Skip to main content

Cacar Air: Giliran Kak Long

Betul-betul genap 2 minggu Abang Ngah diserang virus varicella, giliran Kak Long menerima serangan. Ulang balik proses yang sama, ke rumah Teacher Nina untuk mendapatkan daun semambu, klinik dan mencari bekalan bedak sejuk (bedak sejuk untuk Abang Ngah habis digunakan, tidak cukup malahan). Pokok semambu di rumah cikgu Kak Long itu kecil sebenarnya. Jadi malu pula saya. Rupa-rupanya pokok herba itu ditanam di dalam pasu sahaja. Jadi kami mesti usahakan mencari di tempat lain pula. Saya kata pada suami, "Kita tanam sahajalah pokok ini di rumah". Macamlah kawasan rumah besarkan!

Saya hendak kongsi sedikit. Adat dan kepercayaan orang India, sekiranya anda hendak ambil daun semambu ini untuk perubatan, anda mesti letakkan syiling di pokok itu. Kononnya sekiranya anda gagal berbuat demikian, penggunaan daun semambu sebagai ubat tidak akan berkesan. Ini cuma perkongsian yang saya dapat dalam usaha mencari daun semambu untuk anak-anak.

Kebetulan sekali, suami baru sahaja jemput Abang Ngah dari Utara petang Sabtu itu. Tapi tidaklah bawa bekal daun semambu dari kampung. Yalah, mana tahu Kak Long pula akan jatuh sakit. Tengah malam itu Kak Long demam. Menjelang petang, cacar air bergelembung timbul agak banyak di tubuh dan mukanya. Kami rahsiakan daripada pengetahuan keluarga saya, tetapi selama mana boleh bertahan rahsia itu? Hari ketiga Kak Long menerima serangan, orang tua saya dapat tahu dan pukul 1:20 pagi keesokkan harinya, mereka telahpun ada di rumah kami. Selepas Maghrib mereka pun membawa kedua orang anak kami balik ke Utara. Serba salah, segan dan malu.

Kami suami isteri sudah mengambil cuti secara bergilir untuk menjaga Kak Long yang sakit. Namun orang tua saya tetap berkeras kerana keadaan saya sekarang. Mereka sangat risau kalau-kalau saya akan dijangkiti virus sama sekaligus akan memudaratkan bayi dalam kandungan. Saya memang akan kalah kalau berbalah. Hendak tak hendak kenalah beralah. Sudah tentu sama sekali, orang tua saya tidak akan balik dengan tangan kosong!

Kasihan Kak Long, keadaannya jauh lebih teruk daripada Abang Ngah. Pelupuk matanya juga ditumbuhi cacar air. Tak dapat disapu ubat atau bedak kerana sangat hampir dengan matanya. Matanya juga merah seperti dijangkiti sakit mata. Adakalanya pandangannya semacam terganggu tetapi semangatnya kuat, tidak menangis atau merengek. Sedih rasa hati. Tak jauh bezanya Kak Long dengan Abang Ngah, kedua-duanya tidak banyak karenah kecuali keengganannya menikmati air kelapa muda. Kalau tidak, memang suka betul dengan air kelapa. Mungkin tekaknya rasa tak selesa. Kak Long yang sememangnya susah untuk diberi makan tambah susah ketika sakit begini. Tambahan pula banyak pantang larang makan. Semua yang gatal dan panas seperti ayam, telur, daging dijauhkan. Ikan pun bukan semua boleh dimakan. Ikan merah, ikan selar, ikan yu, ikan tenggiri sahaja jadi pilihan. Saya elakkan menggoreng, kukus dan rebus sahaja. Sudahnya Kak Long lebih banyak bergantung pada susu sahaja.


Setiap kali memakaikan bedak bambu atau losyen, gamat dengan gelak tawa. Macam tepung gomak muka Kak Long. Bedak bambu yang saya sapu pekat-pekat pada muka dan tubuh akan jadi habuk-habuk setelah kering. Anak yang baik ini akan mengambil penyapu dan sapu habuk-habuk bedak yang gugur di lantai, sendiri. Memang saya tidak rasa terbeban menjaganya. Cuma ketika mereka tidur, mesti lebih banyak berjaga-jaga kerana tanpa sedar mereka akan menggaru kudis.

Ada hikmah di sebalik semuanya. Allah mengatur semua perkara dengan sempurna. Ada baiknya kedua-dua anak saya dijangkiti virus itu pada usia mereka begini berbanding takkala mereka telah menduduki sesi persekolahan. Hikmah juga, sekarang ini musim cuti sekolah. Sekalipun rancangan percutian keluarga terbatal namun itu lebih baik kerana 4 minggu akan datang Kak Long terlibat dalam aktiviti besar yang dianjurkan sekolahnya. Sebelum cuti sekolah lagi Kak Long sudah mula berlatih. Tentu sahaja sekiranya gagal menyertai aktiviti ini akan membuatkannya sedih. Syukur kerana jangkitan tidak berlaku saat-saat saya ingin melahirkan. Jika tidak, lebih besar risiko bakal ditanggung.

Saya beritahu anak-anak, semua anggota keluarga juga pernah dijangkiti virus ini. Semua kami pernah memakai bedak bambu dalam usaha memujuk mereka berubat. Saya tidak mahu mereka rasa terbeban oleh sakit ini. Saya ajarkan mereka berdoa memohon kesembuhan daripada Yang Maha Kuasa. Sesungguhnya hanya Dialah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

Panduan Memilih Buku Untuk Anak Disleksia

Membaca jambatan ilmu. Mari kita pupuk minat membaca untuk anak-anak disleksia kita. Walaupun membaca akan jadi perkara yang paling meresahkan untuk mereka. Mula-mula kita kena pilih buku yang sesuai.  Pilihan buku yang baik untuk anak disleksia antaranya mesti mengambil kira: Ada lebih banyak gambar berbanding tulisan .  Saiz tulisan yang besar dan menarik . Kenapa? Anak disleksia menggunakan bahagian otak yang berbeza daripada anak normal untuk membaca. Jadi mereka cepat lebih. Lambat faham. Kita tentu tak mahu anak kita cepat letih. Kita mahukan anak kita seronok membaca dan sukakan buku. Dr Ong Puay Hoon ( Presiden Persatuan Disleksia Sarawak ) sarankan, sebaik-baiknya dalam satu muka surat hanya ada sebaris ayat. Saya sertakan contoh yang diambil dari buku No, David! Puan Lee Voon Yee ( Psikologi Klinikal PPUKM ) menyarankan buku-buku kanak David Shannon . David Shannon merakamkan keletah dan kelakuan anak-anak. Sekaligus buat anak-anak...

Nasinya Tumpah Dan Talang

Nasinya tumpah adalah salah satu daripada cerpen-cerpen bermutu yang dihasilkan oleh pengarang tersohor, Fatimah Busu. Cerpen yang memenangi Hadiah Karya dan Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1972, ini juga diangkat dalam drama televisyen yang dilakonkan oleh Marlia Musa dan ND Lala. Saya mula membacanya ketika di bangku sekolah rendah. Ada apa dengan "nasinya tumpah"? Banyak. Antaranya, hikmah atas sesuatu perkara buruk yang berlaku. Mujur nasinya tumpah jika tidak, Bedolah pun akan sama meninggalkan dunia fana ini. Ini cerpen namun dapat menerbitkan rasa sayu. Sarat membawa mesej kemanusian dan kemasyarakatan. Bayangkan jika perkara sama menimpa diri atau ahli keluarga kita. Kutip cendawan, masak dan makan beramai-ramai. Saya sekeluarga juga pernah. Sedap! Sudah makan teringat semula cerpen ini. Memang menginsafkan. Bagaimana dengan keluarga yang memang apabila terjumpa cendawan bermakna itu rezeki mereka buat hari itu. Kutip, masak dan makan. Tanpa mengira sama ada ce...