Skip to main content

Six Flying Dragons vs Moon Lovers Scarlet Heart Ryeo

Putera Wang So @ King Gwangjong dari Dinasti Goryeo atau Lee Bang Won Putera Jeongan @ King Taejong dari Dinasti Joseon. Siapa yang lebih kejam? Tidak begitu arif sejarah Korea namun dikatakan kedua-duanya mengambil nyawa adik beradik dan saudara masing-masing untuk menduduki singgahsana. Sementelah pada zaman itu, mata pedang memainkan peranan besar. Bagi mempertahan diri, memerlukan kuasa. Begitu juga untuk menuntut keadilan dan mempertaruh nyawa - dengan saling membunuh.  

"Hanya seorang putera sahaja yang boleh mendiami istana.
Putera itulah bakal menjadi Raja"

"Bukankah dari awal perancangan guru, sememangnya tidak ada tempat untuk Beta?"

Ini punca kedua mereka berubah. Tidak dapat tidak membandingkan, Wang So lakonan Lee Joon Gi dengan Yoo Ah In yang beraksi sebagai Lee Bang Won. Memang menarik lakonan kedua aktor ini. Lirik mata, riak wajah dan penghayatan watak mereka. Ternyata topeng yang menutupi hampir separuh wajah bukan masalah buat Lee Joon Gi, menunjukkan reaksi wajah. Lebih menarik ada pelbagai koleksi topeng yang dimiliki Wang So.



Ada beza besar antara Lee Bang Won ketika remajanya sehingga diangkat sebagai raja. Yoo Ah In berjaya mengubah perwatakan diri Lee Bang Won yang menyenangkan kepada Lee Bang Won yang berhati batu. 



Siri Moon Lovers Scarlet Heart Ryeo belum habis untuk dibahaskan. Parut di wajah Wang So, tidak sebesar dan sehodoh parut di hatinya. Atau sebetulnya luka di hati itu sememangnya masih berdarah. Watak Wang So akan berubah. Perubahan sedang berlaku, daripada seorang yang menggerunkan, tidak hanya dari segi fizikalnya tetapi perwatakannya. Perwatakan Wang So sudah dilunakkan sedikit. Fizikalnya telah berjaya diubah Hae Soo. Sudah ada senyum dan tawa di wajahnya. Perubahan bagaimana agaknya watak itu nanti kerana Wang So dalam sejarahnya sama seperti adanya, Lee Bang Won.



Membandingkan dua drama ini seperti tidak adil. Drama Six Flying Dragons drama bersiri yang lebih panjang sirinya. Drama berat yang mengangkat isu politik. Konflik dan perubahan besar berlaku di akhir pemerintahan dinasti Goryeo kepada dinasti Joseon termasuk isu ketidakadilan, penyelewangan dan ideologi. Kisah cinta antara Boon Yi dan Lee Bang Won menunjukkan sisi lain dalam perwatakan Lee Bang Won. Bon Yi itu inspirasi untuk Lee Bang Won lebih bertekad mencapai cita-citanya. Ingat, cita-cita asal Lee Bang Won adalah menamatkan penderitaan rakyat. Menghapuskan kezaliman. Ingat Lee Bang Won mengotakan janjinya kepada Bon Yi tetapi itu semua tidak dapat menyatukan mereka walau mereka saling menyintai. Saya suka drama ini. Barisan pelakon, bukan hanya Yoo Ah In tetapi semua pelakon termasuk pelakon-pelakon pembantu adalah pelakon yang hebat. Sesetengah saya pernah tonton lakonan mereka. Misalannya, Yoon Son Ha, Jeon Mi Sun dan Jeon No Min sebagai watak utama dalam drama lakonan mereka. Tetapi mereka kelihatan lebih hebat dalam drama ini walaupun mereka cuma pelakon tambahan.



Moon Lovers Scarlet Heart Ryeo adalah diinspirasikan dari novel Bu Bu Jing Xin. Sebelumnya novel ini telah pun diadaptasi ke layar perak dan drama bersiri televisyen di negara China.  Moon Lovers Scarlet Heart Ryeo dibarisi oleh kebanyakkan bintang KPop termasuk pelakon wanita utama IU, Baekhyun EXO, Z. Hera, Seohyun dan model terkenal seperti Hong Jong Hyun dan Nam Joo Hyuk. Drama yang sepatutnya mendapat sambutan hebat tetapi berlaku sebaliknya di Korea Selatan. Atas alasan pelakon-pelakon gagal menghayati watak kerana kebanyakkan mereka bukan pelakon tetapi penyanyi. Mungkin juga kerana kesudahan drama ini sudah boleh ditebak. Ramai yang sudah menonton drama bersiri dalam versi China.


Saya berpendapat lain. Ya, sebab saya suka lakonan Lee Joon Gi dan Kang Ha Neul. Sejarah. Ya, sebab berlatar belakangkan sejarah. Saya suka sejarah. Kalau sudah memang drama dari latar belakang sejarah, memang kesudahannya sudah tertulis. Sedih. Ya, memang.


Nama Bon Yi tidak tercatat dalam sejarah pemerintahan atau hidup, Lee Bang Won. Begitu juga Hae Soo yang datang dari era lain. Memang namanya tidak ada dalam sejarah Wang So. Jadi bagaimana akan ada kesudahan gembira buat pasangan ini? Tambah pula keduanya adalah pemerintah yang banyak menumpahkan darah. Sekalipun watak Bon Yi tidak dimatikan dengan tragis, ianya tetap menyedihkan dan adegan ini yang paling menyentuh hati. Saat Bon Yi mengelak untuk bertemu Lee Bang Won kerana tahu itu akan lebih melukakan hatinya. Bon Yi cuma memilih mengintai dari jauh kelibat Lee Bang Won. Tetapi kemudiannya terserempak dengan anak Lee Bang Won.  Jelmaan Lee Bang Won. Ketika Bon Yi meminta izin dan memeluk anak Lee Bang Won, rasa sangat sayu.

Saya nantikan detik menyentuh seperti ini dalam Moon Lovers Scarlet Heart Ryeo. 

Comments

Popular posts from this blog

The Missing Piece & Dr Fatimah Busu

Musim demam kan. Alahai kesian kat diri sendiri, demam. Memang betul-betul demam ni, demam membaca novel hahaha. Jangan marah. The Missing Piece 1 sudah khatam dan sekarang hampir khatam The Missing Piece 2. Karya Dr Fatimah Busu yang sangat-sangat tebal. Percaya tidak, novel ini setebal 1,482 halaman? Bukan novel bahasa Inggeris. Tajuknya sahaja dalam bahasa Inggeris. Kalau novel Inggeris, mustahil saya khatam selaju ini hahaha. Memang dari sekolah lagi saya suka membaca novel Melayu. Bagi yang tidak meneganali, inilah gambar Dr Fatimah Busu. Bukan gambar yang terbaru. Sekiranya The Missing Piece itu mewakili dirinya dan perjalanan hidupnya, sememangnya beliau wanita besi. Tegas. Kuat semangat. Tabah. Keras pedal (meminjam ungkapannya dari novel The Missing Piece itu sendiri). Saya tidak pandai mengulas atau memberi kritikan. Bukan saya orang yang layak. Ilmu sastera saya tidak tinggi. Saya masih belajar. Kalau bertanyakan sinopsis novel ini, dapatlah saya kongsikan. Sama sepe...

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

Pertarungan Atlet Muay Thai Malaysia di ONE Championship & RWS

Lima orang atlet Malaysia akan bertarung pada hujung minggu ini di Thailand. Semoga bendera Malaysia, bakal berkibar megah. Selamat maju jaya Johan Jojo Ghazali, Wan Muhammad Sabri Wan Zuki, Adam Rakib, Elias Ghazali dan Mikhail Miki Ghazali. Jojo, Adam dan Sabri akan bertarung pada 6 Februari 2026 di Stadium Lumpinee, Bangkok. Alif Rakib akan masuk gelanggang menentang Prajanchai bagi merebut tali pinggang kejuaraan. Semua mengharapkan ayam tambatan Malaysia mampu mengulang sejarah, menang bergaya. Semoga semua atlet negara yang bertanding akan mengulangi kejayaan sebagaimana yang dicipta oleh Rifdean Masdor pada 16 Januari 2026 yang lalu. Kita juga harapkan lebih ramai wakil negara akan memenangi kontrak beradu di ONE Championship. Suka dengan semangat atlet Muay Thai kita.  Kalau sebelumnya negara terkenal dengan adik beradik Sidek dalam Badminton. Kita ada adik beradik Yoong Hanifah dalam Luncur Air. Ada trio adik beradik Wan dalam Permotoran. Negara bangga dengan pencapai...