Skip to main content

Memeluk Gerhana

Pesta buku antarabangsa sedang berlangsung di PWTC. Anda sudah ke sana? Jumaat lepas saya berkejar ke sana. Seperti diduga, susah mencari parkir. Sudahlah bawa kereta suami. Maksudnya saya mesti lebih cermat dan lebih berhati-hati. Bukanlah kalau kereta sendiri, saya boleh ambil mudah tetapi namanyapun pinjam bermaksud mesti lebih rapi menjaga amanah. Walaupun kepunyaan suami sendiri! Kami makan di Secret Recipe kerana menurut selera perempuan mengandung yang saya bawa bersama. Jangan marah ye. Ampun, sudahlah menunggu lama kerana restoran penuh, apa yang dihajati tak dapat, menunggu makanan dihidangkan pun memakan masa yang lama. Hati saya sudah bulat biar apapun saya nekad ke pesta buku walaupun masa yang ada begitu suntuk. Berdua dengan Ipah. Perempuan mengandung itu, kami tinggalkan dalam jagaan Syada. Masakan bawa dia dalam celahan ramai manusia, di tengah rembang pula.

Sebenarnya saya berkira-kira mencari novel yang baik untuk adik. Koleksi novel kepunyaan saya, dia telah khatam semuanya. Boleh juga saya meninjau bahan-bahan menarik untuk anak-anak. Bukan tidak boleh mencari di kedai buku tetapi ini peluang mendakap himpunan semua dalam satu. Banyak pilihan dan pelancaran bahan-bahan baru juga menunggu kesempatan emas ini, jadi mengapa tak rebut peluang?

Saya singgah di Ameen Serve. Tunggu Teduh Dulu memang lama ada dalam fikiran saya, untuk dihadiahkan kepada adik. Saya ikuti siri novel ini di Utusan Malaysia suatu ketika dulu, tanpa jemu. Saya pasti saya tidak akan salah pilih. Merisik tanya tentang penulisnya, saya dikhabarkan Faisal Tehrani hanya akan datang pada 27 Mac. Hati berbisik, alangkah manisnya jika dapat saya hadiahkan novel ini beserta dengan tandatangan penulisnya.


“Abang, jom kita bawa anak-anak pergi Pesta Buku Sabtu ni nak tak?”


Norli tawarkan saya, novel-novel lain yang ada di situ. Saya belek beberapa karya Azizi dan Isa Kamari. Jujurnya, saya tidak pernah dengar nama Isa Kamari walaupun beliau penerima Anugerah S.E.A Award. Saya capai sebuah karyanya, Memeluk Gerhana. Bukan karya terbaru. Sekadar seisi perkenalan dengan penulisnya. Novel ini buat diri sendiri, ubat lelah badan dan minda yang terkejar ke sana sini cuba untuk menampung semua tuntutan selagi terdaya.



Sangat berbaloi memilikinya. Tahniah pada penulisnya. Nampaknya saya akan mencari lagi karya beliau buat santapan jiwa. Saya pernah baca Salina karya A. Samad Said dan Cinta Hari-hari Rusuhan karya Faisal Tehrani. Ada sedikit persamaan. Kampung Kambing dalam Salina, Kampung Tawakal dalam Memeluk Gerhana. Kedua-duanya di Singapura. Bezanya, Basri orang buruan dalam Cinta Hari-hari Rusuhan, Ilham orang buruan dalam Memeluk Gerhana. Basri hidup jauh dari tanah air sedangkan Ilham akhirnya jadi tahanan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Memeluk Gerhana. Gaya bahasanya mudah dan ringkas. Penceritaannya bermula dengan mengenang Ilham Sidek semasa kanak-kanak sehingga mencapai usia peralihan dewasa. Ilham anak yang baik dan cerdik. Sangat hormat dan kagum pada ayahnya. Sangat sayang pada ibunya. Namun sebagai manusia biasa tidak dapat tidak membuat kesilapan. Ya seperti diakui Ilham sendiri, “Kita ni budak nakal, bukan jahat”. Zaman kanak-kanaknya yang ceria, beralih ke zaman remaja yang tidak lari dihambat cinta. Cinta Ilham pada perempuan yang hadir dalam hidupnya. Ada yang bawa sengsara, ada yang bawa bahagia. Seni mengungkap rahsia hatinya. Hanya dengan mendalami agama, terubat segala lara. Namun siapa sangka rupa-rupanya Ilham sedang memeluk gerhana. Segala yang diimpikan punah. Sinar terang matahari telah berganti gerhana. Harapan kedua orang tuanya. Cita-cita, cinta malah hidupnya sendiri. Sedangkan Ilham bukan penjahat!

Memeluk Gerhana mengundang senyum di awal pembacaan, menjemput juraian air mata di pengakhiran cerita. Sungguh hati saya sangat terkesan. Kasihan Ilham! Namun seperti katanya,

“Hanya kepada Allah aku serahkan hidup dan matiku. Kilasan cahaya yang mucul sekali sekala dalam pandangan mataku menawarkan secebis harapan. Inilah warkahku dari perut bumi. Entah berapa lama lagi aku terpaksa memeluk gerhana ini.”

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

The Missing Piece & Dr Fatimah Busu

Musim demam kan. Alahai kesian kat diri sendiri, demam. Memang betul-betul demam ni, demam membaca novel hahaha. Jangan marah. The Missing Piece 1 sudah khatam dan sekarang hampir khatam The Missing Piece 2. Karya Dr Fatimah Busu yang sangat-sangat tebal. Percaya tidak, novel ini setebal 1,482 halaman? Bukan novel bahasa Inggeris. Tajuknya sahaja dalam bahasa Inggeris. Kalau novel Inggeris, mustahil saya khatam selaju ini hahaha. Memang dari sekolah lagi saya suka membaca novel Melayu. Bagi yang tidak meneganali, inilah gambar Dr Fatimah Busu. Bukan gambar yang terbaru. Sekiranya The Missing Piece itu mewakili dirinya dan perjalanan hidupnya, sememangnya beliau wanita besi. Tegas. Kuat semangat. Tabah. Keras pedal (meminjam ungkapannya dari novel The Missing Piece itu sendiri). Saya tidak pandai mengulas atau memberi kritikan. Bukan saya orang yang layak. Ilmu sastera saya tidak tinggi. Saya masih belajar. Kalau bertanyakan sinopsis novel ini, dapatlah saya kongsikan. Sama sepe...

Ombak Bukan Biru Fatimah Busu

Akhirnya novel Ombak Bukan Biru karya penulis terkenal Dr Fatimah Busu jadi milik saya 21 Jun 2014 lalu. Alhamdulillah. Merata saya cari novel ini. Keterujaan untuk memilikinya sehingga sanggup memesan dari kedai buku terpakai. Saya diingatkan harganya akan menjadi lebih mahal dari harga pasaran. Saya menyatakan kesanggupan. Selepas berjaya memiliki The Missing Piece 1 dan 2, rasa tak lengkap selagi belum dapat membaca Ombak Bukan Biru. Terdetik di hati bagaimana Imrah bertemu, bercinta dan akhirnya berjaya mendirikan rumahtangga dengan lelaki sejati dalam hidupnya, Lawrence. Kemudiannya mereka terpisah, apabila Imrah lari. Siapa yang pernah menatap The Missing Piece, barangkali ada yang jatuh hati dengan watak Lawrence. Sememangnya dalam The Missing Piece serba sedikit, pengarang memasukkan latar belakang cerita tetapi hati kuat hendak mendakap Ombak Bukan Biru. Benarkah? Sungguh benarkah ombak itu bukan biru? Setelah mendakapnya, saya dapati The Missing Piece 1 dan 2 t...