Skip to main content

Your Eyes Tell

Her eyes discourses. I will answer it. 

-Romeo and Juliet-

Your Eyes Tell merupakan filem saduran daripada Korea Selatan dengan judul, Always. Sudah menonton kedua-duanya. Lakonan So Ji Sub memang hebat tetapi saya memilih Your Eyes Tell berbanding Always kerana konsep takdir dan hikmah serta penggunaan metafora yang digunakan dalam penceritaannya.  Lagu tema filem ini menggunakan judul yang sama, dicipta dan dinyanyikan oleh kumpulan K-Pop terkenal, BTS. 


Berdamai dengan takdir. Susah bukan? Filem ini mengajak kita berdamai dengan takdir dan bersangka baik dengan Tuhan. 

Seorang anak yatim sebatang kara yang membesar dengan parut kenangan silam yang hodoh. Merasakan tidak ada yang istimewa tentang dirinya. Jika dapat Antonio Shinozaki Rui hendak merubah semua tentang dirinya. Nama. Identiti. Masa silam. Malah ada ketikanya, Rui merasakan dirinya sepatutnya ikut sama-sama berkubur dengan mendiang ibunya, di dalam laut. 

Berbanding dengan Akari Kashiwagi yang 'melihat' takdir hidup dengan cara yang berbeza.  

Awak tak kacak ke? Tak mengapa. Paling penting, baik hati
Seorang yang optimis. Peramah. Periang. Baik hati. Lemah lembut. Berpendidikan tinggi. Mendapat asuhan yang baik dan dibesarkan dalam keluarga yang bahagia, Akari seorang gadis yatim piatu yang cacat penglihatannya kerana kemalangan. Keduanya berkenalan secara tidak sengaja di pondok pengawal parkir, tempat Rui berkerja. Rui melakukan beberapa kerja untuk menyara hidup. Akari sebelumnya selalu menghabiskan masa menonton televisyen bersama seorang lelaki tua yang bertugas di situ. Mereka kemudiannya meneruskan aktiviti Akari itu. Akari berpeluang melakukan aktiviti kegemaran yang lama ditinggalkan apabila memilih 'berkawan' dengan Rui. Menonton drama cinta di televisyen, pergi menonton konsert muzikal dan makan barbeku. Namun Rui seorang yang sangat tertutup, sensitif dan dingin. Meskipun begitu, mula berasa selesa mendampingi Akari. 


Yokohama Ryusei menggarap watak Antonio Shinozaki Rui dengan begitu baik sekali. Raut wajah yang sentiasa muram. Pendiam. Bercakap hanya apabila perlu sahaja. Rui lebih banyak menundukkan pandangannya. Juraian rambut panjang menutupi dahi, membantu 'melarikan diri' dari bertentang mata. Sekalipun ketika berhadapan dengan Akari yang buta.

Luaran Akari terlihat kuat. Akari menelan pahit jalan hidupnya dengan senyuman. Tegas Akari, hanya dengan cara itu, kehidupan dapat diteruskan. Kecacatan. Penindasan. Penganaiyaan. Kemalangan bukan hanya menyebabkan Akari kehilangan penglihatan tetapi juga kedua orang tuanya. Sekelip mata Akari hilang kasih sayang. Hilang tempat bergantung dan terpaksa bangkit memulakan hidup baharu, sendirian. Hidup sebagai orang kurang upaya sangat sukar. Peluang kerja terhad. Gangguan seksual di tempat kerja terpaksa didiamkan. Tetapi gangguan itu semakin buruk sehingga berlanjutan ke kediamannya. Semua ini menyentak Rui untuk kembali merenung diri yang sentiasa berdendam dengan masa silam. Selama ini lebih banyak memilih, bertindak dengan kekuatan fizikal secara reaktif untuk menyelesaikan masalah. Rui memilih menjadi tempat sandaran untuk Akari. 
Saya percaya orang yang terluka akan menjadi lebih baik
Ketulusan Akari menguak pintu hati Rui untuk mempercayai ada hikmah, atas takdir yang berlaku. Rui merasa dirinya insan sesat yang 'dipimpin pulang' ke 'tempat impian'. Arah kehidupan sebenar dan melengkapi keinsafan diri.  Rui mula 'membuka mata', merencana masa depan bersama. Hal yang tak pernah difikirkan, sebelumnya. Rui yang membesar di rumah kebajikan gereja setelah percubaan mendiang ibunya menamatkan riwayat hidup mereka, gagal. Pemberontakan dalam diri serta pergaulan dengan kanak-kanak nakal, menjurus kepada penglibatannya bersama kumpulan kongsi gelap, Ouroboros. Kemahiran dan bakat kickboxing yang dimilikinya, dimanupulasi sepenuhnya oleh Ouroboros. Rui kemudiannya terhumban ke dalam penjara selama 3 tahun 5 bulan kerana membuatkan Sakamoto (dianggap pengkhianat Ouroboros) bertindak membunuh diri dengan membakar dirinya lalu terjun dari bangunan. Namun Rui percaya dosanya jauh lebih besar daripada itu.

Mendampingi Akari memberikan Rui semangat baharu. Rui sedayanya berusaha membina kehidupan bahagia bersama Akari. Sayangnya, panas tak sampai ke petang. Hujan turun di tengah hari. Rui luluh lantak di dalam tatkala menyedari hakikat sebenar. Musibah yang menyebabkan kecacatan penglihatan Akari. Rui sememangnya sedar akan hakikat bahawa bukan hanya seorang yang telah menjadi korban ketika Sakamoto membunuh diri. Bukan hanya Sakamoto yang terkorban. Namun hancur hatinya apabila menyedari, Akira dan keluarganya yang tidak berdosa ikut sama menjadi mangsa. Rasa bersalah yang tidak pernah gagal, menghantuinya. Kini semakin rapat mengekori. Apalagi mengingatkan rayuan Sakamoto (mangsa yang tidak diendahkan) ketika memohon supaya Rui bersimpati dengan nasib keluarganya.
Saya tak ada keluarga
Ironinya, kini mendiang keluarga, bakal mentuanya ikut terkorban dalam kejadian itu. Ouroboros juga kembali memburunya. Tidak hanya ugutan tetapi mula mengancam keselamatan Akari. Rui merasakan dosanya tak tertebus dengan hanya menjalani hukuman di penjara. Dirinya tidak berhak untuk hidup bahagia. Apa lagi untuk mendampingi Akari. Hakikat dosa masa silam, tidak dapat diubah. 

Sedapat mungkin, Rui cuba mempertahankan satu-satunya insan berharga untuknya, Akari. Jalan akhir yang diusahakan Rui untuk menyokong Akari adalah dengan membantu memulihkan kembali penglihatan Akari melalui pembedahan. Sebetulnya itu peluang merupakan terakhir Akari untuk kembali melihat. Akari pada awalnya menolak. Keterbatasan sumber kewangan mereka. Kehadiran dan penerimaan Rui bagi Akari sudah mencukupi buatnya. Apatah lagi mengenangkan dengan 'kembali melihat' pun tidak akan membolehkan kedua ibu bapa 'dikembalikan' semula kepadanya. 

Akan datang, tak mahukah awak melihat wajah anak-anak?
Awak akan berkahwin. Akan berpindah ke rumah baharu. 
Saya mahu awak menyaksikan sendiri, kebahagiaan awak

Bulat hati Akari memutuskan untuk hidup bersama Rui, tertawan oleh pujukan itu.   

Saya mahu melihat wajah anak-anak kita. Saya mahu melihat masa hadapan bersama awak. Saya mahu tatap sendiri, wajah awak.
Saya jauh lebih 'hodoh' daripada apa yang awak bayangkan. 'Persiapkanlah diri awak untuk menghadapinya'


Menghapuskan seluruh jejak dirinya adalah bagi melindungi Akari, sepenuhnya. Suku dititipkan sebagai pengawal peribadi untuk Akari. Ouroboros membuatkan Rui kembali ke gelanggang dalam perlawanan kickboxing haram. Rui pun tahu tidak ada jalan kembali buatnya. Kalah jadi abu, menang jadi arang. Perlawanan itu merupakan 'tiket kematian' buatnya. Wang pertaruhan yang dimenanginya dibahagikan kepada Akari dan keluarga Sakamoto yang membunuh diri akibat kes peras ugut Ouroboros. Sebagai pengkhianat Ouroboros, Rui terpaksa 'membayar balik harga mahal' bagi membebaskan diri sepenuhnya dari kumpulan mafia itu. Akari juga sudah tahu sejarah pahit penglibatan Rui dengan kemalangan yang menimpa dirinya. Sehingga mengorbankan nyawa, kedua orang tuanya.   


Dua tahun berlalu. Akari mewujudkan semua impian yang diimpikan oleh Rui. Menghasilkan barangan tembikar. Kedai hiasan dalaman dengan nama Antonio Interior Shop. Kerinduan terhadap Rui cuba diterjemahkan melalui arca wajah Rui. Melalui sentuhan jari jemarinya yang pernah 'melihat' wajah kekasihnya itu. Sekalipun Rui tidak pernah ditatap secara zahir, Akari masih dapat mengesan kehadirannya. Cuma dikelirukan oleh Rui yang diam membatu dan identiti yang telah bertukar. Sedang Rui, sarat menanggung rindu yang tak berpenghujung. Walaupun hatinya meronta untuk 'pulang', beban dosa terasa begitu berat. Meski Akari betul-betul sudah berada di hadapan matanya. Hanya yang mampu dilakukan, menelusuri kenangan bersama Akari. Sea glass. Pokok Kinmokusei. Kotak muzikal. Suku. 

Setelah 'mengunjungi' Akari, Rui merasakan tidak ada apa lagi yang tinggal untuknya. Akari sudah 'tegak berdiri' dalam hidup baharu yang terlihat bahagia pada perkiraannya. Jadi Rui memutuskan untuk 'pulang' menuruti langkah mendiang ibunya. 

Akari muncul mencegah hasrat Rui. 'Pulang dengan cara yang salah'. Akari kembali 'menjemput dan menghulurkan tangan', Rui menuju ke 'tempat yang mereka impikan'. Sekali lagi Akari memilih berdamai dengan takdir. Percaya pada hikmah atas takdir yang telah ditentukan.


Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak ke

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang