Skip to main content

Ianya Terjadi Juga


Perkara yang saya paling takuti itu terjadi juga. Lebih kurang pukul 11:00 pagi ketika kami sekeluarga sedang melihat gambar-gambar kenduri, Adik Ngah di atas dukungan saya tiba-tiba terkulai. Mata hitamnya tegak ke atas. Kedua belah tangannya digenggam kuat. Muka Adik Ngah pucat. Mujur Mak Ayah belum lagi bertolak balik. Mak cadang hendak ikut kami ke klinik kerana lututnya sangat sakit. Mak, Ayah dan adik lelaki bongsu ambil alih usaha memulihkan Adik Ngah. Baju Adik Ngah dibuka. Mak jelum kepala dan seluruh badan Adik Ngah dengan air. Walaupun Adik Ngah diserang fit tidak sampai 10 minit, saya rasa sangat-sangat gusar dan sedih. Mengenangkan sekali diserang fit, Adik Ngah berkemungkinan akan diserang fit lagi. Sekiranya berterusan sehingga umurnya enam tahun, penyakit ini akan kekal sehingga dewasa. Hati mana yang tidak rungsing.

Saya memang sedari awal pagi memaklumkan suami, saya mahu Adik Ngah dibawa ke klinik. Tertangguh sebab melepaskan dulu keluarga mertua bertolak balik ke Kelantan dan urusan khemah yang belum selesai. Demam Adik Ngah sejak semalam tidak kebah walaupun telah makan ubat. Ubat demam Adik Ngah juga sudah tinggal sedikit. Kebiasaannya Adik Ngah cuma demam sehari sahaja. Biasanya walaupun demam Adik Ngah cuma meragam di waktu malam kerana tidak dapat tidur. Kali ini ragamnya juga lebih daripada biasa. Rupa-rupanya, ini yang akan terjadi.

Kami bergegas ke klinik walaupun urusan khemah masih belum selesai. Doktor di klinik menyarankan kami ke klinik lain atau mana-mana hospital kerana tiada ubat sesuai untuk Adik Ngah di klinik. Ubat ini ubat kawalan. Lebih membimbangkan saya demam Adik Ngah menurut doktor tidak terlalu tinggi untuk mendapat serangan fit. Menyedihkan kerana langsung tidak mesra alam, doktornya. Suami ke farmasi tetapi ubat yang dinyatakan doktor itu adalah ubat dalam kawalan. Tidak boleh dijual sebarangan.

Kami ke Hospital Tawakal. Hospital terdekat dengan rumah. Rezeki Adik Ngah, di klinik dan hospital memang tidak ramai pesakit. Layanan di Hospital Tawakal jauh lebih baik lagi. Doktor dan jururawat memberi penerangan dengan lebih lanjut. Ubat demam mesti diberi setiap empat jam. Sekiranya diserang fit, ubat untuk fit mesti diberi (doktor cuma beri satu). Selepas beri ubat terus bawa ke hospital. Bagi suami dan pembantu kami, ini pengalaman pertama melihat serangan fit. Saya sudah pernah beberapa kali dan setiap kali melihat, saya orang yang paling takut dan panik. Sekarang saya mesti lebih kuat dan berani. Air mata saya tidak akan dapat menolong Adik Ngah.

Hari ini, Adik Ngah kembali demam. Walaupun tidak begitu panas tetapi saya tidak dapat tidur sama sekali. Saya sangat bimbang. Bimbang serangan fit ketika Adik sedang tidur. Semua itu tidak mustahil. Adik nampak aktif walaupun demam berbeza betul keadaannya dengan semalam. Ya Allah yang Maha Penyayang, sembuhkanlah anakku. Pulihkanlah kesihatannya. Amin.

Comments

Popular posts from this blog

The Missing Piece & Dr Fatimah Busu

Musim demam kan. Alahai kesian kat diri sendiri, demam. Memang betul-betul demam ni, demam membaca novel hahaha. Jangan marah. The Missing Piece 1 sudah khatam dan sekarang hampir khatam The Missing Piece 2. Karya Dr Fatimah Busu yang sangat-sangat tebal. Percaya tidak, novel ini setebal 1,482 halaman? Bukan novel bahasa Inggeris. Tajuknya sahaja dalam bahasa Inggeris. Kalau novel Inggeris, mustahil saya khatam selaju ini hahaha. Memang dari sekolah lagi saya suka membaca novel Melayu. Bagi yang tidak meneganali, inilah gambar Dr Fatimah Busu. Bukan gambar yang terbaru. Sekiranya The Missing Piece itu mewakili dirinya dan perjalanan hidupnya, sememangnya beliau wanita besi. Tegas. Kuat semangat. Tabah. Keras pedal (meminjam ungkapannya dari novel The Missing Piece itu sendiri). Saya tidak pandai mengulas atau memberi kritikan. Bukan saya orang yang layak. Ilmu sastera saya tidak tinggi. Saya masih belajar. Kalau bertanyakan sinopsis novel ini, dapatlah saya kongsikan. Sama sepe...

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

Pertarungan Atlet Muay Thai Malaysia di ONE Championship & RWS

Lima orang atlet Malaysia akan bertarung pada hujung minggu ini di Thailand. Semoga bendera Malaysia, bakal berkibar megah. Selamat maju jaya Johan Jojo Ghazali, Wan Muhammad Sabri Wan Zuki, Adam Rakib, Elias Ghazali dan Mikhail Miki Ghazali. Jojo, Adam dan Sabri akan bertarung pada 6 Februari 2026 di Stadium Lumpinee, Bangkok. Alif Rakib akan masuk gelanggang menentang Prajanchai bagi merebut tali pinggang kejuaraan. Semua mengharapkan ayam tambatan Malaysia mampu mengulang sejarah, menang bergaya. Semoga semua atlet negara yang bertanding akan mengulangi kejayaan sebagaimana yang dicipta oleh Rifdean Masdor pada 16 Januari 2026 yang lalu. Kita juga harapkan lebih ramai wakil negara akan memenangi kontrak beradu di ONE Championship. Suka dengan semangat atlet Muay Thai kita.  Kalau sebelumnya negara terkenal dengan adik beradik Sidek dalam Badminton. Kita ada adik beradik Yoong Hanifah dalam Luncur Air. Ada trio adik beradik Wan dalam Permotoran. Negara bangga dengan pencapai...