Skip to main content

Ramadan Kali Ini

Ramadan semakin hampir berlalu. Mana hilangnya semua masa? Betullah dunia semakin dekat dengan penghujungnya, hingga masa tak terasa berlalu.

Alhamdulillah, Ramadan kali ini anak sulung saya dapat menahan lapar dan dahaganya. Untuk kanak-kanak, belajar berpuasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum. Permulaan Ramadan, banyak juga rengeknya tetapi sekarang sudah nampak boleh bertahan. Pada usianya yang belumpun cukup 7 tahun, bagi saya ini satu kejayaan besar. Memang Kak Long bukan pemakan orangnya tetapi anak saya ini masih minum susu. Cuma bukan pakai botol susu. Malu! Jadi saya beli botol minuman kanak-kanak kerana kalau pakai cawan, hendak menghabiskan secawan hampir separuh hari jadinya. Siapa yang ada anak kecil yang menyusu botol tentu tahu, dalam sehari entah berapa kali anak hendak menyusu. Mengapa anak saya masih minum susu tanpa had adalah kerana saya mahu begitu. Saya tidak mahu susu sebagai sumber protein yang suatu ketika sukainya menjadi yang paling kurang digemari. Biar terus minum susu hingga dewasa sekalipun.

Setakat ini baru sehari Kak Long tidak berpuasa. Hari Isnin 15 Julai, pukul 6:30 petang Kak Long berbuka kerana muntah-muntah. Perutnya sudah masuk angin. Mana tidaknya, sewaktu berbuka semalamnya, Kak Long tidak mahu makan nasi. Cuma jamah roti jala dan kewtiau tom yam. Sahur pula cuma makan koko crunch. Memang itulah menu sahurnya. Namun berbanding kanak-kanak yang seusianya mahupun yang jauh lebih muda di negara-negara Islam yang miskin dan sedang bergolak, apalah sangat kejayaan Kak Long berpuasa. Malah di negara kita sendiri ramai juga yang "berlapar" hampir sepanjang tahun. Itulah yang selalu ditekankan kepada anak-anak, inilah rasanya kesusahan yang ditanggung oleh orang-orang yang tidak bernasib baik berbanding kita. Jangan lupa bersyukur.


Sedikit demi sedikit juga, kami jelaskan padanya bahawa puasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga. Mudah juga kerana Kak Long sudah bersekolah. Sekolah kebangsaan dan sekolah agama banyak menekankan tentang ibadah solat dan puasa. Tentang dosa, pahala. Malah di sekolah kebangsaan, murid beragama Islam tak dibenarkan ke kantin pada waktu rehat. Sekolahnya mengadakan sesi bercerita tentang sirah Nabi, berselawat dan berzikir. Kantin di sekolah agama, tutup sepanjang Ramadan. Jadi peluang untuk menjalani ibadah puasa bagi Kak Long sangat menggalakkan. Saya sangat bersyukur atas keprihatinan pihak sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Terima kasih. Juga penghargaan buat pengendali siri animasi Upin & Ipin dengan kisah Ramadan mereka yang memberi inspirasi kepada kanak-kanak. Kali pertama juga Kak Long berjaya menunaikan solat tarawih. Seronok sangat puteri saya itu. Alhamdulillah.

Adiknya pula, ini kali pertama baru-baru belajar berpuasa. Setakat ini baru dapat 2 hari puasa penuh. Mana tidaknya, di sekolah sebelah pagi cikgu beri makan, makan. Apabila ditanya, "Tak puasa ke? Kenapa makan?". "Teacher bagi makan". Sampai di taska, puasa semula. Balik rumah berbuka semula. Turun kereta cepat-cepat buka peti sejuk, minum airlah apalagi. Asyik-asyik bertanya, "Bila nak berbuka ni?". Setiap kali dengar azan, tak kira azan zuhur atau asar, mesti tanya, "Boleh berbuka tak?" Walaupun tak berpuasa tetapi lebih sibuk hendak berbuka mengalahkan kakaknya.

Kami tidak pernah janjikan ganjaran dalam bentuk duit. Saya tidak diajar begitu sewaktu kecil. Kami lebih beri mereka keseronokkan dalam bentuk yang lain, sebagai meraikan seperti bawa mereka iftar di luar dengan menaiki komuter dan ERL. Memang mengujakan kerana ini kali pertama buat mereka. Juga iftar bersama-sama anak-anak yatim serta berjemaah bersama-sama mereka.

Ramadan kali ini, sempat juga saya sediakan beberapa menu kegemaran anak-anak. Alhamdulillah. Memang letih tetapi hati puas melihat mereka makan. Ada hidangan yang saya masak sedikit semasa sahur dan sambung selepas balik kerja. Spaghetti Bolognese. Sosnya di masak ketika sahur. Selepas balik kerja, rebus spaghetti. Jadilah buat hidangan untuk anak-anak.

Kisah anak-anak takkan ada habisnya. Minggu depan perjalanan kami jauh ke Pantai Timur, entah dapat ke tidak Kak Long bertahan. Kalau tak dapat pun tak apalah, yang penting cuba berpuasa dulu.  

Comments

Popular posts from this blog

The Missing Piece & Dr Fatimah Busu

Musim demam kan. Alahai kesian kat diri sendiri, demam. Memang betul-betul demam ni, demam membaca novel hahaha. Jangan marah. The Missing Piece 1 sudah khatam dan sekarang hampir khatam The Missing Piece 2. Karya Dr Fatimah Busu yang sangat-sangat tebal. Percaya tidak, novel ini setebal 1,482 halaman? Bukan novel bahasa Inggeris. Tajuknya sahaja dalam bahasa Inggeris. Kalau novel Inggeris, mustahil saya khatam selaju ini hahaha. Memang dari sekolah lagi saya suka membaca novel Melayu. Bagi yang tidak meneganali, inilah gambar Dr Fatimah Busu. Bukan gambar yang terbaru. Sekiranya The Missing Piece itu mewakili dirinya dan perjalanan hidupnya, sememangnya beliau wanita besi. Tegas. Kuat semangat. Tabah. Keras pedal (meminjam ungkapannya dari novel The Missing Piece itu sendiri). Saya tidak pandai mengulas atau memberi kritikan. Bukan saya orang yang layak. Ilmu sastera saya tidak tinggi. Saya masih belajar. Kalau bertanyakan sinopsis novel ini, dapatlah saya kongsikan. Sama sepe...

Ombak Bukan Biru Fatimah Busu

Akhirnya novel Ombak Bukan Biru karya penulis terkenal Dr Fatimah Busu jadi milik saya 21 Jun 2014 lalu. Alhamdulillah. Merata saya cari novel ini. Keterujaan untuk memilikinya sehingga sanggup memesan dari kedai buku terpakai. Saya diingatkan harganya akan menjadi lebih mahal dari harga pasaran. Saya menyatakan kesanggupan. Selepas berjaya memiliki The Missing Piece 1 dan 2, rasa tak lengkap selagi belum dapat membaca Ombak Bukan Biru. Terdetik di hati bagaimana Imrah bertemu, bercinta dan akhirnya berjaya mendirikan rumahtangga dengan lelaki sejati dalam hidupnya, Lawrence. Kemudiannya mereka terpisah, apabila Imrah lari. Siapa yang pernah menatap The Missing Piece, barangkali ada yang jatuh hati dengan watak Lawrence. Sememangnya dalam The Missing Piece serba sedikit, pengarang memasukkan latar belakang cerita tetapi hati kuat hendak mendakap Ombak Bukan Biru. Benarkah? Sungguh benarkah ombak itu bukan biru? Setelah mendakapnya, saya dapati The Missing Piece 1 dan 2 t...

Ramadan Berdarah

Terlalu banyak tragedi dan semacam satu kemestian pula bagi negara haram I s r a e l dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat, menyerang ketika umat Islam sedang menjalani ibadah di bulan Ramadan. Barangkali dalam benak fikir mereka, bulan Ramadan adalah titik terendah. Tiada tenaga tanpa makan dan minum. Tapi mereka lupa kali pertama umat Islam berperang di bawah pimpinan Rasulullah saw adalah pada bulan Ramadan iaitu Perang Badar. Pada 28 Februari 2026, dalam keghairahan mereka melancarkan serangan pertama dan meraikan gugurnya Ayatollah Ali Khamenei, dunia mengutuk kekejaman mereka. Bukan kerana pembunuhan ke atas Ayatollah Ali Khamenei tetapi meratapi pemergian insan kecil yang tidak berdosa. Sasaran mereka pada waktu pagi ketika persekolahan sedang berlangsung, sangat memilukan. Akhbar Tehran Times telah memaparkan gambar anak-anak cilik yang syahid ketika sedang menuntut ilmu. Tidak dapat berlindung di balik lalang sehelai lagi. US Tomahawk telah dikenalpasti sebagai senjata pemunas ...