Skip to main content

Rotavirus, Cacar Air @ Chicken Pox

Kasihan Adik Fitri. Tiba-tiba sahaja pada pagi Jumaat itu muntah dan muntah. Muntah itu berterusan sehingga tidak ada apa lagi yang keluar melainkan air liur. Episod kesakitan berterusan dengan cirit birit pula. Sejak 1:30 pagi itu, seterusnya memang sepincing pun mata ini tak boleh lelap. Risau sangat. Belum pernah Adik Fitir sakit sebegitu. Bahkan anak-anak yang lain juga tidak pernah.


Selepas subuh, Adik Fitri mula rasa lapar. Apa tidaknya, segala isi perut sudah habis keluar. Adik Fitri mula menyusu tetapi sedihnya, setiap kali habis menyusu, muntah dan cirit silih berganti. Maksudnya, tidak ada apa-apa yang boleh masuk ke dalam badannya. Dalam kepala saya sudah ada rotavirus besar-besar tulisannya. Saya beri air masak, air itu pun dimuntahkan juga.

Hasrat ke klinik dibatalkan sebaliknya kami terus ke Hospital Ampang selepas suami berjaya menghubungi kakitangannya sewaktu di sana. Urusan jadi mudah kerana itu. Terima kasih kalian semua.



Setelah beberapa jam di dalam pemerhatian doktor di Unit Kecemasan, doktor beri pilihan. Kami boleh bawa Adik Fitri pulang. Sementelah sejak dimasukkan air garam dan Adik Fitri menyusu, cuma sekali sahaja cirit. Tidak ada muntah lagi. Keputusan ujian darah memang ada jangkitan pada sel darah putihnya tetapi mungkin bukan rotavirus.

Tetapi semua kelegaan itu, tidak bertahan lama. Sebaik kami buat keputusan untuk pulang, Adik Fitri muntah dan muntah semula. Wad kanak-kanak terus dihubungi dan Adik Fitri dapat katil pada pukul 5:30 petang. Bermula seisi soal jawab yang panjang dengan doktor. Beberapa arahan diberikan seperti meminta dicatatkan kekerapan menukar lampin samaada buang air kecil atau besar, berapa kerap cirit atau muntah, kekerapan minum dan makan. Sampel najisnya diambil untuk ujian. Memburukkan keadaan adalah tiba-tiba Adik Fitri demam. Doktor minta saya hubungi taska, bertanya berapa orang lagi yang mengalami simptom ini.

  
Memang rota virus sudah awal-awal duduk dalam kepala. Besar dan jelas tetapi setiap kali saya tanyakan kepada doktor, tidak ada yang mahu mengesahkan selagi semua ujian disahkan. Malah di taska pun ada bayi dan kanak-kanak lain yang turut sama mengalaminya. Pengasuhnya pun juga. Apa lagi hendak dikata. Jiwa rasa kacau, demam Adik Fitri semakin tinggi. Muntah dan cirit silih berganti. Semalam ada, hari ini tidak ada, tetapi tidak boleh tarik nafas lega kerana tiba-tiba ada semula. Tak tahu sudah berapa banyak kali menukar baju seluar, lapik tilam, cadar kerana muntah dan cirit. Kalau benar rota virus, Adik Fitri akan ambil masa yang lama untuk pulih. Tubuhnya sudah sangat kurus. Makan memang tak berselera. Minum apapun tak mahu cuma menyusu terus daripada saya. 



Memang betul anak-anak membuatkan kita belajar banyak perkara. Ketika demam Adik Fitri tidak juga kebah, seorang jururawat mencadangkan saya menggunakan gamgee. Memang saya tidak tahu apa itu gamgee. Alhamdulillah, jururawat yang berkerja terus menerus selama tiga hari tanpa rehat itu, sabar menerangkan dan menunjuk ajar cara menggunakannya. Mudah sahaja menggunakannya. Gunakan air suam untuk rendam dan letakkan di bawah kedua belah ketiak anak. Terus terang layanan doktor dan jururawat di Wad 4B sangat baik sepanjang Adik Fitri dirawat. Terima kasih banyak-banyak.

Hari keempat, keputusan ujian keluar dan disahkan anak saya terkena rotavirus. Rotavirus yang menyerang kanak-kanak di bawah umur 5 tahun memang berbahaya. Kekurangan air dalam badan kanak-kanak yang dijangkiti, boleh menyebabkan kerosakkan pada buah pinggang dan otak. Boleh juga menyebabkan kematian. Seminggu saya disarankan menjaga di rumah. Rotavirus bukan sahaja akan membahayakan anak saya jika tidak dijaga dengan baik tetapi akan menjangkiti dan membahayakan anak-anak lain di taska. Kuman rotavirus boleh bertahan di dalam usus kecil sebelum menyerang, selama 2 hari. Boleh bertahan berjam-jam di tangan manusia dan berhari-hari di permukaan kering dan keras. Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan tangan yang tidak dibersihkan dengan baik, air dan makanan. Doktor menjangkakan anak saya akan pulih sekitar tiga minggu. Jika anda ada anak di bawah umur 6 bulan, lebih baik ambil vaksin. Mencegah lebih baik daripada merawat.


Ini peneman kami di hospital. Hari pertama saya bekerja semula setelah sehari Adik Fitri dibenarkan pulang dari hospital, saya pula demam, cirit dan gastrik sekaligus. Petang apabila saya balik dari pejabat, suami beritahu rasanya Adik Fitri diserang virus varicella. Urghhh. Saya belek tubuhnya. Malam sebelumnya, saya perasan ada tiga bintat merah di lengannya. Saya fikir digigit nyamuk, lalu saya sapukan minyak. Rupa-rupanya cacar air atau chicken pox. Kasihan Adik Fitri! 

Doktor telah sahkan. Cacar air pula. Paling seksa adalah minum ubat ataupun minum air kelapa. Mujur sejak keluar dari hospital, Adik Fitri tidak muntah-muntah dan mahu minum kerana terkena jangkitan rotavirus bermakna Adik Fitri memerlukan air yang keluar dar badannya, perlu diganti sekerap yang boleh. Mujur Adik Fitri masih menyusu dengan saya. Saya harap kandungan antibodi dan air dalam susu saya dapat membantu Adik Fitri untuk sembuh dengan lebih cepat. Hari ke tiga keluar dari hospital, cirit birit pun sudah tiada lagi. Alhamdulillah. Kini cuma bermula berhadapan dengan cabaran menambahkan berat badan dan melawan cacar air. Go Adik go. Insyaallah.

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

The Missing Piece & Dr Fatimah Busu

Musim demam kan. Alahai kesian kat diri sendiri, demam. Memang betul-betul demam ni, demam membaca novel hahaha. Jangan marah. The Missing Piece 1 sudah khatam dan sekarang hampir khatam The Missing Piece 2. Karya Dr Fatimah Busu yang sangat-sangat tebal. Percaya tidak, novel ini setebal 1,482 halaman? Bukan novel bahasa Inggeris. Tajuknya sahaja dalam bahasa Inggeris. Kalau novel Inggeris, mustahil saya khatam selaju ini hahaha. Memang dari sekolah lagi saya suka membaca novel Melayu. Bagi yang tidak meneganali, inilah gambar Dr Fatimah Busu. Bukan gambar yang terbaru. Sekiranya The Missing Piece itu mewakili dirinya dan perjalanan hidupnya, sememangnya beliau wanita besi. Tegas. Kuat semangat. Tabah. Keras pedal (meminjam ungkapannya dari novel The Missing Piece itu sendiri). Saya tidak pandai mengulas atau memberi kritikan. Bukan saya orang yang layak. Ilmu sastera saya tidak tinggi. Saya masih belajar. Kalau bertanyakan sinopsis novel ini, dapatlah saya kongsikan. Sama sepe...

Ombak Bukan Biru Fatimah Busu

Akhirnya novel Ombak Bukan Biru karya penulis terkenal Dr Fatimah Busu jadi milik saya 21 Jun 2014 lalu. Alhamdulillah. Merata saya cari novel ini. Keterujaan untuk memilikinya sehingga sanggup memesan dari kedai buku terpakai. Saya diingatkan harganya akan menjadi lebih mahal dari harga pasaran. Saya menyatakan kesanggupan. Selepas berjaya memiliki The Missing Piece 1 dan 2, rasa tak lengkap selagi belum dapat membaca Ombak Bukan Biru. Terdetik di hati bagaimana Imrah bertemu, bercinta dan akhirnya berjaya mendirikan rumahtangga dengan lelaki sejati dalam hidupnya, Lawrence. Kemudiannya mereka terpisah, apabila Imrah lari. Siapa yang pernah menatap The Missing Piece, barangkali ada yang jatuh hati dengan watak Lawrence. Sememangnya dalam The Missing Piece serba sedikit, pengarang memasukkan latar belakang cerita tetapi hati kuat hendak mendakap Ombak Bukan Biru. Benarkah? Sungguh benarkah ombak itu bukan biru? Setelah mendakapnya, saya dapati The Missing Piece 1 dan 2 t...