dan diminta berpatah balik atas faktor keselamatan. Beliau tidak berputus asa. Bersama pasukan yang sama, beliau kembali. Kali ini,  beliau berjaya berada di atas bumbung dunia, puncak Gunung Everest. Barangkali itulah impian terbesar beliau. 

Malangnya panas tak sampai ke petang, hujan turun di tengah hari. Hawari dilaporkan hilang sejurus selepas berjaya menggapai impian. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Pada ketika negara sedang bersedih dengan berita duka mengenai pemergian Leftenan Kolenel (PA) Tuan Awang Askandar Ampuan Yaacub ke rahmatullah. Arwah yang rebah dan kemudiannya menghembuskan nafas terakhir pada aras pendakian kira-kira 8,000 meter dari aras laut. 

Kehilangan Hawari masih misteri. Operasi mencari (SAR) Hawari masih diteruskan dengan ihsan tambahan lima hari oleh kerajaan Nepal. Sepatutnya SAR Hawari berakhir pada 28 Mei 2023. Pendakian ke Gunung Everest telahpun ditutup pada 29 Mei 2023. Usaha SAR Hawari bermula apabila beliau didapati hilang pada 19 Mei 2023. 

Gambaran kedudukan dari Everest Base Camp (EBC) hingga ke puncak 


Menurut kenyataan dari media sosial Malaysia Everest 2023, Hawari telah tiba di Kem 4 (South Col) pada 1:30 pagi bersama seorang Sherpa. Hawari berada dalam baik. Hawari diminta oleh Sherpa untuk berehat dan tidur terlebih dahulu. Hawari dibekalkan bekalan tangki oksigen yang dapat bertahan sehingga 12 jam oleh Sherpa. Sherpa tersebut memaklumkan keperluan untuknya, mendaki semula sehingga separuh jalan ke Balcony bagi membantu seorang lagi Sherpa yang pada ketika itu bersama-sama dengan arwah Tuan Awang Askandar (Tuan Awang Askandar meninggal dunia sebelum sampai ke Kem 4). Sherpa telah turun semula selesai membantu arwah Tuan Awang Askandar semampunya. Namun sekembalinya ke Kem 4, kelibat Hawari tiada di dalam khemah. 

Gambaran kedudukan kawasan Balcony ke South Col.

Berikutan kejadiaan itu, pihak Sherpa segera melaporkan kepada pasukan di Kem 2 melalui radio (walkie-talkie). Sekitar jam 10:30 pagi, SAR Hawari telah dilakukan oleh lapan orang Sherpa dari Kem 4 hingga ke Kem 2. SAR Hawari berlanjutan sehingga kira-kira jam 11:30 malam dengan menyemak keberadaan Hawari di Kem 4 hingga Kem 2. Namun Hawari tidak dijumpai. Usaha menjejak Hawari diteruskan dengan tinjauan dari udara tetapi gagal. Usaha pencarian darat yang memerlukan kepakaran tenaga mahir diteruskan dan masih menemui jalan buntu. 

Ngaa Tenji Sherpa berkongsi imej kawasan SAR Hawari

SAR Hawari ke dalam kawasan crevasse (ceruk yang sempit dan dalam)

Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Malaysia Everest 2023, Puan Ayu Wanirah Naharuddin memaklumkan operasi SAR Hawari menemui jaket Gore-Tex yang mengandungi 'recco' (sejenis alat pengesan) kepunyaan Hawari di Kem 2. Hawari juga cuba dikesan menerusi jem tangan pintar Suunto dan telefon bimbit iPhone milik beliau dengan kerjasama pihak polis Nepal. Pencarian Hawari juga diperluaskan sehingga ke kawasan pendakian di sempadan Tibet serta kawasan zon kematian. Malah permohonan pencarian menerusi imej satelit juga dibuat oleh Malaysia Everest 2023. Kini pencarian diteruskan dengan menggunakan teknologi drone berkuasa tinggi yang dibawa dari Malaysia untuk mengesan Hawari.

Gambaran kawasan zon kematian

Entah mengapa, hati sangat tersentuh. Barangkali kerana dapat merasakan kuatnya keazaman Hawari membuktikan kemampuan OKU pendengaran. OKU pendengaran ini terlihat normal di mata umum. Namun keterbatasan mereka tidak diketahui oleh kebanyakan orang ramai. Tak ramai yang tahu, betapa sukarnya mereka hendak belajar kerana mereka tidak dapat mendengar dan bertutur. Dalam keterbatasan itu, Hawari mampu membuktikan beliau berjaya menyahut permintaan isterinya, Safiyyah Tang Xie Ling untuk menghafal lima surah termasuk terjemahannya sebelum mereka diijab kabulkan. Memang benar OKU pendengaran berkomunikasi menerusi bahasa isyarat namun tetap ada keterbatasannya. Malah bahasa isyarat hanya didominasi oleh golongan OKU pendengaran, keluarga, guru dan kebiasaannya bagi mereka yang mempunyai hubungan dengan OKU pendengaran sahaja. Bahasa isyarat tidak dikuasai secara umum. 

Saya sendiri tidak akan tahu apa-apa sekiranya saya tidak membuat kajian tentang permasalahan OKU pendengaran ketika menuntut dahulu. Kajian yang membuka mata saya sepenuhnya. Alhamdulillah, sempat mengikuti bacaan Yasin dan doa selamat untuk Hawari yang dianjurkan oleh Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (Malaysian Deaf Muslim Association) secara dalam talian pada 25 Mei 2023. Bacaan Yasin secara lisan dipimpin oleh Ustaz Saiful. Manakala Tuan Aqlam Jafri memimpin bacaan Yasin menerusi bahasa isyarat. Jika anda bersama dengan mereka, anda akan lihat kesungguhan mereka disebalik keterbatasan yang mereka hadapi.

Dalam tempoh masa yang suntuk ini, saya mohon kita semua mendoakan kejayaan SAR Hawari.  Sebagaimana faktor cuaca memainkan peranan untuk pendaki membuat pendakian, begitu juga dalam operasi SAR Hawari. Masih memerlukan cuaca yang baik. Usaha SAR Hawari sangat sukar dan melibatkan pengalaman, kemahiran, peralatan dan paling penting, nyawa. Itu menjadikan SAR Hawari sangat mahal. Tolak tepi segala percanggahan pendapat antara kita.  Hendak 'membedah' operasi pendakian Malaysia Everest 2023, kita lakukan setelah pasukan Malaysia Everest 2023 pulang ke tanah air. Tumpukan pada usaha SAR Hawari terlebih dahulu. 

Hawari merupakan warganegara Malaysia. Sebagai warganegara, saya menyokong penuh usaha kerajaan dalam SAR Hawari. Hari ini, hari Hawari. Hari kita, akan datang. Entah apa pula dugaannya. Kita rakyat Malaysia, moyang, datuk, nenek, ayah, ibu, suami, isteri, kakak, abang, adik, cucu dan cicit, pasti merasakan yang sama apabila anggota keluarga kita memerlukan bantuan dan sokongan. Letakanlah diri kita dalam kasut keluarga Hawari seketika walaupun semua sedia maklum, pendakian ke puncak Gunung Everest merisikokan nyawa. 

Doa itu usaha kita. Kita tidak tahu doa siapakah yang akan dikabulkan. Semoga Allah SWT kabulkan doa kita semua supaya semua urusan SAR Hawari berjalan lancar dan Hawari berjaya dikeluarkan dari kawasan pergunungan Everest. Aamiiin.

#prayforhawari #SARHawari

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak ke

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang