Skip to main content

Jangan Cuba-cuba Hampiri

Tidak sampai 1 jam. Ada sesetengah keadaan, kita merasakan 1 jam itu sangat panjang. Ada sesetengah keadaan pula, kita merasakan ianya terlalu singkat. Kuliah itu berlangsung dalam tempoh itulah. Kupasannya tentulah ringkas sahaja. Gaya penyampaian Ustaz Fauzi Mustaffa diselitkan dengan lawak bersahaja, menjadikan masa yang ada dirasakan terlalu singkat. Walaupun berjenaka, Ustaz menegaskan jangan sesekali kita hampiri syirik. Namun sedarkah kita?

"Syaitan itu kalau diseru, ia pasti datang dan tidak mudah untuk meminta ia pulang".

Ini yang disebutkan pensyarah saya suatu ketika dulu. Ketika ramai pelajar perempuan di kolej diserang histeria. Sampai satu ketika kami semua solat berjemaah dan duduk membaca surah Yassin di kawasan lapang. Ustaz juga menekkan perkara yang sama, diseru ia datang. Pohonlah kepadanya akan ia berikan namun bersyarat. Sanggupkah kita penuhi syarat-syaratnya? Syarat-syarat yang bertentangan dengan ajaran agama kita dan berlawanan dengan amalan yang dianjuran Yang Maha Esa. Mahu tidak mahu, syaratnya ditunaikan kerana selagi tidak ditunaikan ia akan mengacau hidup. Mengalah sudahnya.

Sekarang bagaimana? Ia sudah datang. Sudah memenuhi permintaan. Syaratnya juga telah dilaksanakan tetapi ia tidak mahu pulang. Kes haru bukan. Ia tidak mahu pulang kerana mahu terus dipelihara. Nasi sudah menjadi bubur. Ia mahu diwarisi. Jadilah dari sihir kepada saka. Asalnya, akarnya, tunjangnya adalah sihir. Menjadi saka warisan turun temurun. Saka bomoh, saka bidan, saka kuat, saka silat, saka buaya dan sebagainya. Tidak semena-mena keturunan kita terpesong akidah. Tercapailah cita-cita sang iblis untuk menyesatkan manusia. Berdiri bulu roma. Jauh-jauhkanlah.

Sejak zaman Nabi Musa AS, sihir telah ada pengamalnya. Ingat mukjizat tongkat Nabi Musa? Pelbagai tanda dan kesan akibat daripada sihir. Sihir boleh melemahkan dan membunuh. Tujuan sihir untuk membunuh dikenali dengan santau. Penggabungan antara pengamal sihir, syaitan dan ramuan tertentu seperti serbuk kaca, jarum, dawai halus, bisa ular dan sebagainya, mampu membunuh. Teringat kata Cikgu Sobri, mengapa mereka tidak santau saja penjajah yang menjajah negara kita beratus tahun lamanya. Betul juga. Mengapa tidak santau Israel bedebah yang membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa? Wah, 2 kali nama Cikgu Sobri naik dalam blog ini. Jangan marah ye, Cikgu. Itu tanda saya ingat dan hargai Cikgu. Ayat bodek.

Ustaz menganjurkan amalan pendiding diri seperti:

1. Mengamalkan Ta'awwuz


2. Mengamalkan bacaan Bismillah

 
3. Mengamalkan bacaan ayat al-Qursi (paling kurang selepas solat 5 waktu)


4. Mengamalkan bacaan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas sebanyak 3 kali sebelah pagi dan 3 kali sebelah petang.

5. Amalkan membaca 2 ayat terakhir surah Al-Baqarah.

6. Amalkan membaca doa Bismillah 5 atau kubu bergerak sebanyak 3 kali sebelah pagi dan 3 kali sebelah petang.

Keyakinan kita kepada Allah SWT. Malah ayat Al-Quran bukan untuk dijadikan tangkal dan ayat pelaris. Kita berikhtiar dan berdoa untuk menjauhi muslihat ini. Tidak dapat tidak, sihir melibatkan hasad. Hasad dan dendam kesumat boleh membawa keburukan yang tidak dapat dibayangkan. Jauh-jauhkanlah.

“Kalau demikian, apa fikiran kamu tentang yang kamu sembah selain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan kepadaku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku)! KepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah dirinya.” (Surah Az-Zumar, ayat 38)

Hukum sihir, saka dan santau itu syirik, haram dan berdosa besar. Ada banyak firmanNya dan hadith yang menyentuh tentang isu ini. Ini tentang mempercayai jampi mentera, tangkal, guna-guna dan azimat pendinding.

"Sesungguhnya jampi mentera (tamaim), tangkal dan guna-guna itu perbuatan yang syirik". (H/R Ibn Majah (3521) at-Tibb. Ahmad (3433) Musnad. Abu Daud (3385) at-Tibb)
"Sesiapa yang memakai (mengantung) tangkal, maka ia telah melakukan kesyirikan". (H/R Turmizi (1998) at-Tibb. Nasaii (4011) Tahrimul ad-Dam)

"Sesiapa yang memakai (bergantung kepada) sesuatu (tangkal, azimat pendinding) maka dia telah bertawakkal dengannya. Allah akan menyerahkan urusannya kepada sesuatu itu". (H/R Turmizi dan al-Hakim)

"Barang siapa yang memakai sesuatu (tangkal, azimat atau pendinding) maka ia telah mewalikan atau bertawakal kepadanya". (H/R Ahmad (18035) Musnad al-Kufiyyin)

"Dari Isa bin Abdulrahman berkata: Kami melawat Abdullah bin 'Ukaim dan dia sedang sakit maka dikatakan kepadanya: (Ada baiknya) jika engkau memakai sesuatu (tangkal). Maka beliau berkata: Apakah aku akan memakai sesuatu (tangkal) sedangkan Rasulullah saw telah bersabda : Sesiapa yang telah memakai sesuatu (dari jenis tangkal) maka dia telah bertawakkal kepadanya". (H/R Ahmad (18030) Musnad. Turmizi (1998) at-Tibb)


"Sesiapa yang menggantung (memakai) tangkal maka ia telah melakukan kesyirikan." (H/R Ahmad (16781) Musnad)

Ini pula tentang mempercayai pengamal sihir dan tukang tilik. (Saya pernah baca mengenai ramalan bintang juga merupakan syirik. Saya tidak ingat sumber bacaan itu. Nantilah akan saya cari semula.)

“Beberapa orang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam tentang para tukang tilik.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Perkataan mereka itu tidak benar.”


Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya para tukang tilik itu kadangkala bercerita kepada kami tentang sesuatu, lalu perkara itu benar (menjadi kenyataan).”

Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Itu adalah kalimat kebenaran yang mereka sambar dari jin, lalu dibisikkan kepada ke telinga pembantunya, kemudian mereka mencampurkan kalimah yang benar itu dengan seratus pembohongan.” (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

“Barangsiapa yang datang berjumpa dukun lalu bertanya tentang sesuatu, maka sembahyangnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.” (Hadits riwayat Muslim)

"Sesiapa yang menjumpai tukang tenung, kemudian ia bertanyakan kepadanya sesuatu, ditutup baginya pintu taubat selama 40 malam." (Hadis riwayat Tabarani)

Berat sungguh. Bayangkan solat kita tidak diterima selama 40 puluh malam. Tahukah kita solat kita sempurna atau tidak, diterima atau tidak? Tidak diterima 40 puluh malam, oh tidak! Lebih parah lagi, ditutup pula pintu taubat. Dalam satu ceramah agama yang saya dengar di radio FM Kelantan pada petang Sabtu 5 Mac 2011, (Maaf, saya terlupa nama Ustaznya) Setiap dosa yang kita lakukan akan meninggalkan satu titik hitam. Jadi kita perlu cepat-cepat bertaubat kerana jika kita melengahkan taubat, titik hitam akan bertambah dari hari ke hari. Bayangkan kita buat titik-titik hitam di atas sehelai kertas. Jauh-jauhkanlah.

Saya kongsikan apa yang telah saya pelajari seadanya. Seandainya ada kesalahan maklumat, pohon betulkan saya. Saya budak baru belajar. Maafkanlah seandai ada kekurangan. Sebagaimana yang telah saya nyatakan tempoh kupasan topik ini cuma 1 jam. Bagus untuk muhasabah diri saya. Sesungguhnya semua ini adalah kekuasaan Allah SWT dan yang baik itu semua daripadaNya.

 Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui hal-hal ghaib kecuali Allah." (Surah an-Naml, ayat 65)

Sumber:
 
Kuliah zohor 1 Mac 2011 oleh Ustaz Fauzi Mustaffa.
 
 

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

The Missing Piece & Dr Fatimah Busu

Musim demam kan. Alahai kesian kat diri sendiri, demam. Memang betul-betul demam ni, demam membaca novel hahaha. Jangan marah. The Missing Piece 1 sudah khatam dan sekarang hampir khatam The Missing Piece 2. Karya Dr Fatimah Busu yang sangat-sangat tebal. Percaya tidak, novel ini setebal 1,482 halaman? Bukan novel bahasa Inggeris. Tajuknya sahaja dalam bahasa Inggeris. Kalau novel Inggeris, mustahil saya khatam selaju ini hahaha. Memang dari sekolah lagi saya suka membaca novel Melayu. Bagi yang tidak meneganali, inilah gambar Dr Fatimah Busu. Bukan gambar yang terbaru. Sekiranya The Missing Piece itu mewakili dirinya dan perjalanan hidupnya, sememangnya beliau wanita besi. Tegas. Kuat semangat. Tabah. Keras pedal (meminjam ungkapannya dari novel The Missing Piece itu sendiri). Saya tidak pandai mengulas atau memberi kritikan. Bukan saya orang yang layak. Ilmu sastera saya tidak tinggi. Saya masih belajar. Kalau bertanyakan sinopsis novel ini, dapatlah saya kongsikan. Sama sepe...

Ombak Bukan Biru Fatimah Busu

Akhirnya novel Ombak Bukan Biru karya penulis terkenal Dr Fatimah Busu jadi milik saya 21 Jun 2014 lalu. Alhamdulillah. Merata saya cari novel ini. Keterujaan untuk memilikinya sehingga sanggup memesan dari kedai buku terpakai. Saya diingatkan harganya akan menjadi lebih mahal dari harga pasaran. Saya menyatakan kesanggupan. Selepas berjaya memiliki The Missing Piece 1 dan 2, rasa tak lengkap selagi belum dapat membaca Ombak Bukan Biru. Terdetik di hati bagaimana Imrah bertemu, bercinta dan akhirnya berjaya mendirikan rumahtangga dengan lelaki sejati dalam hidupnya, Lawrence. Kemudiannya mereka terpisah, apabila Imrah lari. Siapa yang pernah menatap The Missing Piece, barangkali ada yang jatuh hati dengan watak Lawrence. Sememangnya dalam The Missing Piece serba sedikit, pengarang memasukkan latar belakang cerita tetapi hati kuat hendak mendakap Ombak Bukan Biru. Benarkah? Sungguh benarkah ombak itu bukan biru? Setelah mendakapnya, saya dapati The Missing Piece 1 dan 2 t...