Skip to main content

Ann Ward : America's Next Top Model Cycle 15

Lama saya berfikir, perlukah saya menulis tentang Ann Ward? Perlu atau tidak? Ini bukan ulasan tentang program America's Next Top Model (ANTM). Sudah terlambat kalau saya mahu mengulas tentang ANTM cycle 15 kerana cycle 15 telahpun tamat. Semua orang sudah tahu, Ann Ward adalah pemenangnya. Sekarang ANTM sedang menayangkan cycle 16. Ini tentang Ann Ward.


Ann Ward bukan gadis paling cantik yang bertanding dalam ANTM cycle 15 tetapi beliau adalah peserta yang paling tinggi, 6 kaki 2 inci. Sangat kurus. Apabila salah seorang juri J. Alexander mencekak pinggang Ann dengan kedua-dua belah tangannya, terus saya teringat pada Cikgu Sobri dan Awang Sulung Merah Muda. Cikgu Sobri pernah melukis lakaran Awang Sulung Merah Muda di atas papan hitam, berdasarkan gambaran pinggangnya yang sebesar secekak jari manis. Pinggang Ann, secekak jari manis J. Alexander. Episod uji bakat ini mengundang kontroversi.



Ramai yang mempertikaikan kemenangan Ann Ward. Ann tidak pernah cabaran lain selain cabaran bergambar. Ann tidak sempurna di runaway. Gaya jalannya teruk. Roberto Cavalli memberinya markah B - pada pentas akhir. Ann  pendiam dan pemalu, dikatakan tiada personaliti. Orang-orang di sekitarnya pula sangat 'membantu' sebelum ini, menaikkan rasa rendah diri. Kasihan melihat Ann bergelut dengan perasaannya. Rendah diri, tidak yakin, rasa malu, rasa bimbang ditertawakan dan memaksa diri melakukan yang terbaik, bercampur baur dan memberi kesan yang buruk. (Tahniah kepada yang suka memandang rendah kepada orang lain, anda sedang menghancurkan hidup mereka. Sedarkah, anda juga tidak sempurna?)

Namun Ann menang cabaran bergambar sehingga memecahkan rekod ATNM yang telah mencecah cycle 15. Tidak pula menjadikannya besar kepala atau mendabik dada. Namun ianya sukar untuk menghilangkan rasa rendah diri yang telah sebati. Selepas menang cabaran bergambar 5 kali berturut-turut, prestasi Ann dikatakan merosot. Boleh dikatakan Ann gagal dalam cabaran iklan komersial. Malah hampir tersingkir. Kesimpulannya, Ann Ward tiada pakej lengkap untuk menjulang juara ATNM. Walaupun begitu pada pusingan kelayakan antara 4 orang peserta yang tinggal, Ann menyerlah semula menjadikan namanya yang mula-mula disebut Tyra Banks sebagai peserta akhir pertandingan. Melihat pada ini semua, Chelsey Hersley lebih berkeyakinan merangkul gelaran juara. Beliau menyatakan kekecewaannya,"I feel cheated. I feel I have the whole package, and I don't think Ann does." Kejutannya Ann Ward membolot kesemuanya, juara ANTM, kontrak IMG Models, Cover Girl, Vogue Italia dan semuanya. Seperti kata Ann, dia menang semuanya.  Tyra Banks selalu melaungkan kata semangat, kelainannya adalah kelebihan dirinya. The camera loves you.


Ya tuan-tuan dan puan-puan, kelainan kita adalah kelebihan kita yang dianugerahkanNya. Jangan rendah diri. Kita diciptakan istimewa. Setiap kejadiaanNya itu ada keistimewaannya tersendiri. Saya tidak galakkan sama sekali sesiapapun untuk menyertai bidang peragaan. Juga bukan untuk galakkan menyertai mana-mana program realiti televisyen. Tidak. Bukan itu maksud saya. Mengapa saya menulis tentang Ann Ward? Ann Ward adalah contoh popular masa kini, orang kurus yang dipersendakan. Jangan ingat hanya orang berisi sahaja sering dipersendakan. Saya sendiri ada memori yang sangat kuat tentang dipersendakan kerana apa yang saya ada, yang dianugerahkanNya kepada saya. Sangat kuat memori itu, walaupun telah 24 tahun berlalu dan ianya tidak terhenti di situ. Tetapi saya bukan contoh popular dan tidak yang mahu tahu tentang semua kisah pahit itu.


Ann Ward, bukan hanya dipersendakan kerana kurus tetapi juga kerana sangat tinggi dan tidak cantik. Sehingga Ann merasakan dirinya tidak normal. Nigel Baker membetulkan kenyataannya dengan mengatakan, "Guess what, you are not normal. You are America's Next Top Model". Akhirnya: Ann Ward, anda sangat layak!  

Detik Kemenangan Ann Ward


kredit foto : antm411.wordpress.com/ann

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

The Missing Piece & Dr Fatimah Busu

Musim demam kan. Alahai kesian kat diri sendiri, demam. Memang betul-betul demam ni, demam membaca novel hahaha. Jangan marah. The Missing Piece 1 sudah khatam dan sekarang hampir khatam The Missing Piece 2. Karya Dr Fatimah Busu yang sangat-sangat tebal. Percaya tidak, novel ini setebal 1,482 halaman? Bukan novel bahasa Inggeris. Tajuknya sahaja dalam bahasa Inggeris. Kalau novel Inggeris, mustahil saya khatam selaju ini hahaha. Memang dari sekolah lagi saya suka membaca novel Melayu. Bagi yang tidak meneganali, inilah gambar Dr Fatimah Busu. Bukan gambar yang terbaru. Sekiranya The Missing Piece itu mewakili dirinya dan perjalanan hidupnya, sememangnya beliau wanita besi. Tegas. Kuat semangat. Tabah. Keras pedal (meminjam ungkapannya dari novel The Missing Piece itu sendiri). Saya tidak pandai mengulas atau memberi kritikan. Bukan saya orang yang layak. Ilmu sastera saya tidak tinggi. Saya masih belajar. Kalau bertanyakan sinopsis novel ini, dapatlah saya kongsikan. Sama sepe...

Ombak Bukan Biru Fatimah Busu

Akhirnya novel Ombak Bukan Biru karya penulis terkenal Dr Fatimah Busu jadi milik saya 21 Jun 2014 lalu. Alhamdulillah. Merata saya cari novel ini. Keterujaan untuk memilikinya sehingga sanggup memesan dari kedai buku terpakai. Saya diingatkan harganya akan menjadi lebih mahal dari harga pasaran. Saya menyatakan kesanggupan. Selepas berjaya memiliki The Missing Piece 1 dan 2, rasa tak lengkap selagi belum dapat membaca Ombak Bukan Biru. Terdetik di hati bagaimana Imrah bertemu, bercinta dan akhirnya berjaya mendirikan rumahtangga dengan lelaki sejati dalam hidupnya, Lawrence. Kemudiannya mereka terpisah, apabila Imrah lari. Siapa yang pernah menatap The Missing Piece, barangkali ada yang jatuh hati dengan watak Lawrence. Sememangnya dalam The Missing Piece serba sedikit, pengarang memasukkan latar belakang cerita tetapi hati kuat hendak mendakap Ombak Bukan Biru. Benarkah? Sungguh benarkah ombak itu bukan biru? Setelah mendakapnya, saya dapati The Missing Piece 1 dan 2 t...