Skip to main content

Belasungkawa Prof Madya Cik Salmah Salleh

Awal pagi ini saya terima berita sedih. Guru saya, cikgu saya, pensyarah saya, mentor saya, Prof Madya Cik Salmah Salleh telah kembali ke rahmatullah. Marilah sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah dan mendokan roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang dikasihiNya.

Melalui seorang rakan, saya dimaklumkan jenazah beliau akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kuantan Klang akan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ku Hassan pada pagi ini.


Arwah mengajar saya mata pelajaran yang sukar buat saya iaitu Cataloguing. Terlalu banyak kenangan. Suka dan duka. Manis dan pahit. Pernah menimba ilmu daripada beliau di bawah pokok kelapa kerana kami ketika itu menumpang di bangunan KSPU dan entah di mana silapnya, jadual bertindih dengan 'tuan tanah'. Akibatnya kami beralah keluar dari kelas dan belajar di hadapan pejabat LS, di bawah pokok kelapa, di hadapan longkang atau di bawah tangga dan di ceruk-ceruk yang mana ada ruang untuk belajar. Usung ke sana sini kitab AACR, DDC, LC atau LCSH, siang atau malam. 

Ini orangnya tanpa merujuk kitab-kitab tebal itu, masih mampu beri jawapan tepat kepada kami, anak-anak muridnya. Lama setelah saya keluar dari gedung menuntut ilmu, sekiranya diberi peluang saya tetap hadir ke kursus-kursus yang beliau kendalikan. Terasa masih banyak saya perlu saya belajar daripada beliau. Ilmu daripada beliau sebagaimana air yang sentiasa mengalir.

Ini juga orangnya yang saya jumpa ketika mula saya menjawat jawatan di sini. Ini orangnya yang memberi panduan dan nasihat, apa yang akan saya tempuh dan memahami karenah dan dugaan yang terpaksa saya hadapi. Oleh itu, meski dalam kesibukan saya tetap hendak menzahirkan penghargaan kepadanya. Walau setelah beliau tiada, beliau tetap di hati saya. Ini guru saya, Prof Madya Cik Salmah Salleh. Semoga Allah ampuni dosa beliau, Aamin. Semoga Allah limpahkan ganjaran atas semua kebaikkan beliau, Aamin.  

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

Panduan Memilih Buku Untuk Anak Disleksia

Membaca jambatan ilmu. Mari kita pupuk minat membaca untuk anak-anak disleksia kita. Walaupun membaca akan jadi perkara yang paling meresahkan untuk mereka. Mula-mula kita kena pilih buku yang sesuai.  Pilihan buku yang baik untuk anak disleksia antaranya mesti mengambil kira: Ada lebih banyak gambar berbanding tulisan .  Saiz tulisan yang besar dan menarik . Kenapa? Anak disleksia menggunakan bahagian otak yang berbeza daripada anak normal untuk membaca. Jadi mereka cepat lebih. Lambat faham. Kita tentu tak mahu anak kita cepat letih. Kita mahukan anak kita seronok membaca dan sukakan buku. Dr Ong Puay Hoon ( Presiden Persatuan Disleksia Sarawak ) sarankan, sebaik-baiknya dalam satu muka surat hanya ada sebaris ayat. Saya sertakan contoh yang diambil dari buku No, David! Puan Lee Voon Yee ( Psikologi Klinikal PPUKM ) menyarankan buku-buku kanak David Shannon . David Shannon merakamkan keletah dan kelakuan anak-anak. Sekaligus buat anak-anak...

Nasinya Tumpah Dan Talang

Nasinya tumpah adalah salah satu daripada cerpen-cerpen bermutu yang dihasilkan oleh pengarang tersohor, Fatimah Busu. Cerpen yang memenangi Hadiah Karya dan Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1972, ini juga diangkat dalam drama televisyen yang dilakonkan oleh Marlia Musa dan ND Lala. Saya mula membacanya ketika di bangku sekolah rendah. Ada apa dengan "nasinya tumpah"? Banyak. Antaranya, hikmah atas sesuatu perkara buruk yang berlaku. Mujur nasinya tumpah jika tidak, Bedolah pun akan sama meninggalkan dunia fana ini. Ini cerpen namun dapat menerbitkan rasa sayu. Sarat membawa mesej kemanusian dan kemasyarakatan. Bayangkan jika perkara sama menimpa diri atau ahli keluarga kita. Kutip cendawan, masak dan makan beramai-ramai. Saya sekeluarga juga pernah. Sedap! Sudah makan teringat semula cerpen ini. Memang menginsafkan. Bagaimana dengan keluarga yang memang apabila terjumpa cendawan bermakna itu rezeki mereka buat hari itu. Kutip, masak dan makan. Tanpa mengira sama ada ce...