Skip to main content

Wandeuki @ Punch : Sempena Meraikan Hari Ibu dan Hari Guru : )

MEI - Minggu awal bulan Mei, sambutan Hari Ibu. 16 Mei pula sambutan Hari Guru. Sempena Mei, sambutan untuk orang-orang hebat, mari kita tonton filem Wandeuki atau Punch. Filem yang diangkat dari novel karya Kim Ryeo Ryeong berjudul Wandeuk yang diterbitkan pada tahun 2008.


Cerita tentang Wandeuk seorang remaja pendiam, gemar menyendiri dek kerana terbelenggu oleh aura negetif yang melingkari hidupnya iaitu kemiskinan dan kecacatan serta pandangan dan penerimaan masyarakat sekitar. Wandeuk tidak menyimpan apa-apa impian. Aura negetif ini menjadikannya, culas dalam belajar. Ayah Wandeuk, Encik Doh tergolong dalam kategori kurang upaya kerana fizikalnya yang bongkok. Saiznya separuh daripada Wandeuk sendiri. Pun begitu, Wandeuk mengagumi kebolehan menari, ayahnya. Ayahnya menari dengan mengenakan solekan badut bersama dengan seorang rakan yang juga tergolong daripada orang kurang upaya. Mereka mengangkatnya, Min Goo sebagai saudara. Kehidupan mereka yang miskin bertambah rumit apabila kelab malam tempat ayahnya bekerja telah muflis. Ayah dan Pak Cik Min Goonya terpaksa bekerja dengan menari sambil menjual barang-barang runcit dari pasar ke pasar.


Kemiskinan bermaksud mesti bekerja lebih keras. Itu lumrah untuk berusaha mencukupkan. Ayah Wandeuk, orang yang rajin berusaha. Kekurangan diri bukan penghalang. Kerja tanpa mengenal penat dan waktu bagaimanapun telah membuatkan Wandeuk, terabai. Sebagai anak, Wandeuk rasa bertanggungjawab ke atas keluarganya. Jadi beliau menyuarakan hasrat untuk bekerja tetapi ditentang oleh ayahnya, yang mengingatkan mereka berpindah ke Seoul untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik untuknya.

Gurunya, Lee Dung Joo membuatkan Wandeuk semakin tidak berminat untuk belajar. Guru yang juga merupakan jiran mereka dirasakan tidak berperanan sebagai seorang guru. Wandeuk benci kerana merasa terganggu dengan kata-kata dan tingkah laku Dung Joo. Perlakuannya sering jadi perhatian gurunya itu. Dung Joo juga selalu melaung memanggilnya di rumah. Tertidur, ponteng atau lambat ke sekolah, akan didenda Dung Joo. Sering disoal di dalam kelas. Lebih membuatkan Wandeuk rasa rendah diri kerana Dung Joo mendaftarkan beliau sebagai penerima bantuan makanan untuk pelajar-pelajar miskin. Tambah menjengkelkan adalah apabila makanan itu kemudiannya, sering pula diminta oleh Dung Joo untuk dirinya sendiri. Tidak tahan dengan karenah gurunya, Wandeuk sering ke gereja dan berdoa supaya nyawa gurunya itu dicabut. HAHAHA...


Wandeuk menyedari Dung Joo adalah orang yang paling rapat dengannya. Sekalipun itu adalah orang yang paling dibenci. Tamparan lebih hebat lagi apabila Dung Joo, mendedahkan kenyataan ibu Wandeuk, seorang pendatang yang berasal dari Filipina. Orang tuanya tidak pernah bercerai dan ibunya ingin bertemu dengannya. Khabar mengejutkan daripada Dung Joo, hampir membuatkan Wandeuk hendak melarikan diri dari rumah tetapi membatalkan hasratnya.  Sebaliknya kembali ke gereja, berdoa supaya Dung Joo lekas-lekas mati. HAHAHA...


Sebetulnya, Wandeuk seorang anak yang baik. Pantang bagi Wandeuk apabila ayahnya dihina atau dibuli. Wandeuk akan bertumbuk dengan sesiapa sahaja demi mempertahankan maruah ayahnya. Wandeuk tidak pernah kalah berkelahi dan ini merunsingkan ayahnya. Apabila ibunya, Lee Sook Hee bertemu dengan beliau buat kali pertama, Wandeuk memilih menyantuninya. Bukan memberontak. Mempelawa wanita itu makan, memasak dan menghidangkan mee segera untuknya.


Sedangkan sebenarnya, Wandeuk berhasrat untuk lari daripada bersemuka dengan ibunya. Pada hari itu, Wandeuk rasa diperalat Dung Joo. Wandeuk diminta membawa bantuan makanan ke gereja selepas habis waktu sekolah. Sebaik sahaja beliau setuju berbuat demikian, Dung Joo memberitahu, ibunya menunggu beliau di gereja. Wandeuk ragu-ragu ke gereja dan terburu-buru pulang setelah menyerahkan kotak makanan itu kepada Hassan. Tetapi Wandeuk tidak boleh menarik nafas lega kerana rupa-rupanya ibunya sedang menunggu beliau di rumah. HAHAHA...



Akhirnya, doa Wandeuk seakan dimakbulkan. HAHAHA... Pada suatu hari, sebaik pulang berlatih Wandeuk mendapati ada beberapa orang polis sedang mencari penjenayah di kawasan kejiranan beliau tinggal. Kebetulan Wandeuk mendapati pintu rumahnya telah diceroboh. Wandeuk tekad menyerang penceroboh itu. Satu tendangan dilepaskan dan rupa-rupanya orang itu adalah Dung Joo. HAHAHA... Dung Joo berkunjung ke rumah Wandeuk atas permintaan Encik Doh. Ayah Wandeuk menyerahkan kunci rumah kepada beliau bagi membolehkan gurunya itu menengok-nengokkan keadaan Wandeuk. Wandeuk bergegas mengendong gurunya untuk di bawa ke hospital. Malah menyesali kerana doanya termakbul dalam situasi yang tidak beliau ingini. Memang selalu Wandeuk mendoakan gurunya itu cepat mati tetapi bukan mati disebabkan oleh perbuatannya.... TIDAK! HAHAHA...). Mujur cuma tulang rusuk Dung Joo yang patah dan rahsia Dung Joo sebetulnya anak orang berada terbongkar. Wandeuk jadi marah kerana rasa terpedaya tetapi kemudiaannya menyedari kekayaan tidak menjadikan seseorang itu lebih bahagia atau bertimbang rasa.

Pendekatan yang digunakan Dung Joo untuk mendekati Wandeuk mula nampak berhasil. Lama-kelamaan, Wandeuk mula menyukai gurunya itu. Wandeuk rasa berterima kasih kerana ditemukan dengan ibunya.


  • Dung Joo bertikam lidah dengan seorang lagi jiran mereka kerana bertindak menggores kereta milik ayah Wandeuk. Dung Joo juga membela Wandeuk di balai polis kerana Wandeuk menumbuk jirannya itu. Kata Dung Joo, 
"Tidak ada seorang anak pun yang akan sanggup membiarkan ayahnya dicerca sebegitu".
  • Wandeuk mula berminat dengan kickboxing apabila dibawa Hassan (seorang pendatang dari India) yang menyedari potensinya, ke gelanggang. Dung Joo memberi pelepasan Wandeuk keluar kelas, berlatih. Dun Joo meyakinkan ayah dan ibu Wandeuk tentang minat Wandeuk untuk belajar kickboxing. Dung Joo memberi galakan walaupun tidak secara terang-terangan.


Kata-kata dan tindak tanduk Dung Joo sedikit demi sedikit, menyedarkan Wandeuk supaya menerima realiti hidupnya. Dung Joo banyak membantu pendatang asing sehingga terpaksa bertingkah dengan bapanya sendiri.


"Ayahmu memang dilahirkan cacat dan itu bukan salahnya."
"Ayahmu memang tidak mampu menyediakan segala-galanya untukmu tetapi tidak pernah membiarkan kau kelaparan."
"Kelaparan itu memalukan bukan kemiskinan."
 "Aku ingin punya ibu, tidak kira samaada dari Filipina sekalipun."
 "Berkawan dengan pendatang bukan satu kesalahan."
"Kau tak tahan dimalukan kerana miskin, sedangkan kau memang benar-benar miskin. Kau akan rasa lebih malu lagi setelah dewasa kerana merasa malu pada perkara yang tidak sepatutnya"
"Berdoa itu mesti dari hati."

Wandeuk perlahan-lahan menerima kenyataan. Memerhatikan ibunya yang juga miskin. Sentiasa gugup apabila berhadapan dengannya tetapi tetap ingat kesukaan ayahnya. Sering menitipkan makanan buat mereka. Wandeuk yang dahagakan perhatian merasa tersentuh apabila mengetahui dalam diam-diam rupanya keadaan dirinya, diperhatikan wanita itu. Simbolik Wandeuk menerima ibunya melalui sepasang kasut yang dibeli. Sepasang kasut itu bukan simbol perpisahan tapi penyatuan. Wandeuk sedar kemiskinan, diskriminasi pada kecacatan dan kaum yang menekan hidup mereka. Tetapi sebagaimana kata ibunya, "Apa yang lebih penting adalah hati". Wandeuk cuba untuk menyatukan semula keluarganya yang terpecah. Tanpa malu, Wandeuk dengan yakin mengakui wanita Filipina yang telah meninggalkan beliau selama 17 tahun itu sebagai:
"Dia ibuku. Ibuku."

Prestasi Wandeuk dalam kickboxing semakin baik. Wandeuk sudah mula mahu berkawan. Malah sudah punya teman wanita. Gadis yang menerima beliau seadanya. Pemuda yang dapat tempat tercorot di dalam kelas, miskin, punya ayah dan pak cik yang cacat serta ibu, pendatang dari Filipina. Gadis yang menyokong usahanya dan menghargai kebolehan yang dimilikinya. Kehidupan keluarganya bertambah baik dengan bantuan gurunya, membuka pusat kebudayaaan. Tempat baharu ayahnya mencari rezeki. 17 tahun hidup tanpa ibu, kegembiraan yang tidak Wandeuk bayangkan apabila ibunya kembali ke pangkuan keluarga. Pemuda yang asalnya murung kini lebih banyak tersenyum. Paling penting sudah punya arah tuju dalam hidupnya. Satu demi satu "tumbukan" telah dilepaskan.

Wandeuki mungkin cerita lama tetapi isu ini tidak pernah basi dalam masyarakat. Walaupun ibu Wandeuk, Lee Sook Hee dan Hassan boleh berbahasa Korea dengan fasih tetapi mereka masih dianggap pendatang. Watak Jasmine Lee sebagai Lee Sook Hee bukan sahaja fasih berbahasa Korea tetapi juga mahir memasak masakan Korea dan telah berkeluarga dan tinggal lama di Korea. Tetap dianggap orang asing. Tidak tahan dengan pandangan dan perlakuan orang-orang disekelilingnya, Encik Doh merelakan isterinya, pergi. Wandeuk sendiri ketika mula mengetahui ibunya berbangsa Filipina, merasa malu.  Apalagi apabila mengetahui ibunya menikah kerana memerlukan wang.

Anda boleh kata ini cerita biasa. Memang biasa-biasa sahaja pun. Cerita tentang diskriminasi kaum dan kemiskinan memang tidak dapat dipisahkan. Pandangan serong ke atas orang kurang upaya tanpa mempertimbangkan kebolehan atau keistimewaan lain yang mereka miliki juga bukan cerita baharu. Kisah kejayaan seorang guru yang membimbing anak muridnya menjadi orang berguna, memang selalu jadi kebanggaan. Kasih ibu membawa ke syurga, inilah antara ceritanya. Ibu juga manusia biasa yang tak sunyi membuat kesilapan. Demi anaknya, si ibu kembali walau akan mengharungi ranjau yang sama.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak ke

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang